SELEPAS melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 ini, hati saya mula bertanya, apa akan terjadi pada masa depan bangsaku ini? Terutamanya masyarakat Melayu Pulau Pinang. Sesal di atas sikap pengundi terdiri daripada penyokong parti Pas dan PKR, kebanyakannya Melayu yang mengundi bukan atas dasar fikiran sendiri tetapi di atas dasar disuruh atau dipujuk mengundi DAP.
Terdapat juga penyokong Pas yang lengkap berkopiah putih dengan bangganya mengibarkan bendera DAP pada hari mengundi seolah-olah jika DAP menang, maka parti itulah yang diharapkan untuk membela Islam dan menegakkan hukum Islam di bumi Allah ini.
Sekarang ini sudah ramai orang Islam baru mulai sedar akan kesilapan mereka mengundi DAP tetapi untuk apa? Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum pilihan raya, Pas dan DAP menafikan yang mereka mempunyai kerjasama, ini adalah untuk mengabui mata penyokong masing-masing. Selepas pilihan raya terbukti dan nyata bahawa mereka sebenarnya mempunyai pakatan rahsia dengan menubuhkan kerajaan campuran di beberapa buah negeri.
Contohnya di negeri Perak, Menteri Besar terdiri dari parti Pas sedangkan DAP mempunyai kerusi yang lebih dari Pas dan PKR. Nyata di sini DAP sebenarnya menjadi ‘Menteri Besar’ melalui wakil Pas. Mereka telah lupa bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah berkata: ‘‘Langkah mayat saya dulu sebelum Pas boleh menubuhkan negara Islam’’ dan Presiden Pas pernah berkata bahawa Lim Kit Siang dan Karpal Singh adalah pemimpin yang telah mencapai tarikh luput. Tetapi hari ini masing-masing lupa dan sesungguhnya Melayu mudah lupa.
Teras perjuangan Pas adalah untuk menegakkan hukum Allah tetapi jika mereka mengadakan hubungan dengan DAP yang ternyata menolak Islam, bolehkah agenda mereka terlaksana?
– ANAK JATI Pulau Pinang.
0 ulasan:
Catat Ulasan