Sabtu, 22 Mac 2008

Pendidikan Islam patut jadi subjek wajib

MENTERI Dalam Negeri, Jerman, Wolfgang Schaeuble, Isnin lalu mengumumkan bahawa negara itu akan membenarkan pengajaran agama Islam diterima sebagai mata pelajaran rasmi untuk seluruh institusi pendidikan di negara itu. Wolfgang menegaskan bahawa mata pelajaran Islam dapat membantu dalam melancarkan proses integrasi penduduk Muslim ke dalam masyarakat di negara itu.


Dengan sejumlah 3.4 juta penduduk Muslim yang menetap di negara itu, ia sebenarnya menjadikan agama Islam kembali penting, di samping agama majoriti masyarakat Jerman iaitu Kristian Protestan dan Katolik. Antara lain tujuan memperkenalkan mata pelajaran ini adalah bagi mengelakkan masyarakat Muslim hidup tersisih dan membanteras kelahiran pelampau melalui pengajian tidak rasmi di institusi lain.

Usaha Kerajaan Jerman ini secara umumnya, sangat wajar diteladani dan dicontohi seluruh negara sekitarnya. Saya melihat kesan yang sangat baik dalam pelaksanaan sistem ini.



l Pertamanya, jelas menunjukkan bahawa agama Islam itu adalah agama yang penuh kesejahteraan. Sistem pendidikan Islam berbeza dengan sistem pendidikan yang lain. Ia menekankan aspek kekuatan moral dan akhlak yang membentuk sifat peribadi dan kerohanian yang mana tidak disentuh dalam mata pelajaran lain. Lantaran didikan rohani sahajalah yang mampu mengekang individu daripada terus melakukan kejahatan serta keburukan.

l Keduanya, dalam konteks negara Malaysia, tidak salah kiranya mata pelajaran agama Islam dijadikan mata pelajaran wajib bagi seluruh peringkat pengajian. Dengan kata lain, ia menjadi subjek teras yang mesti dipelajari termasuk pelajar bukan Islam. Pada pendapat saya, di samping membentuk didikan moral kepada pelajar bukan Islam, ia secara tidak langsung turut memperkenalkan gambaran Islam yang sebenar dan hakiki kepada mereka.

Saya yakin, andainya sistem ini dapat dijalankan dengan sempurna dan teratur, negara kita akan dapat melahirkan satu bangsa yang bersatu padu dan saling memahami. Tidak wujud masalah perbalahan kaum atau agama lantaran sifat Islam itu sendiri yang sentiasa mempelopori kesejahteraan kepada semua makhluk dan alam semesta


MOHD HAAFIZUDDIN ABIRERAH,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Sumber Berita Harian

0 ulasan: