Khamis, 10 April 2008

Sabotaj hal biasa dalam Umno: Khir

Oleh Wan Jailani Razak
Sumber Berita Harian

Bekas MB ajak ahli segera perbaiki kelemahan

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, menyifatkan sabotaj dalam Umno sehingga menyebabkan kerajaan negeri kecundang kepada pembangkang adalah perkara biasa dan di Selangor, ia dilakukan pada peringkat dalaman Umno negeri dan dari pihak luar.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu menuding jari, sebaliknya mengajak semua ahli parti memperbaiki kesalahan dan kelemahan masing-masing untuk menawan semula Selangor.

"Badan Perhubungan Umno negeri sudah buat keputusan semua calon yang bertanding sama ada menang atau kalah boleh hantar laporan untuk dilakukan kaji selidik. Saya tak setuju guna 'post mortem' kerana Umno belum mati," katanya pada sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini, semalam.


Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengakui Kedah dan Perak antara negeri berdepan masalah sabotaj dalaman sehingga menyebabkan dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Ditanya mengenai kemungkinan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin turut bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda menjelang pemilihan parti Disember ini, Dr Mohamad Khir berkata, Umno adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan sesiapa saja boleh menawarkan diri.

Katanya, tanggungjawab ahli pula ialah memilih calon yang mereka yakin boleh membawa mandat Pemuda untuk memulihkan semangat parti hari ini.

Berhubung permintaan supaya beliau menumpukan perhatian kepada usaha menawan semula Selangor daripada pembangkang, Dr Mohamad Khir berkata, pandangan itu kurang tepat kerana Badan Perhubungan Umno kini diterajui Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

0 ulasan: