ISTILAH globalisasi merujuk kepada fenomena yang menjadikan dunia kelihatan seperti mengecil dari segi perhubungan manusia kerana kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Dewasa ini, Internet merupakan alat globalisasi yang tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam menyebarkan maklumat.
Blog pula ialah salah satu media alternatif yang menggunakan jaringan Internet dan semakin popular digunakan, khasnya oleh golongan muda kerana masa dan ruangannya yang tidak terhad seperti media-media lain.
Baru-baru ini, iaitu pada 11 Mac 2008, satu diskusi berkaitan blog bertajuk ‘Penulis dan Blog: Trend Masa Kini’ telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam diskusi tersebut, panelis-panelis telah mendedahkan bahawa sehingga Februari lalu, terdapat 108 juta laman blog yang wujud, dengan 120,000 blog baru setiap hari atau 1.4 blog sesaat.
Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa blog merupakan medium yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat bagi menyalurkan maklumat antaranya agama, pendidikan, undang-undang, politik dan bisnes.
Malah ia turut menyuarakan pandangan mereka menerusi catatan-catatan atau diari dalam talian, keluh-kesah, artikel dan komen berkenaan pelbagai perkara, lazimnya dalam isu melibatkan masyarakat dan pemerintahan negara.
Sehubungan itu, hasrat Menteri Penerangan yang baru, iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek, untuk mendekati para penulis blog adalah sangat wajar dan harus dipuji.
Beliau berpendapat bahawa pandangan penulis blog tidak boleh diketepikan, dan menyatakan keinginannya untuk membuat pertemuan dengan mereka bagi mendapatkan maklum balas sebagai usaha membantu pembangunan negara.
Ini adalah kerana, pandangan-pandangan yang dimuatkan ke dalam blog lazimnya merupakan ‘suara hati’ yang sebenarnya kerana tidak melalui sebarang ‘penapisan’. Jadi, ketulenan pandangan tersebut adalah lebih tinggi dan perlu diambil kira dalam menilai hasrat dan keinginan masyarakat terhadap negara khususnya.
Kesimpulannya, blog merupakan medium yang tidak boleh dipandang ‘sebelah mata’ seperti pada awal penggunaan Internet di negara kita.
Masyarakat hari ini semakin peka dan bijak menggunakan teknologi dalam menyalurkan sebarang idea, pandangan dan ketidakpuasan terhadap sesuatu perkara.
Justeru, usaha yang ingin dilakukan oleh beliau bagi mendekati penulis blog adalah wajar disokong.
– Mohd Faisal Mustaffa,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.
0 ulasan:
Catat Ulasan