Isnin, 7 April 2008

Hishammuddin buka gelanggang


APABILA Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara terbuka mengisytiharkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, secara tidak langsung ia telah membuka gelanggang pertandingan pada pemilihan parti itu Disember ini.

Pengumuman itu dilihat sebagai petanda bahawa pemilihan UMNO kali ini akan menyaksikan pertandingan secara besar-besaran di semua peringkat.

Ia dihangatkan lagi dengan riak dan olak di peringkat akar umbi yang mahu menyaksikan perubahan dalam UMNO ekoran prestasi yang disifatkan terburuk dalam sejarah pilihan raya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Untuk itu terdapat desakan terbuka supaya kepimpinan parti dirombak atas alasan mengembalikan semula keyakinan ahli dan rakyat serta memulihkan semangat yang luntur.

Langkah Hishammuddin untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu dilihat sebagai isyarat bahawa gelanggang sudah mula dibuka.

Kini sudah ada jawatan yang kosong dan sedia untuk dipertandingkan. Sudah pasti ia akan diikuti oleh jawatan-jawatan lain dan tidak mustahil ia turut membabitkan jawatan nombor satu dan dua dalam parti.

Gelombang itu dapat dilihat dan dirasa apabila sebaik sahaja Hishammuddin mengumumkan keputusannya, ia terus disambut oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir yang menyatakan kesediaan mereka menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Jika diamati kepada gelombang di peringkat akar umbi selepas pilihan raya umum yang lalu, kekosongan yang ditinggalkan Hishammuddin itu sudah pasti akan diisi melalui pertandingan.

Walaupun dua nama sahaja yang menonjol setakat ini, namun realitinya ramai yang berhajat untuk menduduki kerusi tertinggi pemuda itu.

Sesetengahnya bukan sangat untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara tetapi lebih kepada menjadikannya sebagai batu loncatan untuk pergi lebih jauh demi mencapai cita-cita politik mereka.

Pemimpin-pemimpin muda yang memenangi pilihan raya umum yang lalu terutama yang diberi tempat dalam Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tentu merasakan mereka juga sesuai untuk mengisi tempat yang dikosongkan oleh Hishammuddin.

Dengan menggunakan alasan mereka mempunyai mandat daripada rakyat ekoran kemenangan dalam pilihan raya umum lalu, sudah tentu ada yang akan melobi bahagian- bahagian supaya dicalonkan untuk bertanding.

Pemuda UMNO Pahang misalnya mempunyai pilihan mereka sendiri bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Menteri Pelajaran itu.

Ketuanya, Datuk Khairuddin Yaakob menamakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria, Exco Pemuda UMNO, Datuk Idris Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah sebagai calon ke jawatan itu.

PemimpinMalah katanya, dua lagi pemimpin yang dianggap layak ialah Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Namun pengumuman Hishammuddin itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak terhad dalam ruang lingkup Pemuda sahaja.

Hishammuddin sendiri sudah tentu tidak akan menamatkan karier politiknya setakat itu sahaja.

Walaupun beliau berkata, bergantung kepada ahli untuk mencalonkannya ke jawatan mana selepas ini, namun beliau sudah pasti ada sasaran tersendiri.

Jika dilihat kepada tradisi dalam UMNO, Ketua Pemuda yang melepaskan jawatan itu selalunya akan bergerak ke jawatan Naib Presiden. Kecuali Allahyarham Datuk Harun Idris yang terus bertanding kerusi Presiden.

Jika itu yang berlaku sudah pasti Hishammuddin akan mengisi salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden UMNO.

Persoalan yang timbul, adakah dalam konteks sekarang, ketika riak dan olak di peringkat akar umbi seolah-olah sukar dikawal, Hishammuddin akan diberikan laluan mudah ke jawatan itu?

Sekarang satu jawatan Naib Presiden kosong ekoran pemecatan Tan Sri Isa Abdul Samad. Dua lagi disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Tetapi adakah Naib Presiden merupakan matlamat Hishammuddin? Bagaimana dengan jawatan yang lebih tinggi - Timbalan Presiden?

Yang pasti langkah Hishammuddin melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO telah menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kemungkinan akan mendorong berlaku pertandingan dalam jawatan-jawatan utama UMNO dan sayapnya.

Seperti kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus, melalui pemilihan akan dapat melahirkan kepimpinan yang benar-benar diterima oleh semua ahli.

Katanya, pertandingan akan membuka ruang kepada ahli di peringkat akar umbi yang mahukan pembaharuan untuk membuat pilihan sendiri.

Tetapi pertandingan jika berlaku bukan bermakna pimpinan sekarang tidak baik tetapi ia akan membantu mengukuhkan kepimpinan sedia ada.

''Apa yang diharapkan, pertandingan ini akan berjalan dengan teratur dan mereka yang bertanding mestilah bersungguh-sungguh.

"Kita tidak mahu mereka hanya bersungguh-sungguh semasa bertanding dan apabila menang, tidak buat kerja.

"Yang paling penting, calon yang bertanding bukan untuk membalas dendam tetapi mesti ada kesungguhan bagi membela nasib ahli dan parti," katanya.

Selain Pergerakan Pemuda UMNO yang sudah pasti akan menyaksikan persaingan sengit untuk merebut jawatan ketuanya Disember ini, pertandingan juga dijangka akan berlaku pada peringkat Puteri.

Ia ekoran ketuanya kini, Datuk Noraini Ahmad perlu melepaskan jawatan itu atas faktor umur.

Begitu juga dalam Pergerakan Wanita UMNO. Walaupun Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz masih dilihat utuh, namun gelombang perubahan jika dimahukan ahli sudah tentu sukar disekat.

BerkemampuanBekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said misalnya merupakan antara nama yang disebut-sebut berkemampuan untuk mencabar Rafidah.

Bagi peringkat akar umbi, tidak ada salahnya jika pemimpin parti ditentukan melalui pertandingan.

Jika itu kehendak ahli, maka ia tidak wajar disekat. Jika gelombang ini disekat ia boleh bertukar menjadi satu lagi tsunami. Kesannya pula mungkin lebih parah.

Dalam UMNO, sebuah parti yang berpegang kepada prinsip demokrasi dan sentiasa mendengar suara akar umbi, kali terakhir jawatan Presiden dipertandingkan ialah pada tahun 1987.

Ia menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 43 undi.

Pergerakan Wanita UMNO kelihatan lebih dinamik apabila sering menyaksikan pertandingan untuk jawatan ketuanya.

Pada tahun 1996 Rafidah tewas kepada Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman sebelum merampas kembali jawatan itu pada pemilihan tahun 2000.

Untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pula, kali terakhir ia dipertandingkan ialah pada tahun 1996 apabila Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengetepikan cabaran Datuk Annuar Musa.

Tetapi untuk Puteri UMNO, jawatan ketuanya belum pernah dipertandingkan.

Oleh itu, jika berlaku pertandingan di semua peringkat jawatan pada pemilihan UMNO Disember ini, ia dilihat benar-benar menguji proses demokrasi dan ketelusan dalam UMNO.

Seperti yang ditegaskan oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik, hanya dengan mendapat pandangan ahli di semua peringkat, parti dapat merumuskan hala tuju agar terus relevan dan mendapat semula keyakinan rakyat.

Katanya, jika UMNO terus mengongkong dan menyekat kebebasan bersuara di kalangan ahli, pastinya usaha untuk melihat parti terus kukuh dan diterima kembali oleh rakyat tidak akan tercapai.

Kebebasan bersuara itu juga selari dengan perlembagaan UMNO dan kata Tengku Razaleigh, perlembagaan dalam parti membenarkan sesiapa pun bertanding.

"Ini demokrasi dan jika tidak, lebih baik kita tukar kepada presiden seumur hidup dan berkuasalah sampai bila-bila," tegasnya.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: