Selasa, 11 Mac 2008

Survival Melayu tergugat - Surat 1

KEPUTUSAN Pilihan Raya Ke-12 baru-baru ini mempunyai seribu erti yang perlu difikirkan dengan sedalam-dalamnya oleh orang Melayu khususnya. Kita sudah kehilangan Singapura 43 tahun dahulu, dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung tertindas tanpa disedari.

Tidak ada kuota menteri penuh Melayu, azan tidak boleh dilaungkan di luar masjid, bahasa Melayu menjadi bahasa ketiga, orang Melayu tidak dibenarkan memegang jawatan tertinggi dalam tentera dan polis, mereka menuntut Pulau Batu Putih sebagai milik mereka dan pelbagai lagi ketuanan bangsa Melayu yang sudah lenyap di tanah Singapura.

Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula.

Saya teringat keluhan isteri saya, saya bertanya kepadanya supaya kami berpindah ke Kota Kinabalu supaya berdekatan dengan orang tua dan keluarga.

Tetapi kekecewaan isteri saya masih tidak boleh dilupakannya kerana penindasan yang dialaminya apabila suatu ketika dulu negeri Sabah diperintah oleh sebuah parti pembangkang. Pada ketika itu isteri saya top five keputusan SPM, maka Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, dan Yayasan Tun Fuad menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Australia. Sesudah mengisi borang, tawaran itu ditarik balik dengan alasan isteri saya orang Melayu dan Islam.

Menurut mereka biasiswa itu hanya untuk bumiputera Sabah sahaja. Nasib baiklah Kerajaan Persekutuan ada juga menawarkan biasiswa kepada isteri saya, Alhamdulillah isteri saya sekarang ini berjaya dalam hidupnya dengan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Sebenarnya bukan isteri saya sahaja, malah ketika itu kita tentu masih ingat lebih kurang 100 pelajar Melayu/bumiputera Islam yang sedang belajar di luar negeri telah juga ditarik balik biasiswanya oleh Yayasan Sabah sehingga menyebabkan pengajian mereka tergendala.

Saya percaya dalam tempoh akan datang, jika orang-orang Melayu tidak juga sedar bahawa mereka sekarang sudah hilang kuasa politik, peristiwa yang sama juga akan berlaku di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang terutamanya Pulau Pinang, Perak, Selangor, dan Kedah.

Jika kita orang Melayu tidak berhati-hati dan tidak sedar-sedar juga, saya yakin Pulau Pinang akan menjadi Singapura kedua. Bakal Ketua Menteri Pulau Pinang pun sudah menyebut Pulau Pinang sebagai Penang sejurus kemenangannya.

Jika kita selami secara mendalam perkara ini, sebenarnya itulah nasib bangsa Melayu di Penang pada masa akan datang.

Tidakkah kita belajar pengalaman di Palestin, bahawa pada tahun 1947 Israel hanya menduduki kurang 10 peratus tanah orang- orang Palestin, tetapi pada tahun 2000, 80 peratus tanah orang Palestin sudah pun dikuasai oleh bangsa Israel.

Di keliling Semenanjung Gaza, dipasang tembok dan pagar berduri menyebabkan kebebasan hak asasi umat Islam Palestin terikat. Elektrik dicatu, hendak solat Jumaat berdepan dengan muncung senjata malah keperluan makanan dan pakaian menjadi amat sukar.

Sebab itulah orang-orang Melayu perlu sedar dan bangun dari tidur dengan kesilapan memberi undi kepada pembangkang terutamanya DAP. Mungkin ada pihak berkata kenyataan ini berbau perkauman, tetapi kita tidak sedar kain rentang parti DAP menyatakan “Undi MCA Bermakna Undi UMNO/Melayu”, atau dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina mereka menulis “ Undilah calon-calon Cina sahaja”.

Kita orang Melayu terlalu bertolak-ansur dan terlalu berlembut sehingga kempen-kempen seperti di atas walaupun berbau perkauman tetapi tidak ada tindakan diambil.

Apabila kita pula orang Melayu menyatakan perkara yang sama, kita pula dituduh sebagai memainkan api perkauman sedangkan semua itu permainan mereka untuk menjatuhkan kita orang Melayu.

Apabila mereka memainkan isu hak ketuanan bangsa Melayu dan umat Islam, pernahkah mereka memikirkan perasaan kita umat Islam. Mereka tidak pernah peduli apa itu OSA, ISA, ataupun Akta Hasutan sebab itu akhbar mereka bebas dan berani.

– PERANTAU SABAH,

Ipoh, Perak.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: