Isnin, 17 Mac 2008

Surat 1 - UMNO, Pas perlu bersatu

SAYA telah mengikuti dengan dekat perkembangan politik negara sebaik sahaja Pilihan Raya Umum Ke-12 selesai pada 8 Mac lalu.

Adalah jelas sama ada kita hendak mengakui atau tidak, kuasa Melayu dalam dunia politik semakin terhakis.

Penguasaan DAP di Pulau Pinang dan menang banyak kerusi di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan sudah menunjukkan dengan jelas bahawa politik orang Melayu kini terancam.

Ini belum lagi termasuk kerusi-kerusi yang dimenangi oleh bukan Melayu daripada komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Kelantangan DAP untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah jelas membuktikan bahawa mereka kini tidak takut lagi kepada kuasa politik Melayu.

Mereka tidak bimbang kerana mengetahui orang Melayu kini berpecah melalui UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam keadaan sekarang, apakah orang Melayu masih hendak bercakap soal perbezaan ideologi politik?

Orang Melayu seharusnya melupakan ‘tragedi’ yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu. Sekarang adalah masa untuk merapatkan barisan dan mengukuhkan ukhuwah sesama kita.

Kita tahu bukan senang untuk menyatukan orang Melayu yang kini berpecah belah kerana ideologi berbeza tetapi ia bukanlah mustahil.

Suatu ketika dulu UMNO dan Pas pernah bergabung, suatu masa dahulu UMNO dan Pas pernah duduk semeja membincangkan kepentingan Melayu. Kita yakin suatu masa nanti mereka juga boleh berganding bahu untuk menyelesaikan masalah orang Melayu. Kini adalah detik terbaik dan masa paling sesuai untuk orang Melayu tanpa mengira apa fahaman politik, kembali bersatu.

Kita harus ingat jika Pilihan Raya Umum Ke-12, orang Melayu semakin banyak kehilangan suara, bagaimana dengan pilihan raya umum akan datang ketika parti-parti bukan Melayu semakin mengukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri tertentu.

Apa yang perlu diketahui oleh orang Melayu, sebaik mana pun kaum lain, mereka tidak akan memperjuangkan nasib Melayu. Mereka tidak akan peduli apa yang akan berlaku kepada DEB, mereka tidak akan kisah apa yang terjadi kepada orang Melayu di kampung-kampung dan sudah pastilah mereka juga tidak akan menghiraukan jika kuasa politik Melayu semakin berkurangan.

Oleh itu segala-galanya bergantung kepada orang Melayu sendiri, sama ada untuk terus berpecah belah seperti sekarang atau berada dalam satu barisan bagi memastikan suara Melayu tidak menjadi sejarah.

Pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas harus memahami ancaman yang sedang menanti. Jangan terlalu berdegil untuk mempertahankan ideologi politik masing- masing yang akhirnya hanya akan mengakibatkan kita ibarat menang sorak kampung tergadai. Kalau kita terus berpecah belah percayalah selepas ini bukan sahaja soal DEB akan dipertikaikan oleh puak-puak tertentu malah kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi akan tergugat.

Masa masih belum terlambat untuk semua orang Melayu bangun daripada mimpi mereka. Jangan berada dalam zon selesa sedangkan di hadapan kita sedang menanti ancaman yang cukup besar.

Tiada gunanya kita berbangga memenangi kerusi dalam pilihan raya atau menewaskan parti yang dianggotai sesama Melayu, sedangkan kita tidak boleh berbuat apa-apa demi mempertahankan hak orang Melayu.

Jangan biarkan kerana sikap ego untuk tidak mahu bersatu, di masa depan Melayu hanya menjadi catatan dan paling buruk ibarat pelarian di tanah air sendiri.

– ANAK MELAYU

Sungai Petani, Kedah.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: