Sumber Utusan Malaysia
SEORANG guru wanita Melayu di Selangor menangis pada pagi 8 Mac lalu selepas dia mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Arwah bapanya ialah seorang penyokong setia UMNO, Perikatan dan Barisan Nasional (BN).
Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di kemuncak popularitinya pada tahun 1990-an, bapa guru itu yang pernah menyaksikan betapa sukarnya pimpinan UMNO terdahulu memperjuangkan kemerdekaan bertepuk tangan apabila mendengar kepetahan Dr. Mahathir berucap di kaca televisyen.
Tetapi pada pagi 8 Mac 2008, air matanya bergenang. Guru wanita itu berasa tertekan kerana dalam pilihan raya itu dia mengundi calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu parti yang bukan menjadi pilihan politik dirinya dan arwah bapanya. Dia memberitahu rakan-rakan rapatnya: “Saya sedih, saya menangis dan saya berasa bersalah tetapi saya terpaksa mengundi pembangkang untuk memberikan satu mesej kepada kepimpinan UMNO dan kerajaan.”
Di seluruh negara seminggu lalu, terdapat begitu ramai pengundi seperti guru ini. Di Parlimen Kelana Jaya yang di bawahnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, ramai pesara Melayu di kawasan itu yang tidak pernah tidak keluar mengundi dalam pilihan raya sejak tahun 1960-an – dan pada setiap kali pilihan raya mereka memangkah lambang dacing – enggan terlibat dalam proses pilihan raya. Seorang pesara berusia 65 tahun di situ memprotes: “Biarlah, biar padan muka.”
Akibatnya, di Parlimen Kelana Jaya, calon PKR, Gwo-Burne Loh, anak muda berusia 33 tahun yang merakamkan video perbualan peguam V.K. Lingam – yang tidak pernah pun ada sekelumit jasa kepada penduduk tempatan di Kelana Jaya – memperoleh 30,298 undi mengalahkan calon BN, Datuk Lee Hwa Beng yang mendapat 25,267 undi. Undi majoriti Gwo-Burne ialah 5,031. Di peringkat DUN Seri Setia pula, seorang pemuda Melayu berusia 26 tahun daripada PKR menjadi wakil rakyat kawasan itu mengalahkan seorang pemimpin wanita UMNO yang terkenal.
Empat tahun lalu, pada pilihan raya umum 2004, pesara yang kecewa dengan kerajaan itu adalah antara pengundi yang telah memenangkan bekas Ahli Parlimen BN di situ yang mendapat undi majoriti 21,671. Bayangkan, dalam tempoh empat tahun, di Parlimen Kelana Jaya sahaja berlaku penghakisan sokongan terhadap BN yang begitu dahsyat. Wujud swing kira-kira 26,500 pengundi yang beralih daripada menyokong BN kepada menyebelahi PKR pada pilihan raya kali ini.
Malang bagi BN, pilihan raya umum 8 Mac lalu diadakan dalam mood negatif ini yang dirasai oleh guru wanita dan pesara itu serta berjuta-juta lagi rakyat yang selama ini merupakan penyokong setia parti-parti kerajaan di seluruh negara. Ia bukan sahaja dirasai oleh pengundi Melayu, tetapi juga para pengundi Cina dan India. Ia tidak sahaja menimpa UMNO, tetapi juga MCA, Gerakan dan MIC.
Mood itu sudah lama tercetus, bukan baru seminggu lalu, tetapi ia tertutup daripada difahami. Kesombongan politik telah melindungi mata sesetengah pemimpin daripada merasai kemarahan rakyat itu.
Dalam pilihan raya umum 21 Mac 2004, BN menang besar kerana wujud persepsi positif terhadap kerajaan dalam kalangan orang seperti guru wanita dan pesara itu. Orang seperti merekalah yang membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membawa kemenangan hebat menguasai 198 daripada 219 kerusi Parlimen pada pilihan raya tahun itu, dengan undi popular untuk BN sebanyak 64 peratus.
Namun, 40 hari selepas menang besar pada pilihan raya umum 2004, kerajaan mula menaikkan harga petrol dan gas, mula-mula sebanyak dua sen tetapi dalam tempoh tidak sampai dua tahun harga petrol telah dinaikkan lima kali. Kali terakhir ia dinaikkan pada 28 Februari 2006, sehingga 30 sen seliter, yang menjadikan dalam tempoh dua tahun harga petrol dinaikkan sebanyak 57 sen.
Kerajaan mungkin mempunyai alasan tersendiri mengapa ia tidak mampu terus menampung subsidi petrol. Pada Februari 2006, kerajaan memberi alasan penjimatan RM4.4 bilion setahun daripada subsidi petrol ekoran kenaikan 30 sen seliter boleh digunakan untuk projek membaiki sistem pengangkutan awam. Malangnya, guru wanita dan pesara itu tidak nampak pun projek itu di kawasan mereka dan mereka bukanlah orang yang mendapat manfaat langsung daripadanya.
Fenomena
Maka meletuslah perasaan marah dan geram. Penjimatan RM4.4 bilion setahun itu menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi tidak terkawal. Tarif elektrik dan air naik, harga susu melambung, harga sayur, ikan dan barang keperluan dapur melonjak mendadak. Upah gunting rambut pun bertambah mahal.
Kerajaan, dan Abdullah secara peribadi, memang berusaha keras untuk membendung kenaikan kos sara hidup itu, tetapi isu tersebut menjadi pencetus satu fenomena. Walaupun media prokerajaan cuba mengimbanginya, tetapi sedikit demi sedikit kerajaan mula ditafsirkan sebagai tiada kasihan belas kepada rakyat. Apabila ada pemimpin UMNO berkata ‘biarlah kerajaan susah sedikit asalkan rakyat jangan susah’, idea itu tidak mendapat sokongan dalam UMNO dan kerajaan. Kemenangan besar tahun 2004 telah menimbulkan sesuatu, pada pihak kerajaan dan BN, ia dipanggil keyakinan, tetapi pada mata sebahagian kecil rakyat, ia dianggap suatu keangkuhan.
Senario itu mewujudkan mood yang dahsyat pada 8 Mac lalu, dua tahun selepas kali terakhir harga petrol dinaikkan. Selama ini sebahagian pengundi tidak kisah dengan kesilapan yang pemimpin negara lakukan. Gosip politik mengenai pemimpin muda yang kelihatan terlalu berpengaruh seperti Khairy Jamaluddin mereka tidak hiraukan sangat dalam situasi biasa. Siapa ahli perniagaan mendapat projek kerajaan yang boleh menjadikan seseorang kaya-raya juga mereka pandang dengan sebelah mata.
Tetapi dalam keadaan poket mereka diserang, pendapatan benar merosot, kualiti hidup mereka terjejas dan perasaan bahawa dari segi kewangan hidup mereka sekarang adalah lebih susah daripada empat tahun lalu, maka bermulalah satu sentimen yang kemudian merebak. Sentimen bertukar menjadi mood masyarakat. Bergulinglah snowball effect. Gosip politik mula dipercayai, skandal dibincangkan secara terperinci dan putar belit pembangkang kini dianggap benar.
Sebahagian mereka, terutama pengundi atas pagar yang tidak terikat dengan mana-
mana parti politik, dalam diam-diam mula bertekad mahu menghukum kerajaan. Dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang, di mana kos sara hidup yang tinggi memanaskan lagi kegelisahan, ia kemudian merebak ke kawasan lain di pantai barat dalam kalangan penduduk bandar. Masalah hubungan kaum akibat timbulnya isu Hindraf menjadi faktor yang merumitkan lagi keadaan. Dari Kuala Lumpur membawa ke Kedah, dari Kuala Lumpur melarat ke selatan, pengundi yang selama ini diam membuak-buak ingin bersuara.
Mereka mahu menggunakan peti undi untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Masing-masing ingin memprotes, termasuk para pengundi konservatif Melayu. Dalam proses untuk meluahkan apa yang mereka meluat itu, mereka tidak sedar akibatnya. Lidi kalau sebatang boleh dipatahkan, jika segenggam boleh membunuh. Undi protes jika satu sahaja tidak membawa apa-apa bekas, tetapi menyatakannya dalam jumlah yang ramai sehingga berjuta-juta orang, ia menggoncang kekuatan BN yang selama ini tidak pernah termimpi dapat disaingi pembangkang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menceritakan kepada pemberita bagaimana mood protes dari Kuala Lumpur dibawa oleh pengundi muda Melayu, Cina dan India ke kawasan Parlimen Padang Rengas di Perak. Mereka, kata Nazri, balik ke kampung mempengaruhi ibu bapa masing-masing supaya mengundi pembangkang. Nazri hanya dapat mempertahankan kerusi Padang Rengas dengan undi majoriti 1,749 sahaja, sedangkan empat tahun sebelum itu beliau menang dengan undi majoriti yang lebih selesa sebanyak 5,563. “Saya hanya selamat kerana hubungan peribadi saya dengan pengundi di situ,” katanya.
Hakikat bahawa BN hanya memperoleh 140 kerusi Dewan Rakyat, dan tewas di 82 kerusi Parlimen – berbanding kemenangan 198 kerusi pada 2004 – dan kalah di berpuluh-puluh lagi kerusi DUN sehingga hilang penguasaan ke atas negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal menawan Kelantan mencerminkan betapa besarnya gelombang mood rakyat. Para penganalisis mengumpamakannya dengan tsunami – satu gelombang besar yang memukul dan memusnah tanpa disedari.
Di Parlimen Kuala Langat yang pada tahun 2004 BN menang dengan undi majoriti 21,495, calon BN di kawasan itu, Datuk Sulaiman Mohd. Karli tidak menyangka beliau boleh tewas kepada calon PKR, Abdullah Sani Hamid dengan undi majoriti 989. Semasa kempen pilihan raya, Sulaiman tidak merasai langsung tanda-tanda BN akan kalah di situ. Pada malam keputusan diumumkan, seorang pembantunya yang panik mengirim SMS kepada seorang editor akhbar: “Saudara, apa sudah berlaku ini?”
Di sesetengah kawasan pilihan raya, mood rakyat diburukkan lagi dengan masalah politik kaum. Kuala Langat mempunyai kira-kira 18.49 peratus pengundi India daripada 66,515 pengundi di situ, iaitu seramai 12,298 orang. Dengan Abdullah mengumumkan pilihan raya ketika masalah Hindraf dan ketidakpuasan hati masyarakat India belum dirungkaikan, Sulaiman menjadi salah seorang yang tumbang.
Undi India jugalah yang menumbangkan BN di banyak kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kalah di Lembah Pantai kerana pengundi India.
Politik perkauman yang telah menipis kini tebal semula dalam pilihan raya umum yang baru lalu. DAP berjaya dengan kempennya di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Parti itu memberitahu pengundi Cina bahawa satu undi kepada MCA dan Gerakan bermakna satu undi yang akan mengukuhkan dominasi UMNO. Banyak orang Cina, khususnya di Pulau Pinang, termakan dengan hasutan itu.
Perkauman
Sentimen perkauman pengundi Melayu juga berputik. Di Parlimen Hulu Selangor, misalnya, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang mewakili BN tersungkur di kawasan itu. Pengundi Melayu di situ memberi kemenangan kepada BN di ketiga-tiga kerusi DUN di Hulu Selangor iaitu kepada calon MCA di DUN Kuala Kubu Baharu dan dua calon UMNO di DUN Batang Kali dan Hulu Bernam. Tetapi di peringkat Parlimen, sebahagian besar pengundi memangkah calon PKR, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, dan membenamkan masa depan politik Palanivel, cuma dengan undi majoriti 198.
Palanivel tentulah amat kecewa kerana pengundi yang sama di Hulu Selangor pada tahun 2004 telah membantunya mengalahkan tokoh Pas, Datuk Ismail Kamus dengan undi majoriti 14,483. Kali ini orang Melayu di situ, pengundi yang sama, menolaknya walaupun beliau ialah seorang wakil rakyat yang berdedikasi. Perbalahan politik yang berlaku dalam masyarakat India memberi implikasi kepada persepsi pengundi Melayu. Persepsi inilah yang melanda bukan sahaja Palanivel tetapi juga Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang kalah di Parlimen Sungai Siput.
Serangan terhadap kerajaan melalui laman-
laman blog dan Internet sudah wujud sejak pilihan raya 1999, tetapi strategi itu gagal membantu kemaraan pembangkang dengan berkesan, malah tidak efektif langsung dalam pilihan raya 2004. Blog dan laman web hanya menjadi satu medium komunikasi yang berpengaruh pada 2008 apabila mood rakyat terhadap kerajaan bertukar ekoran kenaikan harga minyak selepas pilihan raya 2004.
Di Kedah pula, perbalahan antara Abdullah dan Mahathir mungkin bukan satu-satunya faktor kenapa Kedah jatuh kepada Pas, dan hujah itu tidak popular di kalangan sesetengah orang UMNO, tetapi ia menambahburukkan lagi sentimen pengundi.
Di Kedah, analisis awal menyebut sebahagian besar pengundi saluran 3 dan 4 di peti-
peti undi di negeri itu, iaitu mereka yang lahir pada tahun 1960-an dan 1970-an, menyokong pembangkang. Pendapatan benar yang merosot di kalangan pengundi berusia 30-an dan 40-an yang sedang membina keluarga digambarkan dengan jelas dalam pola pengundian. Ia membuktikan petunjuk-petunjuk ekonomi seperti nilai perdagangan luar berjumlah trilion ringgit dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sehingga hampir tujuh peratus belum dapat diterjemahkan kepada kemakmuran hidup rakyat biasa.
Faktor calon di kebanyakan kawasan dalam pilihan raya kali ini bukan isu besar kerana jika pembangkang letakkan ‘batu, kayu atau sesiapa sahaja’ pun ia akan menang berdasarkan kecenderungan rakyat kali ini. Contoh klasik ialah calon bebas yang menang di DUN Bukit Selambau, Kedah. Pengundi Melayu
dan Cina sudah sampai ke peringkat mereka tidak berasa bersalah mengundi siapa sahaja asalkan BN kalah. Perasaan ini berleluasa.
Jentera pembangkang tidak sekukuh seperti yang disangkakan. Sungguhpun pembangkang kelihatan mempunyai lebih banyak wang untuk berkempen kali ini, undi protes dalam pilihan raya umum bukan timbul kerana faktor jentera pembangkang atau kerana hujah-hujah pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BN hilang kuasa di Terengganu pada 1999 kononnya kerana faktor sentimen rakyat terhadap Anwar ketika itu. Kenapakah kali ini BN tidak jatuh lagi sekali di Terengganu ketika Anwar berada di luar penjara? Rakyat Terengganu tahu betapa susahnya hidup di bawah kerajaan pembangkang. Mereka tidak mahu lagi, mereka serik.
Sebaik sahaja selesai pilihan raya 8 Mac lalu, ramai pengundi yang memprotes menghela nafas panjang dan mengurut dada. Mereka kini menyesal. Baru mereka sedar betapa hebatnya kuasa undi protes mereka. Mereka kini tahu bahawa satu undi kepada Pas dan PKR akan membolehkan ahli-ahli politik DAP menguasai kerajaan negeri dan negara.
Mereka kini ada contoh jelas bagaimana kuasa UMNO dan Melayu jatuh. Muncul di depan mata mereka pengalaman orang Melayu hampir-hampir hilang kuasa, pemimpin Melayu terpaksa menjadi boneka dan bagaimana ayat al-Quran digunakan dalam kempen oleh sesetengah pihak tetapi bila memperoleh kuasa ia dilupakan untuk membantu menaikkan politik cauvinis Cina di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.
Banyak pengajaran daripada pilihan raya Sabtu lalu – kepada rakyat mahupun pemimpin. Kepada ahli-ahli politik yang kalah dan pemimpin yang hampir kalah, pengajarannya ialah jawatan politik adalah satu tragedi yang tidak boleh dielakkan. Selepas kemenangan, akan datang kekalahan. Yang bernasib baik mungkin mati semasa memegang jawatan. Yang tidak beruntung akan dihantui kekalahan itu sepanjang hidup mereka.
Bagaimanapun, politik dalam konteks orang Melayu di Malaysia melampaui kepentingan perseorangan. Kekalahan banyak kerusi bakal membawa pembaharuan, kerana politik bukan sekadar kisah peribadi. Politik bagi orang Melayu lebih besar daripada isu jawatan dan individu, kerana ia soal ketahanan kuasa bangsa. Dalam politik, orang Melayu kini berdoa, barang dijauhkan Allah kuasa bangsa Melayu ditimpa tragedi, barang dijauhkan Allah bangsa Melayu hilang negeri lagi.
1 ulasan:
Kasian ... ko mu hanya memikirkan melayu didalam UMNO yang berpecah .. kamo tidak menyedari melayu yang sekarang ini sudah bersatu padu didalam PAS ...
perpecahan hanya dikalangan melayu UMNO yang sudah muak dengan gaya hidup berpenyakit ...
melayu hari ini lebih bijak berfikir .. debih tinggi pendidikan ... lebih memahami siapa pejuang bangsa yang sebenar ..
hanya melayu umno seperti kamu sahaja yang berasa kecewa dengan apa yang berlaku .. tetapi golongan melayu yang lebih profesional dan tidak mengharapkan wang suapan kerajaan tidak algi terpengaruh dengan dakyah songsang dan menyesatkan kamu ini .
tidak sesekali menyesali terhadap protes yang kami mahukan .
UMNO haru sedar .. mereka tidak lagi menjadi suara melayu.
UMNO harus sedar .. perpecahan hanya di kalangan melayu UMNO .. dan bukan melayu keseluruhan.
melayu berpendidikan sudah mula faham tentang hidup bersatu padu ..
melayu berpendidikan sudah boleh menerima kehadiran bangsa asing disini.
melayu berpendidikan sudah boleh menilai kerosakan dan pembohongan UMNO selama ini ..
Kami tidak lagi terpesona dengan janji DEB yang pada dasarnya membantu melayu tetapi pelaksanaannya lebih kepada kepntingan peribadi ...
Hentikanlah drama spektra kamu daripada terus bersenandika sendirian. kami akan lebih aman apabila UMNO itu hancur musnah ..
MUSNAHKAN UMNO DEMI KEPENTINGAN MELAYU ...
Catat Ulasan