MASYARAKAT bermaklumat kini mengutamakan sistem penyampaian bersepadu dan berkesan. Ia berorientasikan pengguna dan bersifat memenuhi cita rasa dan kehendak sasaran. Yang pasti masyarakat kita memerlukan mesej yang bertanggungjawab, boleh dipercayai dan konsisten dengan iklim semasa. Maklumat sewajarnya sahih, benar dan bertanggungjawab.
Namun, kita kecewa apabila sistem komunikasi khususnya media elektronik milik kerajaan yang berat sebelah, tidak konsisten mahupun seimbang dalam konteks komunikasi dua hala. Bahkan, media perdana kita masih dibelenggu paradigma kepentingan dan orientasi penyampai (sumber) bukan melayani tuntutan sasaran dan pengguna. Kita dibuai dengan mencitrakan impian personaliti bukan isu, masalah mahupun kepentingan sasaran dan rakyat.
Justeru, saya bersetuju dengan arahan Menteri Penerangan baru, Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya RTM lebih mesra penonton dengan mengutamakan kepentingan sasaran dan rakyat dengan penyampaian maklumat menerusi berita dengan tepat dan seimbang, bukan mencitrakan personaliti tertentu semata-semata.
Yang penting, RTM perlu menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan sesuai dengan cita rasa dan tuntutan rakyat. Ia mesti relevan dan terkini walaupun ia bersifat mencitrakan kepelbagaian isu dan permasalahan rakyat.
Media televisyen mesti berfungsi memberitahu, menghibur dan sekali gus mendidik. Teras media bukan sekadar menyampaikan maklumat dalam bentuk sebelah pihak sedangkan tuntutan massa pelbagai, beraneka ragam lagi bersimpang siur.
Justeru, sudah sampai masanya, kerajaan mengguna media baru dan berita digital sebagai wadah penyampaian maklumat, berita, bahan hiburan dan pendidikan dari menjadi maklumat berorientasikan sumber.
Pengguna dan rakyat sedar betapa institusi penyiaran dan akhbar khususnya industri media mempunyai tanggungjawab membantu pembentukan minda dan modal insan cemerlang menerusi pemberitaan seimbang dan berintegriti.
Jika rakyat boleh menyebarkan maklumat menerusi Ipod, Youtube, blog dan lain-lain, maka institusi media negara harus mengorak langkah menyepadukan penyebaran maklumat untuk perubahan minda dan sikap dengan lebih rancak, sistematik, konsisten dan seimbang.
Yang penting, kita mesti mengamalkan komunikasi pemasaran bersepadu dengan teras dan amalan membabitkan orientasi pengguna, komunikasi bersepadu, mesej yang konsisten dengan penuh suasana keselesaan, kejujuran, berintegriti dan bersifat akauntabiliti lagi benar.
Saya berpendapat, RTM kini perlu dirombak sesuai dengan tuntutan semasa dengan mengamalkan teras orientasi pengguna berpaksikan prinsip dan lunas pemasaran bersepadu. Saya percaya Menteri Penerangan baru yang mempunyai wawasan dan idea bernas mampu melakukannya.
Era globalisasi kini mementingkan tuntutan pengguna yang lebih mencabar daripada apa yang hanya dikehendaki golongan tertentu. Ini selaras dengan pendekatan komunikasi yang bersifat interaktif, saling berkongsi pengalaman dalam konteks perhubungan yang saling memahami bukan sebaliknya. Kita mesti membina perhubungan dengan lebih mesra dan mantap bukan bermusim dengan penuh keikhlasan dan minda terbuka.
Amalan dan falsafah baru ialah mendengar, membaca dan menonton suara hati dan keperluan dan tuntutan rakyat, sekali gus menterjemahkan pelan tindakan proaktif bukan mengagungkan personaliti tertentu sebagai ikon dan citra baru.
Walaupun nostalgia penting, generasi baru dan lama sekarang memerlukan proses komunikasi seimbang dan berbentuk dua hala lagi saling berdialog dan berinteraksi. Harus diingat, selera dan cita rasa masyarakat kini sudah berubah dan penyampaian maklumat mesti seimbang dan mampu membina proses buat keputusan mereka.
Jika tidak, ketidakselarasan kognitif akan berlaku dan tentu sekali ia amat merugikan negara pada masa hadapan, lebih-lebih lagi jika penonton beralih ke saluran lain.
PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
Pusat Pengajian Komunikasi USM.
0 ulasan:
Catat Ulasan