Khamis, 13 Mac 2008

DAP bela orang Melayu? -- Surat 1

SAYA amat menyesal dengan keputusan pilihan raya umum yang lalu. Saya juga terfikir kenapa rakyat terutama orang Melayu begitu mengikut perasaan tanpa memikirkan masa depan bangsa dan negara kita?

Kini DAP memerintah di Pulau Pinang dan dominan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Lihat sahaja Pulau Pinang, sebaik sahaja angkat sumpah, Ketua Menteri baru, Lim Guan Eng bertindak untuk membebaskan negeri itu daripada DEB. Dalam bahasa lain, ia bermakna pemansuhan. Inikah yang dikehendaki oleh orang Melayu terutama di Pulau Pinang?

Tahukah anda DEB digubal untuk memastikan orang Melayu yang sebahagian besar masih ketinggalan dalam menikmati sedikit keistimewaan dalam mendapatkan kontrak kerajaan. Jika ini dihapuskan, mampukah orang Melayu untuk memasuki tender dan berlawan dengan syarikat Cina yang diketahui lebih berjaya dan mempunyai kedudukan kewangan yang kuat?

Orang Cina juga seakan-akan tidak faham bahawa walaupun mereka tidak dapat kontrak terus daripada kerajaan tetapi bukankah kebanyakan kerja disubkan kepada mereka? Barang-barang pembinaan juga dibeli daripada peniaga Cina, yang menguasai industri tersebut dan rantaian pembekalan. Inilah sebabnya DEB digubal, jika kontrak dapat pada orang Melayu, orang Cina juga dapat hasil daripadanya. Tetapi jika dapat terus kepada orang Cina, mahukah mereka membeli barang binaan daripada orang Melayu?

Cubalah fikir dan sedar wahai orang Melayu yang tidak berfikir sebelum membuat keputusan. Kerajaan kita sentiasa menjaga hak kita sebagai rakyat asal negara ini dan dalam masa yang sama menjaga hak kaum lain. Jika selama ini kaum Cina dan India kononnya dipinggirkan, masakan boleh ramai usahawan Cina membuka dan memenuhi gedung, kedai di setiap bandar di Malaysia? Begitu juga orang India yang semakin ramai berjaya sebagai profesional seperti peguam, doktor dan usahawan.

Sekarang orang Melayu sendiri menderhaka kepada bangsa sendiri. Lihatlah apa akan jadi kepada orang Melayu di Pulau Pinang. Saya rasa negeri itu akan jadi Singapura yang kedua jika kerajaan tidak tegas dengan pendirian yang diambil.

Janganlah masih melimpahkan kekayaan Kerajaan Pusat ke Pulau Pinang, sebaliknya jagalah rakyat yang menyokong kerajaan seperti di Terengganu, Sabah, Sarawak, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Tunjukkan kepada rakyat yang menyokong penuh kerajaan bahawa undi dan kepercayaan kami dihargai. Jika tidak anda akan lihat lebih banyak negeri di Malaysia akan terlepas kepada DAP.

Kaum Cina amat sukar difahami, mereka hanya akan bersama dengan orang yang boleh membawa untung kepada mereka. Inilah sikap mereka dulu, kini dan selamanya. Sebaliknya orang Melayu pula sudah lali dengan sikap mengagungkan kaum lain selain bangsa sendiri. Buruk sangatkah pihak kerajaan sehingga anda sanggup menggadai maruah dan negeri kepada kaum lain?

Adakah anda fikir setelah DAP menerajui Pulau Pinang, mereka akan memberi kontrak kepada orang Melayu? Tentu mereka akan menjaga penyokong DAP dan kaum mereka sendiri?

Siapa juga yang menerajui kerajaan akan menjaga orangnya sendiri, jadi janganlah mengatakan kerajaan sekarang hanya memberi kontrak kepada kroninya sahaja. Perkara ini juga berlaku di Kelantan, dan akan berlaku di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.

Sedarlah wahai orang Melayu, ingatlah pepatah kita ‘bersatu teguh bercerai roboh’. Hang Tuah pernah berkata: ‘‘Takkan Melayu hilang di dunia’’, tetapi orang Melayu kehilangan hak dan negara.

– ANAK MELAYU TANAH,

MELAYU.


Sumber Utusan Malaysia


0 ulasan: