Masih ada ruang untuk rakyat, khususnya orang Melayu bersatu dan menyokong kembali UMNO jika segala masalah yang menghilangkan keyakinan mereka dapat diatasi oleh UMNO dengan sungguh-sungguh.
Ini termasuk dalam hal menangani penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, nepotisme dan kronisme yang didakwa begitu berleluasa sebelum ini.
Itulah antara perkara yang banyak ditimbulkan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, hingga menghasilkan keputusan yang memeranjatkan baik kepada parti kerajaan mahupun pembangkang.
Penolakan orang Melayu ini bukan kerana mereka begitu sukakan parti pembangkang tetapi lebih kepada protes untuk menunjukkan kuasa di tangan rakyat.
Jangan main-main. Selepas 50 tahun merdeka baru mereka melakukannya. Mereka menunggu sekian lama, memendam perasaan. Rasa tidak puas hati sudah mereka suarakan tetapi tidak dipedulikan. Kepimpinan UMNO terutama dalam kerajaan mengambil sikap ambil mudah dan seolah-olah menganggapnya sebagai perkara kecil, serta yakin orang Melayu dan majoriti rakyat akan terus menyokong UMNO dan kerajaan.
UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Kerana menyedari kefahaman sebegitu rupa menyebabkan kepimpinan Melayu berasa selesa, lalai dan cuai, tanpa mempedulikan keluhan dan rintihan orang Melayu. Jika tidak sedar juga mereka mungkin bertindak lebih daripada sekarang - menukar Kerajaan Pusat.
Rakyat di peringkat bawahan terutama di kampung tidak peduli sangat dengan soal krisis kehakiman dan pembentukan suruhanjaya, misalnya.
Bagi mereka yang penting dipersoal ialah mengapa harga barang makanan melambung tanpa kawalan, harga minyak naik, belanja persekolahan meningkat, bayaran balik pinjaman PTPTN semakin mencengkam dan pengangguran kian bertambah.
Manakala peluang meningkatkan pendapatan rakyat, khasnya petani dan nelayan begitu terbatas. Masalah kemiskinan masih terus mengekang. Nasib peniaga Melayu terutama di kota masih tidak terbela. Bukan mereka tidak mengadu kepada UMNO tetapi tiada tindakan efektif. Mereka rasa terpinggir. Begitu juga masalah perumahan yang tidak pernah selesai.
Dalam keadaan orang Melayu yang tertekan dengan pelbagai isu itu, mereka marah dan tidak puas hati lalu emosi mereka dibakar.
Akhirnya mereka menterjemahkan kemarahan itu ketika mengundi. UMNO seperti terkena serangan jantung, bagaikan tidak percaya orang Melayu sudah bangkit menjadi faktor penentu dalam pilihan raya. Mereka rela mengundi siapa saja. DAP misalnya mendapat keuntungan politik daripada kemarahan orang Melayu kepada UMNO dan kerajaan ini.
Orang Melayu mengundi apa saja parti asalkan bukan parti kerajaan. Itulah sebabnya MIC, MCA dan Gerakan umpamanya yang selama ini mudah menang di kawasan majoriti Melayu, kali ini kalah dengan parah. Mereka jadi mangsa kemarahan Melayu.
Begitulah Melayu jika dicabar kemarahannya. Mereka akan bertindak. Sebab itu istilah 'amuk' hanya ada dalam kamus Melayu. Malangnya ini tidak difahami oleh pemimpin Melayu.
Kita harap Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru pada 2 hingga 4 Mei ini akan dapat memberi keinsafan dan mengingatkan kembali kepada pemimpin dan orang Melayu seluruhnya agar mengenali kembali diri dan asal usul mereka.
Roh dan semangat perjuangan Melayu sudah luntur daripada jiwa orang Melayu tidak kiralah Melayu UMNO, PKR atau Pas. Mereka terlalu mengutamakan kepentingan diri daripada perjuangan bangsa. Mereka hanya memikirkan kepentingan politik untuk mengejar kedudukan dan kuasa hingga lupa kepada nasib bangsanya.
Malah kerana kepentingan diri dan politik mereka takut mempertahankan lambang kebesaran bangsanya. Mereka takut kepada bayang-bayang. Mereka sanggup menggadai maruah dan kedaulatan bangsa.
Namun kita harap suatu waktu mereka akan sedar betapa mereka sebenarnya diperalat untuk membunuh bangsa sendiri.
Jadi siapa yang hendak kita harapkan untuk mempertahankan ketuanan Melayu agar nasib dan masa depan orang Melayu di bidang ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, agama dan sebagainya terus terjamin dan dibela?
Malim Ghozali Pk dalam tulisannya (Utusan Malaysia, 29 April 2008) berkata, orang Melayu telah mengalami enam kali kehilangan. Saya setuju. Semua kehilangan ini berlaku di tangan bangsa Melayu sendiri yang berkuasa. Apakah selepas ini kita akan mengalami kehilangan yang ketujuh iaitu kehilangan tanah air, sesudah Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia?
Memang sukar hendak menyedarkan bangsa Melayu. Sudah terhantuk baru tengadah, belum cukup lagi. Agaknya menunggu air di paras hidung?
M. HANAFIAH A. SAMAD
Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan