Isnin, 17 Mac 2008

Melayu mesti bijak, matang berpolitik

PELBAGAI pihak merasai kesan daripada keputusan pilihan raya umum, baru-baru ini. Apa yang membezakannya ialah sama ada kesan yang diterima itu menyedihkan atau menggembirakan. Namun, jangan berasa hairan jika ada rakyat yang langsung tidak teruja dengan apa juga keputusan yang diterima.

Keputusan pilihan raya lalu ibarat gelombang yang mengganas tentu sekali mengundang pelbagai reaksi. Reaksi yang terkesan ini amat wajar diurus dengan baik kerana tanpa pengurusan perubahan yang baik, negara boleh terancam.

Bagi sesetengah pihak, tiada apa yang mengejutkan mengenai keputusan pemilihan itu. Mungkin kerana sudah menjangka dan mengharapkan keputusan sebegitu. Ada juga rakan yang mengatakan kesan pilihan raya lalu bukanlah kesan besar dan tidak boleh dipanggil 'tsunami'.


Antara bukti kesan emosi akibat keputusan itu ialah emosi tidak senang orang Melayu berhubung kontroversi penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tentu sekali, orang Melayu berasa marah apabila isu yang membabitkan hak orang Melayu diusik.

Orang Melayu mesti bijak mengawal emosi apabila mempertahankan hak mereka. Paling penting mereka tidak hilang relevan berjuang untuk kepentingan bangsa. Bergerak dengan bijaksana tanpa mengenal penat lelah melalui pelbagai mekanisma signifikan seperti antara lain penganjuran seminar, bengkel, motivasi dan penulisan mengenai keperluan orang Melayu mencintai bangsanya.

Pemimpin Melayu, terutama Umno mesti sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu yang semakin hilang kuasanya akibat perpecahan orang Melayu sendiri. Jangan sekali-kali putus asa dan lupa untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

Emosi yang tidak terkawal banyak mendatangkan mudarat besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12). Ketidakpuasan hati rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) mungkin disebabkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa pemimpin yang dirasakan tidak amanah dan tidak menjalankan tugas dengan baik.

Di samping itu, isu lain seperti ketidakpuasan mengenai kenaikan harga minyak, indeks jenayah yang tinggi, kempen provokasi agresif parti lawan BN, masalah dalaman BN menyumbang kepada kegagalan BN mendapat kemenangan besar.

Bagaimanapun, rasa marah terhadap ketidakcekapan beberapa pemimpin BN digeneralisasikan kepada semua pemimpin BN sehinggakan pemimpin yang berwibawa juga menerima bahananya. Janganlah 'marahkan nyamuk, bakar kelambu'. Janganlah terlalu beremosi sehingga 'menang sorak, tapi membiarkan kampung tergadai'. Jelas, orang Melayu gagal mengawal emosi apabila turun mengundi.

Kini, rakyat perlu akur dengan keputusan pemilihan itu yang dihasilkan mereka sendiri. Apapun keputusan sama ada mengejut atau mengejutkan perlu ditelan. Seorang rakan menjelaskan amat penting bagi rakyat untuk bijak menangani perubahan yang berlaku. Jika gagal menghadapi perubahan ini, diri akan tenggelam dan semakin jauh ditinggalkan dalam perubahan kematangan berfikir pengundi yang semakin tinggi.

Perubahan yang berlaku akibat daripada proses kematangan berfikir rakyat memungkinkan segala yang tidak terfikir pada waktu dulu. Ramai yang gembira mengenai tahap kematangan berpolitik yang semakin tinggi, ketelusan perjalanan pilihan raya dan juga ketelusan sistem demokrasi.

Benar, rakyat wajar bijak menangi perubahan. Bagaimanapun, perubahan mengejut seperti diserang tsunami ini (tidak semua menganggap ia sebagai tsunami) ada kalanya memerlukan masa untuk rakyat mengalami dan menerimanya.

Bukanlah satu perkara mudah untuk terus mengubah mentaliti seseorang. Contohnya, kalau dulu Pas, PKR dan DAP adalah parti pembangkang dalam pemerintahan Kerajaan Selangor, keadaan kini sudah berubah. Perubahan ini memerlukan masa untuk rakyat menerimanya.

Perubahan yang berlaku secara mengejut sering kali menyebabkan ramai rakyat yang berada dalam keadaan terkejut. Apabila terkejut, maka berlaku penafian. Apatah lagi dalam keadaan di mana perubahan ini dirasakan dan dipersepsikan akan memberi kesan kepada hak orang Melayu.

Rakyat yang masih berada pada peringkat penafian memerlukan masa untuk berubah. Jika proses penafian ini dapat diatasi dengan baik, maka individu akan dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Bagaimana sekiranya, peringkat penafian ini berterusan, maka individu mempunyai mekanisme bela diri yang sangat tinggi. Jika ini berlaku, amat sukar untuk individu berubah dan mengurus perubahan kesan pilihan raya itu dengan baik.

Rakyat mesti bijak mengurus emosi akibat daripada perubahan pemilihan lalu. Dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, orang Melayu perlu bijak mengawal emosi dan pada waktu yang sama menjalankan strategi agar terus kekal berjuang dan sentiasa relevan memperjuangkan nasib orang Melayu. Jangan sekali-kali lupa akan perkara ini.

DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber Berita Harian

0 ulasan: