Sumber Utusan Malaysia
SEKALIPUN pelbagai pihak menghubungi saya dengan ‘jenuhnya’ meminta saya memberikan ulasan tentang perkembangan suasana politik tanah air kita yang dinamakan sesetengah pihak sebagai tsunami politik tanah air, namun saya hampir mengambil keputusan untuk tidak mahu mencoretkan apa-apa pada minggu ini.
Saya ingin tangguhkan sedikit agar lebih mantap. Bukan lari daripada tanggungjawab dan harapan masyarakat awam yang dahagakan pandangan pada musim gawat ini, tetapi bimbang pandangan yang salah hanya menambahkan kekusutan sahaja. Ramai yang resah kerana belum pasti apakah yang akan berlaku keesokannya? Ramai bimbang dengan keadaan yang terumbang-ambing. Tempoh ini bagaikan musim ‘fitnah politik’.
Perkataan fitnah selalu ditafsirkan oleh masyarakat Melayu kita sebagai ‘menuduh secara tidak benar’. Namun perkataan fitnah apabila digunakan oleh al-Quran dan sunah tidak pula bermaksud demikian. Perkataan fitnah dalam al-Quran dan sunah membawa pelbagai maksud. Antaranya; syirik, maksiat, ujian atau bala, melakukan kerosakan, pembunuhan, kesakitan, peperangan dan lain-lain. Maka ramai ustaz yang tersilap apabila memahami ayat Allah (maksudnya) Dan fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh (surah al-Baqarah: 191) dengan maksud menuduh orang itu lebih dahsyat dari membunuh. Itu fahaman secara Melayu, seperti menyamakan tuak di Kelantan dengan tuak di Kedah. Bukan itu maksudnya, tetapi yang dimaksudkan dengan fitnah dalam ayat tersebut adalah ‘syirik’.
Adapun apabila disebut sebagai zaman fitnah ianya bermaksud zaman ujian dan cubaan yang boleh menggugat keimanan dan ketenteraman hidup. Ianya menjadikan manusia keliru dalam membuat pendirian atau begitu sukar untuk berpegang teguh atas prinsip yang benar disebabkan cabaran, ujian dan tekanan yang wujud pada waktu tersebut. Suasana politik kita sekarang juga hampir sedemikian keadaannya. Ramai yang bingung dan terkedu. Ada yang menyatakan kita tunggu dan lihat.
Ada pula yang berkata kita kena segera bertindak. Nabi pernah mengingatkan para sahabah: Sesungguhnya nanti akan berlakunya fitnah, orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang yang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang berkenderaan (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya, yang cuba mengelakkan diri dari mencampuri perkara yang tidak pasti dalam zaman fitnah adalah lebih baik.
Terkedu
Berbalik kepada keadaan hari ini, saya juga terkedu seketika. Walaupun, jika anda membaca artikel saya yang lepas, saya seakan mengagak keputusan yang bakal lahir sebelum saya pergi mengundi. Namun hari ini realiti itu benar-benar terjadi bukan lagi ramalan. Lalu disusuli dengan suasana yang tidak menentu. Rakan-rakan penganalisis politik yang hebat-hebat apabila berbicara, juga tidak tahu apa yang hendak mereka katakan ketika ini. Cakap-cakap pelbagai kedengaran di sana sini. SMS berterbangan ke sana ke mari. Membawa pelbagai cerita. Ada yang lucu, ada yang resah, ada yang kecut. Sangat sukar hendak ditentukan mana satukah berita yang sahih. Suasana ini sangat baru dan asing bagi kita. Ini mengingatkan saya kepada kata-kata al-Nadwi mengulas suasana gelisah selepas peristiwa pembunuhan Sayidina Uthman. Katanya: “Dibaiah Sayidina Ali sebagai khalifah pada ketika yang paling gawat dan penuh ujian dalam sejarah. Ini kerana apabila beliau dilantik memimpin kerajaan dan masyarakat atau dibaiah sebagai khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya khalifah muslimin Uthman bin Affan baru sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan ganas. Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor tidak puas hati, sentuhan perasaan dan jiwa, banyak pula berita khabar angin, persoalan dan salah faham. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan bertambah kuat. Berita syahidnya Uthman menjadi tajuk bicara di mana-mana. Suara orang ramai kedengaran di sana sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh Uthman... Memang begitulah keadaan masyarakat manusia pada setiap masa dan zaman bila sahaja berlakunya kejadian yang asing bagi mereka, maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan...” (Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwiy, Al-Murtada, m.s. 141, Damsyik: Dar al-Qalam).
Apa pun, kita semua mengharapkan perkembangan politik yang sedang berlaku ini tidak akan membawa kerugian kepada umat Islam. Ya, kita ingin perubahan ke arah yang lebih baik. Itulah hasrat kita semua. Kita benci keangkuhan dan penyelewengan. Namun kita juga tidak mahu “menang sorak, kampung tergadai”. Atau “yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran”. Jika pilihan raya yang baru berlaku ini berjaya me‘nyah‘kan calon-calon tidak berkualiti, alhamdulillah. Namun, janganlah dalam masa yang sama ia mengundang keburukan yang lebih besar untuk umat ini. Saya tidak bimbang di negeri majoriti umat Islam seperti Kelantan, Perlis, Terengganu dan Kedah. Namun saya gusar dengan negeri yang nasib umat kita boleh diperjudikan.
Seperti kebiasaan, tulisan saya mengingat semua pihak secara adil. Hasrat yang baik belum tentu akan memberikan natijah yang baik jika tidak dibuat atau diatur secara teliti. Saya teringatkan kejujuran isteri Rasulullah s.a.w. iaitu Saidatina Aisyah ketika ditanya mengapakah beliau membawa angkatan tentera seakan ingin berbalah dengan Sayidina Ali selepas pembunuhan Sayidina Uthman. Ini sebelum berlaku peperangan Jamal yang membabitkan pertempuran antara tenteranya dengan tentera Sayidina Ali. Jawab Aisyah: “Demi Allah! Orang yang sepertiku tidak bergerak dengan suatu perkara yang disembunyikan dan menyimpan berita dari memberitahu anak-anaknya (maksudnya: Beliau adalah Umm al-Mu‘minin iaitu ibu orang-orang beriman, oleh itu mereka semua adalah anak-anaknya seperti yang dijelaskan oleh al-Quran.)
Sesungguhnya golongan yang bodoh yang datang dari beberapa negeri dan para pemberontak kabilah telah memerangi tanah suci Rasulullah dan melakukan beberapa perkara di dalamnya. Mereka telah menempatkan di dalamnya orang-orang luar. Dengan itu mereka telah mengundang laknat Allah dan Rasul-Nya. Apatah lagi mereka telah membunuh imam orang-orang Islam tanpa kesalahan dan alasan.
Mereka telah menghalalkan darah yang haram lalu mereka menumpahkannya. Mereka mengambil harta yang haram dan menghalalkan tanah yang haram. Mereka telah mengoyak maruah dan nilai. Mereka mendiami negeri yang penduduknya membenci mereka tinggal di dalamnya, kerana mereka memberi mudarat dan tidak memberi manfaat.
Penduduk Madinah tidak mampu menghalang dan mereka berasa tidak aman. Aku pun keluar di tengah-tengah orang Islam untuk memberitahu apa yang para pemberontak itu lakukan dan kewajipan mereka untuk bangun membaiki keadaan.” Lalu Aisyah membaca firman allah surah al-Nisa’ ayat 114 (maksudnya) Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma‘ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Kata Aisyah lagi, “Kami bangkit untuk mengadakan perdamaian seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah. Inilah sikap kami, kami mengajak kamu kepada yang makruf dan menggalakkannya. Menghalang kamu dari yang mungkar dan menggesa supaya kamu mengubahnya.” (Al-Tabariy, Tarikh al-Tabari, 4/461-462 melalui riwayat Saif bin Umar, Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).
Indah
Hasratnya sangat indah, namun kesudahannya tidak sedemikian indah, sehingga berlaku pertumpahan darah di antara sesama kaum muslimin dalam peperangan Jamal. Kata Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya Aisyah tidak berperang dan tidak pula keluar untuk berperang. Tujuan beliau keluar hanyalah dengan hasrat untuk mendamaikan orang Islam dan beliau menyangka bahawa dengan keluarnya itu akan membawa kebaikan kepada orang Islam. Kemudian ternyata kepadanya bahawa tidak keluar itu lebih baik. Oleh itu, setiap kali beliau mengingati peristiwa itu beliau akan menangis sehingga membasahi kain tudungnya. Demikian jugalah semua al-Sabiqin (mereka yang menganut Islam pada peringkat awal) termasuk Talhah, Zubair dan Ali yang Allah meredai mereka semua, mereka menyesali penyertaan mereka di dalam peperangan tersebut.” (Ibn Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 2/185, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian juga Sayidina Ali selepas berlakunya peperangan Jamal. Apabila melihat kaum muslimin terkorban dengan begitu ramai, beliau berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Alangkah baiknya kalau ayahmu telah mati sejak dua puluh tahun yang lalu.” Jawab Sayidina Hasan: “Saya telah melarang ayah dari ini semua.” Jawab Saidina Ali: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku tidak sangka akan berlaku sampai begini.” Lantas Saidina Ali memeluk Sayidina Hasan dan berkata, “Apa lagi kebaikan yang diharapkan selepas ini.” (Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/251, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Bukanlah hasrat saya mematahkan semangat islah dan perubahan kepada iklim dan cuaca yang lebih harmoni dan selesa. Namun saya membekalkan anda semua dengan bingkisan sejarah yang boleh dibuat kenangan dan pengajaran. Supaya semangat anda dikawal oleh keputusan akal yang matang. Langkah-langkah perubahan politik dalam sejarah telah banyak membawa kebaikan untuk kehidupan manusia kepada yang lebih adil dan damai. Juga, bukan sedikit langkah-langkah itu apabila tersilap mampu membawa padah yang tidak ada sudahnya. Berhati-hatilah kita semua dalam meneruskan proses pengislahan politik ini.
Ingin saya memuji bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyerahkan tugasannya dengan senyuman kepada Ketua Menteri yang baru dari parti lawannya. Bahkan dia mempertahankan pula agar projek-
projek mega dari Kerajaan Pusat jangan dihenti untuk Pulau Pinang demi kebaikan rakyat. Sikapnya ini membayangkan betapa kepentingan kaumnya lebih diutamakan dari yang lain. Beginilah juga sepatutnya para pemimpin Melayu Islam. Jangan hanya kerana fanatik parti, kita sanggup memboikot dan menahan bantuan untuk negeri-negeri yang diperintah oleh sesama Islam tetapi berlainan parti.
Di manakah ukhuwwah islamiah antara kita. Marilah kita berpolitik dengan lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan umat melebihi emosi diri. Jangan pula ada di antara kita yang sanggup berpakat dengan ‘orang lain’ melebihi saudara muslimnya sendiri. Firman Allah (maksudnya): Sekiranya ada dua golongan daripada orang-orang beriman berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu golongan itu melampau terhadap yang lain maka perangilah golongan yang melampau itu sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kerana Allah sukakan mereka yang melakukan keadilan. (Surah al-Hujurat: 9).
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/
0 ulasan:
Catat Ulasan