Jumaat, 14 Mac 2008

Ketuanan Melayu mesti dipertahan

SAYA hanya mampu menggelengkan kepala apabila satu demi satu keputusan pilihan raya umum dipaparkan di televisyen pada malam 8 Mac dan awal pagi 9 Mac lalu.

Saya bersengkang mata hingga ke Subuh untuk mendapat kepastian dan begitu terkilan apabila mengetahui sebahagian rakyat Malaysia memilih untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di empat negeri pantai barat, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Malah, BN dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen. Syukur Alhamdulillah kerana BN masih mampu menubuhkan Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah.


Berdasarkan keputusan pemilihan itu, saya berharap rakyat, khususnya orang Melayu yang anti-establishment berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan.

Atas alasan undi protes dan emosi jangka pendek, mereka sanggup menggadaikan masa depan bangsa sendiri hingga menyebabkan Pulau Pinang kini diterajui seorang Ketua Menteri daripada DAP yang jelas lebih mengutamakan satu kaum saja walaupun mendakwa mereka parti pelbagai kaum.

Perak juga di ambang pemerintahan seorang Menteri Besar yang walaupun Melayu dari Pas, langsung tidak bertaring kerana hanya menjadi proksi kepada DAP yang memenangi lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.



Selangor pula mendapat Menteri Besar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sanggup bersekongkol dengan individu yang kempunan untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagus dan tahniah kepada orang Melayu yang anti-establishment yang memainkan peranan besar menumbangkan BN di negeri berkenaan. Teruskan perbuatan anda lima tahun dari sekarang.

Ketika itu nanti, barulah tahu langit itu tinggi atau rendah.

Lihatlah saja Pulau Pinang, baru sehari dua memerintah, DAP sudah tunjuk belang.

Tidak perlu saya cerita lebih panjang kerana bimbang akan mewujudkan elemen berbau perkauman. Kalau orang Melayu tidak sedar lagi bahaya yang sedang dihadapi, bermakna masa depan anak cucu kita sudah pun dipahat secara kekal di tembok perjalanan politik, sosial dan ekonomi negara yang amat saya sayangi dan cintai ini.

Pengundi bukan Melayu menunjukkan sikap mereka pada pemilihan lalu dengan memilih parti yang boleh memastikan kepentingan mereka terus dipelihara, malah mungkin juga ditingkatkan ke tahap yang mampu menghakis atau melenyapkan terus ketuanan Melayu di negara ini.

Pulau Pinang, Perak dan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah bukti nyata langkah nekad bukan Melayu untuk menjadi komponen rakyat yang lebih agresif, yang mampu menepis dan menangkis pengaruh Umno sebagai parti politik utama yang mewakili kepentingan Melayu.

Namun, pengundi Melayu sendiri yang mencabul penat lelah perjuangan Umno untuk mereka dengan memilih pembangkang.

Merekalah bangsa yang tidak tahu bersyukur atas segala kenikmatan, keistimewaan dan kesejahteraan hidup yang diperoleh dari saat mereka lahir hingga sekarang yang semua kerana dasar dan sistem yang dicetuskan oleh kepemimpinan negara sejak sekian lama iaitu BN yang diterajui Umno.

Inilah masalahnya kalau sudah terlebih pandai atau lebih tepat lagi, pandai tidak bertempat.

Saya adalah profesional Melayu dan berterima kasih kepada BN dan Umno kerana mewujudkan sistem yang membolehkan saya berada di kedudukan saya sekarang.

Tiada faedahnya menjadi anti-establishment hanya semata-mata ingin dilihat sebagai golongan celik dan cerdik dari segi kesedaran hak untuk memilih pemerintah negara. Macamlah negara kita ini terlalu teruk keadaannya seperti beberapa negara di Afrika, Asia Selatan, malah sebuah negara jiran di Asia Tenggara yang rakyat memberontak kerana keadaan hidup yang sudah terlalu mendesak dan serba kekurangan.

Yang lebih lucu, kebanyakan orang Melayu yang anti-establishment ini adalah golongan berada sebenarnya. Di kawasan DUN Hulu Klang dan DUN Bukit Antarabangsa di mana saya tinggal contohnya, kebanyakan penyokong PKR, malah Pas memandu kenderaan pacuan empat roda mewah dan kenderaan mewah Eropah yang kita semua sedia maklum.

Itulah anti-establisment mengada-ngada namanya sehingga menyebabkan ketuanan Melayu kini ibarat telur di hujung tanduk.

Fikirkanlah wahai insan berbangsa Melayu dan beragama Islam.

RIDZUAN ZULKIFLI,
Hulu Klang, Selangor.
Sumber Berita Harian

0 ulasan: