Sabtu, 10 Mei 2008

Tiada perhambaan dalam konsep ketuanan Melayu


KAMUS Dewan mentakrifkan istilah 'ketuanan' sebagai membawa maksud hak menguasai dan memerintah sama ada sesebuah negeri, daerah dan sebagainya.

Istilah 'ketuanan' juga dirujuk sebagai kedaulatan. 'Ketuanan' berbeza dengan perkataan 'tuan' yang membawa maksud orang tempat menghambakan diri. Contohnya, 'dahulu orang kulit putih di Amerika banyak yang menjadi tuan kepada hamba abdi terdiri daripada bangsa Negro'.

Oleh itu apabila dibangkitkan bahawa istilah ketuanan Melayu kononnya membawa maksud kekuasaan Melayu dalam konteks sehingga boleh menghambakan bangsa lain, maka ia kesimpulan yang tidak tepat dan mesti diperbetulkan.

Bukan sahaja maksud ketuanan Melayu telah disalahertikan oleh orang bukan Melayu, malah secara realitinya boleh dilihat dengan jelas siapa sebenarnya yang menjadi 'hamba' kepada siapa.

Hakikatnya, kebimbangan tentang keris dan istilah ketuanan Melayu kononnya menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan kaum-kaum bukan Melayu mesti berasaskan kepada fakta yang berpijak di bumi nyata.

Sekadar mendesak bangsa Melayu menyarungkan keris dan tidak menggunakan istilah ketuanan Melayu sedangkan hakikatnya Melayu terpinggir di negara sendiri mesti dilihat dengan mata dan hati yang terbuka luas.

Kita tidak mahu bermain dengan sentimen perkauman tetapi apabila satu demi satu perihal Melayu dibangkit dan dipersoalkan, maka ada sesuatu yang tidak kena mesti diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Adakah benar orang bukan Melayu merasakan diri mereka hamba yang bertuankan orang Melayu dan dari sudut manakah penghambaan itu berlaku.

Adakah dari sudut ekonomi, agama, pendidikan atau politik. Atau ketuanan Melayu itu hanya gah di sisi Perlembagaan walhal Melayu menjadi hamba dalam semua bidang di negara sendiri?

Kita sendiri tidak tahu mengapa ketakutan terhadap ketuanan Melayu muncul secara tiba-tiba terutamanya dalam keadaan orang bukan Melayu menikmati kehidupan yang cukup sempurna di negara yang satu ketika dulu bernama Tanah Melayu.

Betapa orang Melayu sanggup berkongsi segala kekayaan dan kemakmuran dengan kaum-kaum lain malah kadang-kadang Melayu beralah demi menjaga hati saudara yang bukan sebangsa.

Memperhambakan Sejarah sendiri membuktikan bahawa Melayu tidak pernah memperhambakan kaum-kaum lain pada bila-bila masa sekali pun. Melayu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah bukan demi kepentingan Melayu semata-mata. Hasil kemakmuran Tanah Melayu dikongsi dengan kaum pendatang yang kemudiannya menjadi rakyat di negara ini kerana Melayu tidak pernah berlagak sebagai 'tuan'.

Bangsa-bangsa lain juga bebas memperjuangkan 'ketuanan' mereka sebagaimana megahnya sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil mengekalkan pengajaran bahasa ibunda masing-masing.

Hakikatnya, Melayu tidak mempunyai sekolah jenis kebangsaan Melayu. Sekolah kebangsaan sedia ada terbuka kepada semua kaum tetapi kerana 'ketuanan' kaum-kaum lain itulah maka sekolah kebangsaan tidak mendapat sambutan.

Bertungkus lumus pula kerajaan mahu memperkenalkan mata pelajaran bahasa Kantonis dan Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan semata-mata untuk menarik hati kaum-kaum lain.

Tetapi adakah mereka akur atau memberi sambutan?

Negara mana yang memberi kelonggaran seluas ini sedangkan bukankah orang yang mendatang mesti menyesuaikan diri dengan negara yang dikunjunginya.

Memang kita mengakui Melayu dominan dari segi politiknya dan hak-hak Melayu dilindungi di sisi Perlembagaan, tetapi sejauh mana benarnya istilah ketuanan Melayu bermaksud menghambakan kaum lain mesti dijawab oleh pihak yang berkenaan.

Kita tidak pernah terlepas pandang bagaimana harmoninya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum menjalani kehidupan seharian.

Malah setiap perayaan diraikan bersama, namun masih ada rentetan daripada ungkitan-ungkitan tentang Melayu. Timbul persoalan adakah rakyat Malaysia selama ini hidup dalam kepura-puraan.

Berpura-pura harmoni tetapi di hati masing-masing masih ada kesangsian sehingga istilah ketuanan Melayu yang telah digunakan turun temurun itu pun mendatangkan masalah.

Mungkin benar mata pelajaran sejarah mesti diwajibkan di semua peringkat dan aliran, manakala menteri-menteri pula dimestikan menghadiri kursus sejarah supaya mereka tahu apa makna ketuanan Melayu.

Bangsa-bangsa lain masih ada ketuanan di negara asal mereka tetapi Melayu inilah negara tanah tumpah bangsa Melayu. Tiada dua jauh sekali tiga, oleh itu kekalkan istilah ketuanan Melayu.

Sumber Utusan Melayu

0 ulasan: