Ahad, 16 Mac 2008

Rakyat tuntut perubahan

Sumber Utusan Malaysia

MUKADIMAH
Gelombang perubahan yang melanda Pilihan Raya Umum Ke-12 minggu lalu mewujudkan satu landskap politik yang baru di negara ini. Dalam pilihan raya itu Barisan Nasional (BN) berjaya menubuhkan kerajaan dengan mendapat majoriti mudah. BN gagal mencatatkan majoriti dua pertiga seperti sebelum ini sekali gus mengakibatkan lima negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor jatuh ke tangan pakatan pembangkang.

Pilihan raya kali ini dilihat bebas daripada isu besar yang boleh mempengaruhi pengundi seperti pada pilihan raya tahun 1999. Bagaimanapun dengan kemerosotan kerusi yang diperoleh BN, pelbagai teori dan analisis dibuat kerana pilihan raya kali ini mengubah landskap politik dengan besarnya.

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Politik, Sejarah dan Strategi UKM, Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff menganggap pilihan raya kali ini menunjukkan rakyat bergerak jauh ke depan meninggalkan pola pengundian tradisi yang memilih parti kepada isu.

“Rakyat sebenarnya tidak suka kepada Pas, DAP atau PKR. Tetapi kali ini rakyat sudah tidak kisah lagi kerana memprotes terhadap beberapa isu yang melibatkan mereka,” tegas Dr. Mohamad Agus kepada wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dalam wawancara Khamis lalu.

Sementara itu Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad pula menganggap pilihan raya kali ini adalah suara rakyat yang menuntut perubahan yang dijanjikan pada pilihan raya 2004.

Menurut Shahrir, daripada pilihan raya kali ini menunjukkan rakyat membuat pilihan secara mendadak untuk membawa perubahan.

Malah Shahrir juga melihat kemerosotan undi kepada BN itu juga disebabkan oleh beberapa faktor antaranya calon yang dipilih oleh BN tidak diterima oleh rakyat.

“Tetapi disebabkan oleh konsep BN yang memberi peluang kepada pemimpin parti komponen, maka perubahan yang dimahukan rakyat tidak dapat dilakukan,” tegas Shahrir kepada wartawan Mingguan Malaysia, HASSAN MOHD NOOR dalam wawancara Jumaat lalu.

Shahrir juga menekankan bahawa isu kenaikan harga barang yang tidak dijelaskan dengan sewajarnya turut mempengaruhi keputusan pilihan raya kali ini.

PROF. MADYA DR. MOHAMAD AGUS YUSOFF

Mingguan: Melihat senario politik hari ini, adakah kita boleh menganggap rakyat sudah menggunakan sepenuhnya kuasa mereka?

DR. AGUS: Bagi saya rakyat menggunakan kuasa mereka kerana kecewa. Pada pilihan raya ini, fakta menunjukkan 40 peratus undi datang daripada pengundi diam. Jumlah ini belum pernah ada dalam sejarah pilihan raya kita. Bagi saya pilihan raya tidak matang kalau ada jurang yang luas antara pemimpin dengan rakyat. Kerana itu saya melihat pengundi kali ini lebih matang dan bergerak jauh ke depan. Mereka bercakap tentang isu-isu global dan memperjuangkan keadilan dan bercakap tentang pola pengundian. Tetapi ada sesetengah pemimpin kita tertinggal di belakang dan mereka masih statik. Inilah jurangnya. Maka sangat perlu kedua-duanya ikut bergerak secara selari. Rakyat telah bergerak jauh ke depan meninggalkan pola pengundian tradisi yang memilih parti tetapi kepada isu. Tetapi ada sesetengah pemimpin belum bergerak ke depan seiringan dengan rakyat. Kalau pemikiran antara kerajaan dan rakyat tidak ada jurang, saya fikir perkara ini (kalah di lima negeri) tidak berlaku.

Jadi kemerosotan BN bukan disebabkan oleh kekuatan pakatan pembangkang?

DR. AGUS: Siapa kata Pas kuat? Sebenarnya Pas tidak kuat. Tetapi pilihan raya kali ini menunjukkan rakyat mencari parti alternatif. Rakyat sebenarnya tidak sukakan Pas, PKR atau DAP. Tetapi orang Melayu khususnya sudah tidak kisah lagi dengan semua ini. Ini satu protes. Saya percaya mereka tidak menjangka tindakan itu membuatkan BN gagal mencapai majoriti dua pertiga. Pemimpin kena belajar daripada pengalaman ini. Tetapi saya percaya UMNO akan kembali ke landasan asal.

Gelombang perubahan ini bukan satu pakatan yang tersusun oleh akar umbi tetapi kenapa berlaku serentak dan bukan di sesebuah negeri saja?

DR. AGUS: Kekecewaan sebenarnya tidak ada batas sempadan. Ia dirasakan oleh semua orang. Kita melihat angin perubahan itu datang macam ombak yang melanda secara serentak. Ini disebabkan oleh lebih 70 peratus pengundi bukan Melayu dan lebih 10 peratus pengundi Melayu beralih kepada pembangkang. Ini adalah kesan daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003. Dulunya selepas pilihan raya umum 1999 yang memperlihatkan majoriti pengundi Melayu menyokong pakatan pembangkang, maka apabila dibuat persempadanan semula kawasan pilihan raya, banyak kawasan campuran diwujudkan untuk memastikan supaya sekiranya orang Melayu mengundi pembangkang lagi, kaum bukan Melayu akan tetap bersama BN. Ternyata strategi lima tahun dahulu tidak menjadi apabila pada tahun ini, majoriti pengundi bukan Melayu pula tidak bersama BN sebaliknya yang kekal setia bersama BN adalah pengundi Melayu.

Bagaimana pula dengan pola pengundian pilihan raya umum kali ini?

DR. AGUS: Pola pengundian atau aliran pengundi dalam pilihan raya kali ini menunjukkan kawasan majoriti Cina, khususnya di bandar besar, pengundi Cina secara tradisinya memang berpihak kepada DAP. Manakala di kawasan luar bandar pula, sejarah menunjukkan kaum Cina adalah pengundi BN. Namun, dalam pilihan raya kali ini, perubahan berlaku apabila di banyak kerusi Parlimen yang dulunya dikuasai MCA dimenangi oleh DAP dan PKR. Di Pulau Pinang, DAP menyapu bersih semua kerusi Parlimen dan PKR turut memperoleh kemenangan besar di Pulau Pinang.

Begitu juga dengan pengundi India yang selama ini adalah penyokong BN turut membuat perubahan dengan mengundi pembangkang seperti yang berlaku di Sungai Petani, Sungai Siput dan Ijok. Perubahan undi kaum bukan Melayu inilah yang menyumbang kepada kemerosotan BN di kawasan yang menjadi kubu tradisinya.

Mengapa pengundi bukan Melayu tidak bersama BN? Adakah mereka sudah tidak percaya lagi kepada sistem kerjasama politik dalam BN?

DR. AGUS: Sikap pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina memang begitu, ayunan pendulum mereka sering berlaku. Kalau kita tengok kembali pada tahun 1964 dan 1969 misalnya mereka bersama pembangkang. Pada tahun 1986 mereka memberikan kemenangan 24 kerusi kepada DAP, pada 1990 mereka hampir menjadikan DAP kerajaan di Pulau Pinang dengan hanya kekurangan tiga kerusi. Pada 1999 ketika orang Melayu tidak bersama BN, mereka mengundi BN dan pada tahun 2008 mereka beralih pula menyokong pembangkang.

Perubahan sokongan mereka ini bukan bermakna mereka tidak percaya kepada kerjasama politik dalam BN. Orang Cina amat yakin kepada kerjasama politik dalam BN dan mereka juga yakin satu-satunya parti yang dapat menjamin kestabilan politik negara ialah sistem perkongsian kuasa mengikut cara BN. Cuma pada tahun ini mereka mengundi menolak BN kerana tertekan dengan peningkatan kos hidup yang gagal dijawab dengan baik oleh pemimpin BN.

Adakah pembentukan kerajaan campuran di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah boleh kekal?

DR. AGUS: Jika mereka dapat bertolak ansur dan boleh mengetepikan prinsip masing-masing dan bermuafakat, maka mereka boleh kekal. Tetapi jika tidak, mereka akan kecundang sekerat jalan. Atau jika empat atau lima tahun dari sekarang mereka gagal menunaikan janji, rakyat akan menghukum mereka. Saya fikir inilah semangat yang perlu kita pegang dengan keputusan pilihan raya umum yang lalu. Malah pada saya, kemenangan pembangkang di negeri-negeri tersebut adalah satu lambaran baru dalam politik negara yang perlu kita teliti perjalanannya dengan penuh minat untuk melihat perubahan apa yang akan berlaku seterusnya.

Pada pemerhatian Dr. adakah Perak dan Kedah akan ditadbir mengikut ideologi Pas seperti Kelantan?

DR. AGUS: Saya tidak fikir mereka boleh bawa ideologi Pas. Di Perak, selain Pas, ada juga DAP dan PKR. Pentadbiran mereka mesti seimbang. Ini berbeza dengan Kelantan diperintah oleh kerajaan Pas saja. Tetapi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor barisan pembangkang. DAP misalnya tidak boleh menang di Pulau Pinang tanpa PKR, sementara PKR pula tidak menang di Selangor tanpa DAP serta Pas, Pas juga tidak boleh menang di Kedah tanpa PKR. Berbeza dengan Kelantan hanya Pas yang memerintah. Kerana itu Perak tidak boleh ditadbirkan mengikut cara Pas. Bagi saya yang penting ialah mereka mesti membuktikan kepada rakyat boleh bekerjasama antara satu dengan lain untuk mengubah politik Malaysia. Ini kerana harapan daripada rakyat ialah untuk melihat perubahan.

Kali ini usaha untuk menawan Kelantan gagal lagi. Bagaimana strategi masa depan untuk BN menawan Kelantan?

DR. AGUS: Banyak yang perlu dilakukan oleh pemimpin BN untuk memenangi hati rakyat Kelantan. Antaranya pemimpin BN yang gagal untuk menawan Kelantan perlu ditukar dengan barisan pemimpin baru yang lebih bersih, berwibawa dan berintegriti. Soal ini penting untuk membolehkan pemimpin BN yang dipilih itu menandingi imej pemimpin Pas yang dilihat oleh rakyat Kelantan sebagai lebih Islamik dan berintegriti. Pendekatan lain, pemimpin BN tidak lagi boleh memperlekehkan rakyat Kelantan dengan mengatakan mereka menolak pembangunan. Hujah pembangunan yang sering digunakan oleh pemimpin BN tidak relevan di Kelantan kerana rakyat Kelantan tahu tugas dan tanggungjawab pembangunan adalah kewajipan pemerintah. Rakyat tahu bidang kuasa Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dan dalam soal ini, isu pembangunan tidaklah boleh dijadikan sebagai senjata utama untuk memenangi hati rakyat Kelantan.

Bagaimana dengan impak sosial dari keputusan pilihan raya umum yang lalu?

DR. AGUS: Impak sosial dari keputusan pilihan raya inilah yang membimbangkan saya, apatah lagi terdapat lima buah negeri yang dikuasai oleh parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan BN yang memerintah di peringkat pusat. Impak sosial ini adalah berkaitan dengan kesejahteraan hidup rakyat, kemudahan hidup rakyat dan hubungan antara rakyat kita yang majmuk ini. Saya harap kerajaan negeri sebagai anak akan menghormati kerajaan pusat sebagai bapa dalam menjalinkan hubungan sesama mereka. Dendam politik dan persaingan politik perlulah dielakkan kerana kita tidak mahu perbezaan politik ini akan memberi kesan kepada kesejahteraan hidup rakyat. Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP dan kerajaan Kedah yang diketuai Pas misalnya, perlulah menjaga keharmonian hubungan kaum dengan melaksanakan polisi yang tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.

Banyak pihak berkata, kemerosotan BN dalam pilihan raya kali ini disebabkan calon yang tidak sesuai. Apa komen Dr.?

DR. AGUS: Calon memang satu faktor penting. Saya memberi contoh yang ketara misalnya di Kelantan. Saya dapati calon-calon muka baru (bukan calon muda) yang tidak ada karisma. Ini menunjukkan pemilihan calon itu dibuat ada pengaruh kronisme, ambil kawan-kawan dan ambil ahli keluarga untuk bertanding. Calon beginilah yang memberi masalah kerana mereka tidak berwibawa, tetapi yang berwibawa ada yang tersingkir.

Bolehkah BN mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti ini?

DR. AGUS: Saya yakin boleh jika BN melakukan beberapa perubahan yang sesuai dengan tuntutan semasa. Ini kerana BN bukan parti baru. BN adalah sebuah parti yang mempunyai cawangan di seluruh negara. Jentera parti BN cukup kuat berbanding dengan parti lain. Itu hakikat yang perlu diterima. Apa yang perlu dilakukan setelah BN kalah dalam pilihan raya yang lepas ialah untuk BN meremajakan semula partinya. Caranya ialah pemimpin BN mesti merapatkan jurang pemikirannya dengan rakyat. Saya fikir rakyat telah terlalu ke depan dalam meniti arus globalisasi, sedangkan pemimpin BN masih lagi pada tahap lama dan enggan menerima keterbukaan. BN juga perlu berani menerima perubahan yang diinginkan oleh rakyat dan mengurusnya dengan baik sekali.

Pas boleh bekerjasama dengan DAP yang ideologi politiknya berbeza sama sekali. Adakah mungkin suatu hari nanti Pas boleh bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan Melayu?

DR. AGUS: Tidak mustahil sama sekali. Tetapi ini tidak mungkin dalam waktu yang terdekat. Walaupun kedua-dua parti ini sama dalam banyak hal tetapi buat masa ini semangat Pas itu tidak kepada BN. Mereka sekarang tengah meraikan kemenangan. Bagaimana kalau suatu hari apabila kuasa orang Melayu tercabar dan tergugat, saya fikir wajib untuk mereka duduk bersama-sama UMNO dalam BN. Pada waktu itu suara daripada kitalah yang akan menyatukan UMNO dan Pas atas kepentingan orang Melayu.

SHAHRIR SAMAD

Mingguan: Bagaimana Datuk melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini?

SHAHRIR: Bagi saya, rakyat memang berkehendakkan perubahan. Mereka mahu melihat perubahan pada janji-janji yang dibuat oleh pemimpin pada pilihan raya umum 2004 iaitu untuk membawa era mengurangkan rasuah, kerajaan yang responsif dan mengambil berat tentang masalah rakyat. Bagaimanapun perubahan yang dijanjikan itu belum menepati harapan mereka. Maka mereka sendiri membuat keputusan untuk membawa perubahan secara mendadak melalui pilihan raya.

Tetapi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi perhatian terhadap isu integriti ini.

SHAHRIR: Persepsi rakyat pula melihat kerajaan belum menunjukkan ketegasan sungguhpun hasil bancian yang dibuat beberapa bulan sebelum pilihan raya menunjukkan integriti dan rasuah mendapat perhatian pengundi dan rakyat. Walaupun kerajaan mempunyai program untuk meningkatkan integriti seperti membanteras rasuah tetapi tidak berjalan dengan berkesan terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan laporan Ketua Audit Negara. Tindakan susulan tidak seperti yang diharapkan. Tidak ada tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Kita akui pada awal kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semasa Perhimpunan Agung UMNO misalnya pernah disuarakan isu integriti. Kepimpinan parti memang berminat menentang rasuah dan penyelewengan tetapi setelah menghampiri 2008, rakyat nampak tidak ada tindakan serius walaupun sebenarnya kerajaan mampu untuk bertindak. Keadaan ini menyebabkan timbul persepsi masih ada rasuah, kronisme, penyalahgunaan kuasa dan penyampaian kontrak kepada mereka yang rapat bukan berasaskan persaingan dan kemampuan. Dan bagi rakyat atau pengundi, mereka melihat BN masih di takuk lama walaupun pada awal 2004 sudah ada gerakan dan hasrat. Jadi apabila itu sudah menjadi persepsi ramai, maka kemarahan itu bukan sahaja datang daripada pengundi bukan Melayu tetapi juga di kalangan pengundi-pengundi Melayu lebih-lebih lagi kelas pertengahan dan mereka yang duduk di bandar-bandar.

Bagaimana pula dengan calon yang diturunkan? Adakah ia juga menjadi punca kekalahan BN?

SHAHRIR: Itu salah satu daripada faktornya. Sebelum pilihan raya berlangsung, saya pernah menerima maklumat daripada pihak-pihak tertentu yang memaklumkan sekiranya seorang pemimpin itu diturunkan maka seluruh undi masyarakat yang dipimpinnya tidak akan sampai kepada BN. Tetapi disebabkan konsep BN yang tetap memberi peluang kepada pemimpin parti komponennya, maka perubahan tidak dapat dilakukan. Dan sebagai pemimpin politik, kita tidak percaya bahawa kadangkala kita dibenci oleh masyarakat sendiri. Akhirnya apabila pemimpin itu dicalonkan juga maka janji itu ditepati dan undi beralih kepada calon-calon lawan.

Ada juga berlaku calon yang tidak mengikut kesesuaian pengundi-pengundi tempatan sebaliknya mengikut kesesuaian parti. Contohnya ada calon sedia ada yang berkhidmat dengan baik tetapi kerana kalah di dalam pemilihan parti, calon berkenaan diketepikan. Apabila calon baru ditonjolkan dan pengundi kurang mesra dengan calon ini, jentera di kawasan berkenaan tidak dapat berjalan dengan baik. Akhirnya jentera yang tidak mahir mengambil alih dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Faktor calon juga penting sama ada mereka ini mahu berkhidmat untuk kepentingan sendiri atau masyarakat.

Tetapi ada juga yang sudah lama berkhidmat, yang memberi perkhidmatan yang baik.

SHAHRIR: Memang dalam sesetengah kes, seorang pemimpin parti itu sukar untuk diminta berundur kecuali mereka yang sedia berbuat demikian seperti dilakukan oleh Dr. Lim Keng Yaik. Kita tidak boleh mengambil pendekatan bahawa, orang lama akan terus dipilih oleh pengundi-pengundi kerana mereka juga mahukan perubahan. Tetapi bagi pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti misalnya, dan masih berkhidmat serta dikenali ramai, menggantikan dengan calon baru yang belum dikenali turut menimbulkan masalah.

Kenapa sukar untuk mengubah kedudukan calon-calon sedangkan perkara ini tidak jelas kelihatan di kalangan parti pembangkang.

SHAHRIR: BN tidak boleh menentukan soal calon di kalangan parti komponennya. Contohnya MCA tidak boleh kata apa-apa mengenai calon parti lain, begitu jugalah dengan UMNO, MIC, tidak boleh menyatakan sesuatu mengenai calon yang dipilih parti berkenaan. Ini berbeza dengan pembangkang yang hanya membahagikan kerusi manakala soal calon tidak penting. Kecuali di beberapa kawasan strategik. Masalah pembangkang tidak begitu besar dari segi calon sementara penerimaan pengundi pula asalkan pembangkang, mereka akan undi, tanpa mengambil kira kesannya.

Bagaimana pula dengan UMNO?

SHAHRIR: Ada calon yang tidak dikenali diturunkan di bahagian berkenaan menyebabkan calon itu tidak dikenali kerana ia tidak dirundingkan dengan peringkat bahagian berkenaan. Akibatnya jentera pilihan raya bahagian tidak bergerak. Bilik gerakan ditutup. Dulu merajuk tiga hari sahaja tetapi sekarang sampai habis pilihan raya. Ini juga menjadi punca yang membawa kekalahan kepada calon-calon BN.

Kenapa masih timbul masalah calon?

SHAHRIR: Ini penyakit parti yang sudah tua yang merasakan mempunyai kekuatan yang secukupnya. Bagi parti, mereka menjangkakan rakyat akan terus menyokong. Kita kena balik semula kepada asas pemilihan, mengambil kira soal pengaruh tempatan. Ketika ini bahagian merasakan bahawa mereka mempunyai calon yang mampu memenangkan pilihan raya. Kalau hendak dibawa dari luar, ia perlu dirundingkan. Jelaskan kepada bahagian bahawa kita memerlukan calon berkenaan bagi tujuan tertentu khususnya di Parlimen. Jika tidak jentera parti terpaksa bekerja keras dan dalam keadaan kritikal untuk menang.

Bagaimana pula dengan isu kenaikan harga barang, petrol dan sebagainya?

SHAHRIR: Pada keseluruhannya rakyat tidak menerima penjelasan yang sewajarnya mengenai isu harga barang ini. Begitu juga dengan subsidi petrol. Berdasarkan maklumat beberapa orang rakan saya di Indonesia, kerajaan republik itu mengambil masa sebulan untuk memberi penerangan mengenai penghapusan subsidi. Kempen penyediaan pemikiran rakyat terhadap penghapusan subsidi itu akhirnya dapat diterima tanpa reaksi yang begitu dahsyat.

Melalui media, rakyat didedahkan mengenai keburukan subsidi minyak yang hanya menguntungkan rakyat yang kaya dan sederhana yang mempunyai kenderaan. Tetapi dalam konteks negara ini, kita tidak dapat melakukan hujah-hujah yang boleh diterima. Sebaliknya reaksi kepada isu subsidi ini mewujudkan perasaan bahawa pengurangan subsidi akan menjejaskan kualiti hidup golongan penduduk di bandar.

Tetapi gelombang pengundi bukan sekadar berlaku di bandar sebaliknya di luar bandar.

SHAHRIR: Kita perlu sedar bahawa ramai pengundi di dalam bandar atau Lembah Klang balik mengundi di kawasan mereka di luar bandar. Mereka mempengaruhi keluarga supaya mengundi pembangkang kerana tidak puas hati terhadap isu-isu kenaikan harga barang yang telah menjejaskan kualiti atau gaya hidup mereka yang bekerja di bandar. Mereka membawa perasaan marah ke luar bandar walaupun hakikatnya hasil pengurangan subsidi itu boleh disalurkan semula untuk pembangunan sekitar kampung masing-masing. Limpahan gelombang dari Lembah Klang inilah yang berlaku pada tahun 1999 apabila isu Anwar Ibrahim dilihat sebagai isu kezaliman di samping isu-isu penswastaan, kronisme serta rasuah.

Melihat keputusan pilihan raya umum lalu, jelaslah isu pembangunan tidak mampu memancing undi rakyat. Adakah isu ini tidak relevan lagi?

SHAHRIR: Pembangunan masih diperlukan di luar bandar. Contohnya Felda diberi perhatian khusus oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia dapat mengembalikan sokongan pengundi-pengundi Felda di luar bandar kepada parti pemerintah. Tetapi di bandar, pengundi-pengundi merasakan pembangunan sebagai tanggungjawab kerajaan. Pembangunan di luar bandar perlu diteruskan dan tidak tertumpu di Lembah Klang sahaja. Justeru, saya menyokong pembangunan di wilayah supaya ia dapat memberi keseimbangan pembangunan di seluruh negara dan peluang pekerjaan tidak tertumpu di kawasan bandar semata-mata.

Ada juga yang menyalahkan pemimpin.

SHAHRIR: Sebagai pemimpin, memang itulah persepsi yang terpaksa dihadapi. Tetapi secara keseluruhan, program perubahan yang mahu dilakukan adalah baik cuma pada peringkat pelaksanaan perubahan itu terencat dan dihantui persepsi bahawa ada golongan tertentu yang menghantui kepimpinan negara.

Bagaimana pula dengan pengundi-pengundi Cina yang menolak BN?

SHAHRIR: Di kalangan pengundi-pengundi Cina ini ada yang membaca blog, laman web, akhbar arus perdana dan satu pihak lagi membaca akhbar berbahasa Cina. Saya lihat pendekatan BN terutama calon UMNO kepada akhbar Cina tidak begitu mantap, gagal melengkapkan strategi dan hanya tertumpu kepada akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Tambahan pula kita gagal menyampaikan maklumat mengenai kenaikan harga petrol. Kita gagal menyebarkan maklumat secara berkesan melalui Internet.

BN di lima negeri sudah pun menjadi pembangkang. Apa peranan wakil rakyat BN sekarang?

SHAHRIR: Mereka kena bersikap sebagai pembangkang. Begitu juga dengan cara berfikir dan bekerja Sesuaikan kedudukan, mereka bukan lagi parti pemerintah. Sebaliknya pantau prestasi wakil rakyat yang dulunya pembangkang tetapi sekarang sebagai kerajaan. Jangan terlalu memberi tumpuan kepada pemilihan parti tetapi tumpukan kepada bagaimana mahu menang kembali, mendapat balik kepercayaan rakyat, dan meneruskan kerja yang baik. Jika dulu hanya sebuah negeri memerlukan simpati pusat tetapi kali ini jumlah itu sudah ramai.

Bagaimana dengan kedudukan BN yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat?

SHAHRIR: Tidak menjadi masalah kerana ia akan mewujudkan suasana yang sama banyak antara ahli parlimen biasa (BN) dan pembangkang. Jika pada satu ketika, mungkin menteri, timbalan menteri tidak datang ke Parlimen tetapi kali ini mereka kena hadir. Parlimen kali ini lebih menarik perhatian.

0 ulasan: