Ahad, 11 Mei 2008

Kebebasan perlu diutamakan


SOALAN: Saya tertarik dengan perbezaan pandangan antara pendukung yang ingin menegakkan negara Islam terlebih dahulu dengan mereka yang mengutamakan soal lain seperti keadilan, kebebasan atau ekonomi. Sebenarnya, apakah keutamaan di Malaysia. Sedangkan pihak kerajaan mempertingkatkan integriti, kebebasan kehakiman dan penghapusan rasuah?

– Peminat politik, Kuala Krai. Kelantan.

JAWAPAN: Persoalan yang ditimbulkan amat menarik untuk diperbincangkan. Saya memberi jawapan kepada soalan ini terlebih dahulu berbanding beberapa soalan lain yang turut ditanyakan oleh para pembaca.

Isu ini menyentuh politik dan perkembangan semasa di tanah air. Malah menjadi perdebatan juga di luar negara. Ruangan ini bagi saya lebih berfaedah membincangkan isu-isu semasa masyarakat sebegini daripada beberapa soalan yang lebih banyak menyentuh hal-

hal peribadi dan hukum hakam yang banyak terdapat dalam ruangan lain di akhbar mahu pun di majalah.

Dalam beberapa perbincangan di luar negara pun, orang masih terus menerus membincangkannya: Manakah yang patut dan lebih baik didahulukan antara strategi pelaksanaan syariah secara menyeluruh atau memperjuangkan isu-isu universal terlebih dahulu seperti soal kebebasan, keadilan sosial atau nilai-nilai yang didukung secara langsung atau tidak langsung oleh syariah Islam. Soalan ini menjadi lebih relevan dengan persekitaran negara seperti negara kita Malaysia yang bersifat majmuk.

Pandangan beberapa tokoh pemikir Islam menunjukkan ada tiga jawapan terhadap soalan yang diutarakan.

Pendapat pertama: Pihak yang mengatakan pelaksanaan syariah patut diutamakan. Justeru alasan mereka, dengan terlaksananya syariah secara komprehensif dengan sendiri nya akan wujudlah nilai kebaikan yang lain seperti kebebasan, keadilan dan berbagai-bagai nilai yang baik.

Pihak kedua yang agak lebih praktikal berpendapat bahwa dalam situasi masa kini, kebebasan, keadilan dan seumpamanya sebagai nilai universal patut didahulukan kerana apabila nilai-nilai ini benar-benar wujud dan berfungsi akan mempercepatkan lagi pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh. Dalam khutbah Jumaat pada setiap minggu pun, kata golongan ini diserukan agar manusia melakukan keadilan dan berbuat baik (ihsan). Malah kata tokoh pemikir Islam Fathi Yakan, anutan agama harus melalui pilihan bukan paksaan dan kebebasan yang diperjuangkan, bukannya paksaan. Malah kebebasanlah yang menuju ke arah praktikaliti pelaksanaan keislaman. Tanpa kebebasan segala-galanya tidak menjadi.

Pandangan ini dikongsi sama oleh Fahmi Huwaidi seorang lagi pemikir Islam Mesir, di mana beliau menganggap dengan adanya kebebasan berpolitik dan pemerintahan yang demokratik akan lebih cepat menuju kepada pelaksanaa Islam yang sebenar.

Abdul Mun‘im Abu Futuh, seorang tokoh gerakan Islam yang menonjol dewasa ini bersama Syeikh Yusuf al-Qaradawi ulama terkenal dunia Islam termasuk dalam kumpulan ini. Mereka menyatakan kebebasanlah yang diperlukan lebih awal dalam situasi sekarang. Tanpa kebebasan, rakyat akan merasakan keberagamaan mereka secara terpaksa dan dikawal. Roh Islam itu sendiri adalah inginkan kebebasan, bukannya paksaan. Mereka bertanya, bagaimana kita memaksa masyarakat menerima Islam tanpa mereka terlebih dahulu memahaminya dengan baik? Bukankah kebebasan itu pembuka jalan kepada pelaksanaan Islam?

Dr. Yunus, bekas Dekan Fakulti Syariah di Gaza, menyatakan bahawa menuntut kebebasan adalah lebih utama daripada menuntut pelaksanaan syariah. Justeru kebebasan beriman itu satu daripada cabang akidah yang diberikan keutamaan.

Kumpulan ketiga

Syekh Faisal Maulawi daripada lembaga fatwa Eropah selanjutnya mewakili kumpulan ketiga mengatakan, sebenarnya tidak patut timbul mana yang lebih utama, justeru kedua-duanya berkait rapat. Apa yang jelas, kebebasan adalah fitrah manusia. Sedangkan syariat juga satu kewajipan bagi manusia yang beriman selepas mereka cukup umur baligh. Syariah Islam satu juzuk daripada agama Islam secara keseluruhannya. Jadi kebebasan yang dituntut bukanlah kebebasan mutlak seperti yang difahami oleh faham liberalisme di Barat, tetapi bagi orang Islam kebebasan yang berjalan menurut disiplin dan mematuhi kehendak syariat Islam.

Kebebasan dan pelaksanaan syariah dua perkara yang sama beriringan di antara satu sama lain di mana kebebasan menjadi satu bahagian daripada pelaksanaan Islam yang menyeluruh.

Jelasnya, para pemikir Islam umumnya berpendapat tidak akan berlaku pelaksanaan syariah yang sebenar tanpa ada kebebasan yang menghormati kemuliaan manusia untuk hidup bebas, bebas bersuara dan bertindak, asalkan tidak mengancam pihak lain atau mengganggu masyarakat awam.

Apa yang pasti kata Muhamad Salem Al-

Ewa seorang lagi pemikir Islam kontemporari, Islam tidak berjalan dengan baik dalam satu pemerintahan kuku besi, atau pemerintahan yang zalim, malah Islam tidak akan maju dalam masyarakat yang para ulamanya hanya memberikan fatwa mengikut selera pemerintah dengan meninggalkan perintah Allah dan tidak memelihara kepentingan ramai.

Tidak ada faedahnya bercakap tentang pelaksanaan Islam dalam negara yang pemerintahnya mengekang kebebasan rakyat. Malah banyak dalam sejarah Islam, di mana nama Islam diperalatkan oleh para pemerintah zalim dan para diktator. Akhirnya ia banyak membawa keburukan kepada nama Islam daripada faedahnya dapat kepada Islam.

Sebenarnya perbincangan seperti ini masih merupakan perbincangan yang terbuka. Ia tidak akan ada kata pemutus kerana ia menjadi khilaf daripada segi strategi. Demikian juga dengan banyak isu semasa umat Islam. Namun banyak pihak yang bercakap atas nama Islam selalunya tidak berlapang dada untuk membincangkan isu-isu Islam semasa seperti ini atas alasan kita tidak ada kematangan untuk berbincang.

Justeru itu janganlah dipersempitkan ruang perbincangan jika kita mahu melihat rakyat dan orang ramai lebih faham dengan Islam. Tetapi ia tidaklah pula menafikan memang tidak patut memberikan kebebasan yang mutlak hingga tidak ada lagi disiplin perbincangan sampai mengeruhkan keadaan dan membawa haru biru kepada kehidupan bermasyarakat.

Budaya berbincang dan berpolimik patut diperluaskan dalam perkara yang terbuka kepada perdebatan. Di kalangan orang Islam sendiri, ramai yang takut kepada perbincangan ini kerana tidak cukup modal untuk melakukannya. Ruang-ruang yang lebih luas harus diberikan kepada mereka yang layak. Hanya harus ada kefahaman, mana perkara yang patut diperdebat dalam ruang terbuka dan ada pula perkara yang hanya patut diperdebat oleh para pakar supaya tidak menimbulkan masalah kepada orang awam yang sukar memahaminya.

Gesaan al-Quran untuk bertanya kepada pakar adalah satu anjuran terbuka agar kebebasan intelektual bukan sekadar dibenarkan malah digalakkan. Menutup pintu perbahasan dalam kepompong masing-masing seperti kepompong mazhab juga sudah agak kurang sesuai. Masyarakat sudah menerima konsep-konsep tajdid, ijtihad, reformasi, islah dan perubahan atau beberapa konsep lain yang menjurus kepada kebebasan berfikir yang sebenarnya mendapat pengiktirafan Islam. Ia menjadi lebih relevan dalam masyarakat yang lebih terbuka.

Baik lagi, setiap bidang mesti ada kepakaran dan keahlian masing-masing. Bagaimana kepakaran lain perlu dihormati, kepakaran bidang pemikiran Islam juga harus dipelihara agar tidak berlaku pencerobohan dan membawa keadaan lebih berserabut. Wallahualam.

Sumber Utusan Malaysia



0 ulasan: