Ahad, 11 Mei 2008

Meniup roh Umno dalam jiwa Melayu


Oleh Jamhariah Jaafar

Tanggung jawab pemimpin tertinggi, ahli akar umbi pastikan parti terus relevan

UMNO Dulu, Kini dan Selamanya. Slogan yang suatu ketika dulu gah, tetapi kini menjadi bahang yang amat panas kepada seluruh 3.4 juta ahlinya.

Tidak ada masa lebih tepat untuk menilai semula peranan Umno kepada bangsa Melayu, daripada selepas ia menerima tamparan paling hebat pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.


Suka atau tidak, setiap ahli Umno perlu bermuhasabah diri dengan penuh rasa ikhlas dan rendah diri. Mereka perlu menilai semula kepentingan parti itu sebagai teraju utama kepada seluruh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Tiada siapa boleh menyanggah fakta bahawa Umno adalah parti yang bertanggungjawab menggerakkan momentum ke arah kemerdekaan negara 51 tahun lalu.

Pemberontakan bangsa Melayu yang enggan menerima Malayan Union, adalah gerakan paling berkesan memaksa Britain duduk berbincang mengenai masa depan Tanah Melayu, sehinggalah membawa kemerdekaan pada 1957.

Itu adalah sejarah yang akan terus kekal dalam pemikiran bangsa Melayu dan ia akan terus diceritakan kepada generasi demi generasi bangsa Melayu � cerita mengenai betapa gahnya bangsa Melayu dan Umno ketika berjuang menuntut kemerdekaan daripada British.

Namun, zaman itu sudah jauh berlalu. Pejuang sejarah dan golongan yang terbabit dalam proses pembangunan Tanah Melayu sehingga terbentuknya Malaysia dan membawa negara ini gah di persada antarabangsa, hanya tinggal beberapa kerat lagi.

Generasi Melayu dan bangsa Malaysia hari ini sekadar belajar sejarah negara � membaca, menghafal tanpa benar-benar mengerti perjuangan serta jerih-perih pejuang dan pengisi kemerdekaan negara yang semakin ramai meninggalkan kita.

Hakikatnya yang perlu diterima semua pihak ialah golongan muda berasakan sejarah lama tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa. Ini adalah antara faktor yang menyebabkan Umno serta parti komponennya dalam Barisan Nasional (BN), hampir tersungkur pada pilihan raya umum lalu.

Persoalan yang terus diaju hampir setiap hari sejak pilihan raya umum berakhir dua bulan lalu ialah � di mana silap atau salah Umno sehingga BN kalah begitu luar biasa. Mungkin disebabkan terlalu yakin rakyat dan ahli sendiri tidak akan menolak BN, sehingga membuatkan pemimpin Umno berasa tidak perlu memperbaiki sistem pengurusan, penyampaian mesej kepada akar umbi dan memperbaharui usaha untuk menarik minat bangsa Melayu lain kepada parti ini.

"Ada hikmahnya keputusan buruk dicapai BN pada pilihan raya umum lalu kerana ia membuatkan semua ahli Umno khususnya, dan BN amnya, mula bermuhasabah diri dan menerima hakikat perit bahawa rakyat yang akan mengundi anda sebagai kerajaan dan rakyat juga boleh menumbangkan anda sebagai kerajaan," kata seorang pengikut setia Umno, Pak Hamid, yang sejak dua bulan lalu, saban hari mengkaji di mana silap Umno sehingga tewas begitu teruk.

Peranan Umno dalam memecahkan tembok pengasingan kaum yang dicipta British adalah satu kejayaan luar biasa. Tragedi 13 Mei 1969 adalah kejadian yang tidak mahu diulangi oleh seluruh rakyat Malaysia sampai bila-bila pun.

Pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menggariskan matlamat serampang dua mata membasmi kemiskinan dan menstruktur semula seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum � dianggap formula terbaik pemerintahan BN sehinggalah pada Mac lalu.

Dasar itu yang memberi sedikit kelebihan kepada Bumiputera sebagai bangsa peribumi, namun tidak membelakangkan bangsa lain. Ia turut membuka pintu seluas-luasnya kepada seluruh bangsa Malaysia untuk sama-sama maju dan berkembang seiring dengan kemajuan serta pembangunan luar biasa yang dicapai negara ini terutama dalam tempoh dua dekad terakhir ini.

Bagaimanapun, masih ada kumpulan yang ketinggalan. Bangsa Melayu di kampung masih ramai dibelenggu kemiskinan, masyarakat India yang enggan keluar daripada tradisi bekerja di estet dan sektor peladangan, juga terus merintih sedih. Tidak semua masyarakat Cina yang kaya raya. Masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak, juga terus mengalami kehidupan yang dianggap tidak seimbang dengan kekayaan dikecap Malaysia hari ini.

Siapa patut dipersalahkan apabila isu kemiskinan rakyat terus diperkatakan dalam era Malaysia yang dikategorikan sedang menuju status negara maju menjelang 2020?

Tidak mengejutkan apabila ramai menuding jari kepada pemimpin Umno atas peranannya sebagai nakhoda utama kepada parti BN yang sudah memerintah negara sejak 51 tahun lalu.

"Majoriti rakyat dan ahli Umno sendiri menyalahkan pemimpin parti kerana terlalu selesa, ambil mudah dan bersikap sambil lewa dalam menangani pelbagai isu dan rungutan akar umbi yang memang diluahkan sejak sekian lama.

"Ramai pemimpin Umno hari ini hanya 'berbaju' Umno tetapi tidak mendalami 'roh' parti ini. Pemimpin terutama di kalangan generasi muda, menyertai Umno bukan lagi kerana semangat patriotik untuk berjuang bagi bangsa, agama dan negara, tetapi majoriti kerana inginkan sesuatu. Ada yang sudah dapat pula, tidak tahu berhenti meminta dan berkongsi kekayaan dengan orang lain," kata Pak Hamid melepaskan perasaan yang terbuku di hati sejak sekian lama.

Tetapi dalam pada menyalahkan pemimpin parti, setiap ahli Umno juga patut bermuhasabah diri kerana mereka juga tidak dapat dikecualikan daripada turut menjadi punca kepada kelemahan parti ini pada pilihan raya lalu.

Tindakan tidak mendaftar sebagai pengundi, enggan keluar mengundi, bersikap memihak kepada kumpulan tertentu dan lebih buruk ada yang menyokong serta mengundi parti lawan, adalah antara punca BN gagal mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Tatkala kebanyakan parti komponen BN mula menilai prestasi mereka sebagai parti komponen BN, Umno juga perlu berbuat demikian secepat mungkin kerana suara sumbang untuk mengkhianati semangat setia kawan yang terjalin sejak setengah abad semakin kuat kedengaran.

Di manakah ruang paling afdal untuk setiap pemimpin dan ahli Umno sama-sama bermuhasabah diri, jika tidak ketika ia meraikan ulang tahun ke-62 - dua bulan selepas parti ini mengalami kejutan paling besar dalam sejarah sebagai pemerintahan kerajaan BN.

Sudah tiba masanya, pemimpin tertinggi parti yang pernah menganggap diri sebagai pembela terunggul bangsa Melayu ini membenarkan peringkat akar umbi meluahkan suara hati yang sebenar.

Mereka tidak lagi mampu untuk mengarahkan ahli berjumlah 3.4 juta orang ini untuk sekadar menerima arahan dan nasihat daripada atas. Sekiranya ingin terus bergelar pemimpin, sudah tiba masanya mereka membenarkan ahli pada peringkat akar umbi turut meluahkan pandangan dan nasihat untuk sama-sama memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang wujud selama ini.

Perubahan hanya akan berlaku jika setiap ahli Umno terbabit secara langsung. Kegagalan pemimpin Umno mendengar suara dan pandangan ahli ketika Umno amat memerlukan perubahan - sudah pasti akan menyaksikan satu lagi tsunami melanda pada akhir tahun ini.

Kepada Umno, parti yang pernah dianggap sebagai parti keramat Melayu, slogan - Dulu, Kini dan Selamanya - mungkin hanya tinggal slogan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, sekiranya perjuangannya terus pada takuk lama.

Sumber Berita Harian


1 ulasan:

yiemega berkata...

Ana cuma nak ingatkan ahli UMNO jadilah ahli UMNO kerana Perjuangan Ikhlas dan bukan Perjuangan Perut dan Kekayaan.

Jangan Biarkan Perjuangan mencari kekayaan menguasai diri anda ahli umno kerana kelak ia akan menjadi 'kudis buta' kepada UMNO.

Perjuangan Masih belum padam....

Berjuanglah Selagi Hidup...

http://www.suaragenerasimuda.com