SAYA bersetuju dengan pandangan beberapa penulis rencana di akhbar ini berkaitan nasib masa depan orang Melayu dan Bumiputera berikutan beberapa negeri tumbang kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum kali ini.
Selepas melihat keputusan pilihan raya, saya akui kematangan politik di kalangan sesetengah pengundi semakin jelas. Tetapi, selepas menganalisis dengan lebih terperinci, timbul rasa sedih dan bimbang kerana negeri yang dulunya didominasi Melayu, terutama Perak dan Selangor kini berada dalam genggaman pembangkang.
Negeri yang berada di bawah kuasa komponen BN, terutama Pulau Pinang juga jatuh ke tangan DAP. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut jatuh ke tangan parti pembangkang DAP, PKR dan PAS. Mujurlah wilayah bukan negeri dan tidak ada Sultan.
Walaupun di Selangor PKR memperoleh lebih kerusi, iaitu 15 berbanding DAP 13 dan PAS lapan kerusi, DAP tetap parti dominan kerana PKR sendiri tidak dapat menubuhkan kerajaan dan terpaksa bergabung dengan parti lain.
Yang pasti, gabungan itu bukan dengan BN tetapi DAP dan Pas. Oleh itu, parti itu mempunyai kuasa dan suara besar dalam gabungan itu. Keadaan lebih buruk di Perak di mana DAP adalah parti terbesar dalam gabungan Kerajaan Perak dengan 18 kerusi diikuti tujuh (PKR) dan enam (Pas).
Hasrat wakil DAP untuk menjadi menteri besar mungkin tidak kesampaian disebabkan negeri itu diselamatkan oleh undang-undang tubuh Perak yang memperuntukkan menteri besar daripada kalangan orang Melayu beragama Islam.
Kini, DAP terpaksa mencari menteri besar boneka yang akan memerintah bagi pihak mereka.
Mungkin wakil Pas atau PKR dipilih tetapi DAP awal-awal lagi menyatakan bakal Menteri Besar Perak tidak mewakili parti tetapi mewakili semua rakyat Perak. Kenyataan ini seolah-olah memberitahu bahawa mereka sebenarnya berkuasa dengan wakil terbesar dalam gabungan Kerajaan Perak.
Keadaan paling menyedihkan ialah di Pulau Pinang di mana jika kerajaan sebelum ini pun gagal menangani masalah orang Melayu yang miskin dan terpinggir daripada arus kepesatan pembangunan negeri Pulau Mutiara ini, apatah lagi kerajaan yang kurang mesra Melayu kini memerintah dengan majoriti besar.
Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru awal-awal lagi menyatakan dasar DEB akan dihapuskan yang bermaksud tiada lagi keistimewaan terhadap orang Melayu di negeri itu.
Mujurlah pucuk pimpinan negeri itu melantik dua Timbalan Ketua Menteri seorang Melayu dan seorang India dengan harapan dapat mewakili kaum masing-masing.
Keadaan di Kuala Lumpur juga agak mencemaskan apabila DAP menguasai lima kerusi Parlimen, empat PKR, manakala satu Pas, BN pula menang di satu kerusi saja.
DAP sudah menyatakan mereka akan menyokong usaha jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipilih melalui pilihan raya setempat.
Saya amat faham mengapa kerajaan melantik Datuk Bandar di kalangan orang Melayu adalah untuk mengimbangi kekuatan semua kaum di Kuala Lumpur agar tidak dikuasai satu kaum saja.
Kaum Cina adalah penduduk majoriti Kuala Lumpur dan dengan jelas menyokong DAP berdasarkan pilihan raya umum 2008.
Oleh itu, kita sepatutnya sudah dapat menjangkakan mengapa DAP sangat tegas ingin jawatan itu dipilih melalui pilihan raya setempat dan sudah tentu kita dapat meneka kaum mana yang akan dipilih nanti.
Pada pandangan saya, keadaan yang menyedihkan ini mungkin ada kaitan dengan sikap orang Melayu yang kurang cerdik berpolitik dan membuat pilihan.
Ia ditambah dengan kesudian orang Melayu, terutama PKR bekerjasama dengan DAP demi mencapai cita-cita masing-masing.
Harakah, lidah rasmi Pas pula banyak memberikan ruang kepada PKR dalam menyampaikan ideologi mereka.
Kini saya mula tertanya-tanya, sekiranya Datuk Seri Anuar Ibrahim betul-betul ingin memperjuangkan keadilan, kenapa tidak menyertai Pas sebaliknya memilih untuk menubuhkan parti baru yang lebih memecahkan orang Melayu.
Jika alasan ingin mendapatkan sokongan pelbagai kaum, Pas kini dikatakan mempunyai kelab kaum bukan Islam mereka sendiri.
Semua keadaan ini sebenarnya hanya menguntungkan satu pihak, iaitu DAP di ketiga-tiga negeri itu,.
Ternyata, pada Pilihan Raya Umum 2008, DAP adalah parti dianggap paling 'cerdik' berpolitik dan menggunakan kesempatan yang ada dan orang Melayu terpedaya dengan 'kecerdikan' itu.
Jika DAP menggunakan slogan 'Undi MCA sama seperti mengundi Umno/Melayu' yang sangat berjaya mempengaruhi masyarakat Cina, sebenarnya yang lebih jelas ialah 'Undi PKR sama seperti undi DAP'.
Kini parti yang didakwa tidak menerima Islam itu menguasai tiga negeri dan orang Melayu terus bersorak 'kita berjaya menumbangkan BN'. Maka, terbuktilah pepatah Melayu yang terkenal, menang sorak kampung tergadai.
Kini nasi sudah menjadi bubur. Apa pun, orang Melayu harus berfikir secara rasional dan matang pada pilihan raya akan datang supaya pisang tidak berbuah dua kali. Fikirlah masa depan anak bangsa kita dan hanya BN yang sudah berpengalaman mampu memperjuangkan nasib Melayu, kaum majoriti di negara ini.
MELAYU WARAS,
UTM, Skudai, Johor.
0 ulasan:
Catat Ulasan