Jumaat, 14 Mac 2008

Analisis: Kerajaan campuran bagai api dalam sekam

Oleh Ridzuan Yop

Sumber Berita Harian

Kekecohan DAP, PKR dan Pas pilih Menteri Besar Perak bukti kepemimpinan tiga parti goyah

RAPUH! Itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang berusaha menubuhkan kerajaan negeri di Perak selepas menang dengan majoriti mudah 31 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Proses peralihan kuasa yang kelihatan berjalan lancar nampaknya hanya sekadar di permukaan kerana di dalam benak masing-masing masih cuba mengatasi satu sama lain dan menunjukkan siapa lebih berkuasa.

Istiadat mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Pas sebagai Menteri Besar Perak yang dijadual berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang semalam terpaksa ditangguhkan.


Penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, PKR dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Ini berikutan bantahan PKR yang kecewa dengan langkah Pas menyerahkan lapan kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada DAP. PKR meminta supaya DAP dan Pas membincangkan semula isu pembahagian kerusi Exco. Malah PKR mengancam tidak akan menyertai pentadbiran kerajaan campuran itu selagi masalah berkenaan tidak diselesaikan.

Kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya mahu DAP memulau majlis angkat sumpah di Istana Iskandariah itu selepas beberapa jam Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin diumum sebagai Menteri Besar Perak Ke-10.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya memberi kelulusan bagi pembentukan sebuah kerajaan campuran parti pembangkang di Perak untuk diketuai DAP atau PKR.

Semalam, Kit Siang secara terbuka memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu, walaupun ia sudah mengguriskan hati ramai pihak.

Kenyataan Kit Siang sebelum memohon maaf itu jelas bercanggah dengan persetujuan ketiga-tiga parti - DAP, PKR dan Pas pada peringkat negeri untuk menyerahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menentukan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar.

Amat jelas kenyataan kepemimpinan DAP pada peringkat negeri jelas tidak senada dengan kepemimpinan Pusat parti itu sedangkan berkali-kali Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham berkata perkara itu (pemilihan Menteri Besar) diserahkan kepada Sultan Perak.

Adalah mustahil Ngeh 'memandai-mandai' mengeluarkan persetujuan itu jika tidak mendapat restu daripada CEC DAP sendiri.

Selain itu, pemilihan pelantikan Menteri Besar di kalangan ketiga-tiga parti juga dipersetujui pemimpin Pas dengan Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang turut mengeluarkan kenyataan sama bahawa parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Perak untuk membuat keputusan berhubung siapa yang bakal menjadi Menteri Besar.

Pada sidang media diadakan di pejabat Pas Perak baru-baru ini yang turut dihadiri Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Ahmad berkata: "Kami ketiga-tiga parti sudah bersetuju untuk menerima sesiapa saja diperkenankan Tuanku Sultan sebagai Menteri Besar Perak yang baru."

Arahan juga dikeluarkan kepada ahli Pas pada peringkat akar umbi jika Menteri Besar dilantik di kalangan Pas, mereka tidak boleh mendakwa ia sebagai milik parti itu, tetapi ketua negeri untuk kerajaan campuran.

Kelmarin, Sultan Perak memperkenankan Adun Pasir Panjang, Mohamad Nizar dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru, manakala Ngeh sebagai Timbalan Menteri Besar 1 dan Timbalan Menteri Besar 2 akan diisi oleh calon PKR keturunan India, iaitu Adun Hutan Melintang, S Kesavan satu-satunya calon keturunan India yang menang atas tiket PKR.

Mohamad Nizar, 51 berasal dari Kampar, Perak seorang jurutera perunding yang mendapat pendidikan di Birmingham, England dan menyertai Pas sejak 1995 dengan memegang pelbagai jawatan dalam parti itu termasuk pernah menjadi calon Pas bagi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum 2004.

Ngeh, 47, seorang peguam berasal dari Ayer Tawar, Perak, lulusan undang-undang dari Universiti Malaya (UM) pada 1985, adalah ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas menang Pilihan Raya Umum 2004 bagi DUN Sitiwan.

Yang pasti Sultan Perak membuat pilihan selepas menilai latar belakang dan pengalaman calon berkenaan dalam politik dan kerjaya masing-masing sebelum ini kerana untuk mentadbir negeri bukanlah sesuatu yang mudah.

Berbanding ketika mereka menjadi pembangkang sebelum ini yang hanya pandai meminta orang lain membuat itu dan ini dan sekarang mereka terpaksa melaksanakannya sendiri dalam sebuah masyarakat majmuk yang kehendak dan keperluannya tidak terhad.

Yang jelas DAP terperangkap dengan mainan kempen politik mereka sendiri apabila terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Pas dan ini tentu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parti dan penyokong mereka yang mengundi DAP pada pilihan raya lalu.

Kebanyakan penyokong DAP berasakan mereka lebih berhak mendapat jawatan Menteri Besar kerana mereka menang 18 kerusi, manakala Pas cuma enam kerusi dan PKR tujuh.

Bagi penyokong DAP, mereka bimbang Pas yang dilihat parti Islam ekstrem berbanding Umno akan melaksanakan dasar yang mungkin bertentangan dengan kehendak dan keperluan mereka selepas menyandang jawatan Menteri Besar.

Pemerhati politik berpendapat bagi meredakan kebimbangan dan rasa tidak puas hati penyokongnya, Kit Siang dilihat cuba bermain sentimen bahawa mereka tidak bersetuju dengan perlantikan itu dan sekali lagi gus memberi bebanan kepada istana sebagai pihak yang bertanggungjawab memilih Menteri Besar Perak daripada Pas.

Jika Kit Siang dan CEC DAP tidak bersetuju dengan keputusan pucuk kepemimpinan DAP negeri membenarkan Mohamad Nizar daripada Pas menjadi Menteri Besar, kenapa beliau tidak mengarahkan DAP Perak membantahnya pada peringkat awal lagi.

Yang jelas Kit Siang cuba bermain sandiwara melenyapkan rasa tidak puas hati penyokong DAP terhadap parti itu kerana gagal mendapat jawatan Menteri Besar Perak selepas sokongan besar diberikan kepada mereka.

Kit Siang bagaimanapun, kemudian memohon maaf kepada Sultan Perak, Sultan Azlah Shah dan pemangkunya, Raja Dr Nazrin Shah berhubung kenyataan itu yang dilihat mempertikaikan keputusan Tuanku Baginda dan boleh mencemarkan nama baik Sultan Perak.

Permohonan maaf itu juga dipercayai dibuat apabila ada desakan sebilangan pembaca laman web peribadi Kit Siang yang mahu Menteri Besar Perak yang baru diberi peluang mentadbir kerajaan negeri dalam kerajaan campuran.

Pembangkang terutama DAP barangkali tidak menyangka mereka mampu menang besar dan membentuk kerajaan campuran di Perak pada pilihan raya umum kali ini.

Jika DAP benar-benar yakin dan bersedia merampas Perak sekali gus membentuk kerajaan negeri mereka sepatutnya meletakkan calon DAP di kalangan orang Melayu yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar.

Mengikut Perlembagaan Negeri Perak hanya Melayu beragama Islam boleh dilantik menjadi Menteri Besar. Ini bermakna, peluang calon DAP menjadi sukar walaupun memperoleh kerusi yang banyak berbanding Pas dan PKR.

Bagaimanapun, Seksyen 12(2) Perlembagaan itu menyatakan Sultan Perak mempunyai kuasa mengetepikan salah satu syarat berkenaan atau kedua-duanya sekali berdasarkan kepada pertimbangan Baginda.

Mengulas kekeliruan yang timbul antara DAP Perak dan CEC DAP, Ngeh berkata, pada mulanya CEC DAP mencalonkan nama beliau sebagai pilihan pertama, tetapi selepas bertemu dengan pemimpin Pas dan PKR negeri, mereka bersetuju menyerahkan ketiga-tiga nama daripada setiap parti.

Mengenai Pas yang hanya memenangi enam kerusi dilantik ke jawatan Menteri Besar, Ngeh berkata, perkara itu dilihat mampu melicinkan sistem penyampaian kerajaan negeri kerana kebanyakan kakitangan awam daripada keturunan Melayu.

Katanya, Menteri Besar daripada keturunan Melayu akan mendorong kakitangan awam berkenaan bertugas dengan sepenuh hati.

0 ulasan: