Isnin, 17 Mac 2008

Islam tidak galak ummah bercakaran

WAHAI bangsaku, sedarlah dan kembalilah ke pangkal jalan. Rata-rata sekarang kita saling 'bercakaran' tanpa disedari kita bakal membunuh bangsa sendiri.

Sudah terlalu jauh kita tersesat jalan. Mengapa kita perlu berpecah-belah sesama sendiri sedangkan Islam adalah satu dan Melayu juga adalah satu, tidak ada Melayu Pas, PKR mahupun Umno. Yang ada hanya Melayu.

Sudah jauh kita semakin lupa dan tidak mensyukuri segala nikmat yang diberikan. Apa yang saya amat kesalkan, anggota kakitangan kerajaan sendiri tidak menyokong pemerintahan negara, jadi saya cabar mereka supaya meletak jawatan, pergilah berkhidmat dengan pihak yang didakwa betul.

Begitu juga dengan warga peneroka Felda yang lupa segala-galanya. Lihatlah pengorbanan yang diberikan kerajaan di dalam mengubah nasib anda semua. Apa yang tidak diberikan Felda kepada anda - tanah, rumah, bantuan kewangan, sampai anak peneroka yang berjaya juga akan diuruskan oleh Felda.

Namun, anda lupa segala-galanya. Bila tiba musim pilihan raya, anda lupa, waktu itu juga wujudnya surau anda sendiri.

Perpecahan kita semakin ketara, sedangkan anda mendakwa kononnya anda pejuang Islam. Ingatlah Islam tidak menganjurkan perpecahan di kalangan umatnya.

Sudahlah wahai bangsaku, saya menyeru kepada semua pemimpin Melayu, berbincanglah, bersatulah semua, tidak perlu kita menubuhkan parti baru. Semakin banyak parti ditubuhkan, semakin lemah kita di bumi sendiri.

Kepada Pas dan PKR, sekiranya tidak berpuas hati, berbincanglah dengan pemimpin negara dan cari jalan penyelesaian yang terbaik. Saya, sebagai rakyat biasa di negara ini amat berharap agar semua Melayu dapat digabungkan semula maka 'Kegemilangan Ketuanan Melayu' akan kembali bersinar.

MOHD SAIFUL BAHARIN,
Sungai Petani, Kedah.

Sumber Berita Harian

0 ulasan: