Oleh Redhuan D Oon
SELEPAS impak kejutan berikutan keputusan yang memihak kepada pembangkang di beberapa negeri mula reda, muncul pula pelbagai teori yang cuba menjelaskan punca perubahan besar dalam corak pengundian.
Satu teori yang agak popular menyatakan bahawa penggunaan internet sebagai media alternatif amat berkesan dalam menentukan arah tuju keputusan pengundian.
Pilihan Raya Umum Ke-12 bukanlah julung-julung kalinya internet digunakan sebagai landasan berkempen calon. Walaupun internet mula digunakan sebagai satu media alternatif sejak Pilihan Raya Umum 1999, keberkesanannya tidak diberi perhatian yang sewajarnya, lantaran keputusan pemilihan yang memihak kepada kemenangan dua pertiga parti pemerintah Barisan Nasional (BN).
Tetapi dalam pilihan raya umum kali ini, berikutan kekalahan di luar dugaan yang menimpa BN hingga kecundang empat kerajaan negeri (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor) selain Kelantan � ramai terpinga-pinga dan tercari-cari punca kepincangan yang melanda BN.
Ia sekali gus, mengaitkan peranan internet sebagai media alternatif dan seterusnya salah satu punca utama fenomena 'taufan politik yang menggegarkan BN'.
Sekali imbas, penulis tidaklah berapa terpengaruh dengan pendapat berhubung peri kuatnya media alternatif kerana ada juga teori lain yang menyatakan media utama yang dikawal kerajaan BN turut memainkan peranan besar dalam usaha menjana keyakinan pengundi terhadap parti pemerintah � walaupun berat memihak kepada BN sehingga menyebabkan pengundi mengutarakan bantahan dengan memangkah parti pembangkang dalam kertas undi mereka.
Di dada akhbar atau menerusi kaca televisyen, penonton dikatakan sudah jemu dengan paparan iklan mahupun sisipan bahan berita yang pro-BN. Berdasarkan hujah ini, bolehlah disimpulkan bahawa seandainya media utama bertindak dengan adil, ia masih berpeluang menyisihkan media alternatif.
Dalam perkataan lain, kedua-dua media utama dan media alternatif sama-sama berpeluang menggugat kedudukan masing-masing.
Teori baru yang menyebut media alternatif sebagai senjata utama parti pembangkang, samalah sifat dengan pendapat yang sering diluahkan penganalisis selepas setiap pergerakan dalam naik turun indeks pasaran saham.
Sekiranya BN tidak hilang empat negeri tambahan (selain Kelantan), maka teori sedemikian tidak akan wujud, malah dipersalahkan sebagai kelemahan pembangkang.
Walaupun internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah satu kuasa baru dalam saluran maklumat, ia tidaklah menjadi saluran alternatif yang berkesan berbanding saluran lain. Teori keberkesanan saluran internet sudah lama diperbincangkan banyak pihak berwibawa seluruh dunia.
Pendapat oleh ramai pakar ialah saluran fizikal seperti papan iklan, media cetak dan bentuk iklan biasa yang lain masih amat berkesan dan berkuasa untuk menentukan pemikiran pengguna atau pemilih.
Yang menjadi persoalan bukanlah kehebatan media alternatif, tetapi kelemahan dalam penggunaan media utama. Sekiranya kita teliti dengan terperinci cara media massa seperti televisyen, papan iklan dan kain pemidang digunakan, kita akan mendapati mereka tidaklah digunakan dengan kreatifnya dari segi bahan, isi kandungan atau mesej yang ingin disampaikan.
Kandungan media hendaklah menjurus kepada isu utama, trend pemilih dan kaedah menangani sesuatu isu masyarakat yang dapat meyakinkan pengundi lantaran disokong oleh maklumat dan hasil analisa berasas.
Kita mengambil contoh bahan lain seperti lagu yang diminati pendengar. Apakah pendengar akan suka sekiranya kita masih memainkan lagu zaman 60-an? Begitu juga dengan isu yang tidak menyentuh hati nurani mereka seperti kenaikan harga barang, keprihatinan pemimpin kepada rakyat dan pendidikan tinggi golongan muda.
Isu dan kandungan media hendaklah sentiasa relevan dan menarik serta penting dan menjawab pelbagai persoalan pembaca.
Jadi apakah punca sebenarnya pula yang menyebabkan kekalahan teruk BN kali ini, yang lebih teruk daripada 1969? Pendapat penulis mengenai punca kekalahan kali ini ada kaitan dengan unsur dalaman parti Umno itu sendiri.
Bukan menjadi rahsia lagi bahawa apabila ada persengketaan pihak yang tidak sehaluan di dalam Umno, maka ketidakpuasan hati akan diterjemahkan ke dalam keputusan pilihan raya umum nanti.
Contohnya, perpecahan dalam Umno yang membawa kepada pembentukan Semangat 46 menyebabkan Pas dapat merampas Kelantan pada 1990. Perpecahan seterusnya berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 pula menyaksikan kejatuhan Terengganu tahun itu.
Persengketaan dalaman Umno akan mempengaruhi keputusan undi apabila jenteranya hilang daya usaha untuk mempengaruhi pemikiran pengundi atau sekadar memastikan kenderaan yang secukupnya disediakan untuk mengangkut pengundi ke pusat pembuangan undi.
Tetapi apabila keadaan dalaman Umno reda semula, parti itu dapat merampas kembali Terengganu dan hampir merampas kembali Kelantan.
Kini, Pilihan Raya Umum Ke-12 menjadi saksi era perpecahan yang terbaru berikutan kritikan yang dilemparkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepemimpinan Pak Lah. Sedikit-sebanyak, ini memberi petanda awal kewujudan satu perpecahan 'senyap' sedang menular pada peringkat cawangan dan bahagian dalam Umno.
Campur tangan saat terakhir oleh pihak pemerintah di Perlis menyaksikan nasib yang berlainan di sana. Ini adalah analisis berdasarkan data dan statistik keputusan pemilihan yang turut mengambil kira pecahan kaum.
Jika sekiranya ada yang menuding jari ke arah pengaruh Hindraf yang menarik kaum berbangsa India supaya tidak mengundi BN, ada banyak data yang menentang pendapat itu. Di kawasan yang masyarakat bangsa Melayu adalah 90 peratus dan kaum India hanya tiga peratus, Umno tetap mengalami kemerosotan undi yang ketara.
Ada yang menyalahkan kenaikan harga barang seperti minyak, daging ayam, tepung dan gula sebagai punca. Tetapi mengapa ada negeri tertentu tidak mengalami perubahan undi yang ketara?
Apakah negeri itu lebih kaya dan mampu bertahan dengan kenaikan harga barang terbabit? Ada yang menyifatkan secara liar bahawa 'semua faktor yang di atas' menjurus kepada kekalahan apabila dicampurkan.
Hakikat ini juga tidak boleh diterima sebegitu saja tanpa penelitian lebih terperinci. Sebaiknya, analisis secara rasional wajar dilakukan kerana corak pengundian adalah agak rasional.
Berikutan pengumuman Pak Lah supaya dilaksanakan satu kajian bebas terhadap punca sebenar kekalahan BN, maka adalah diharapkan analisis yang lebih tepat serta disokong oleh data yang menyeluruh dan mengambil kira semua teori akan menjawab persoalan besar yang sedang berlegar dalam kepala semua pihak, setidak-tidaknya sebagai ramalan kepada trend pemilihan yang akan datang.
Penulis ialah pakar internet yang mengetuai Adempiere � sebuah projek sumber terbuka (Open Source) antarabangsa
0 ulasan:
Catat Ulasan