Rabu, 26 Mac 2008

Jangan ada lagi alasan pertikai ketelusan SPR


SECARA keseluruhannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan lancar dan berjaya. Rakyat selaku pengundi telah menunaikan hak demokrasi serta tanggungjawab dalam memilih perwakilan dan kerajaan.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 telah memeranjatkan banyak pihak. Kepada proses demokrasi, pilihan raya tersebut telah membuka mata dan menyedarkan pihak-pihak yang mengkritik SPR sebelum ini, (yang mengatakan bahawa proses pilihan raya di negara ini tidak bebas, tidak adil dan telus).

Sebelum ini, terdapat individu-individu, parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan, yang mempertikai kewibawaan SPR dan ketelusan proses pilihan raya di negara ini.

Setiap kali negara menghadapi pilihan raya, tuduhan dan dakyah kedengaran yang menuduh SPR tidak bebas, tidak telus dan tidak berkecuali. Isu ‘pengundi hantu’ dan perbuatan menghalang pemilih yang berhak dan sah di sisi Perlembagaan untuk mengundi telah berlaku di tempat-tempat tertentu.

Isu tersebut telah digunakan sebagai alasan apabila seseorang calon kalah dalam pilihan raya. SPR telah dilemparkan dengan tohmahan dan cacian atas isu-isu yang tidak benar .

Saya berharap dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 ini akan menyedarkan pihak-pihak yang selama ini mempertikaikan ketelusan SPR dan proses pilihan raya.

Daripada 10.9 juta pemilih berdaftar, 8.1 juta (76 peratus) pemilih telah keluar mengundi. Daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN yang sebelum ini menguasai lebih 2/3 kerusi Parlimen, berjaya memperoleh 140 kerusi, manakala PKR berjaya mendapat 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23).

Parti-parti pembangkang tersebut turut berjaya membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor, selain kekal di Kelantan. Pilihan Raya Umum Ke-12 telah membuktikan bahawa proses demokrasi kekal kukuh dan mantap.

Demokrasi melambangkan kuasa rakyat melalui sistem pilihan raya yang bebas dan telus. Rakyat selaku pengundi boleh memilih calon yang mereka suka. Hakikat bahawa rakyat bebas untuk menunaikan hak mereka yang dijamin di bawah Perlembagaan dan proses pilihan raya kita adalah adil dan telus, telah terbukti.

Rakyat telah membuat keputusan. Calon/parti yang menang perlu menunaikan janji dan tanggungjawab mereka.

Mereka yang melemparkan dakyah dan fitnah terhadap SPR serta mempertikaikan proses dan prosedur pilihan raya di negara ini, termasuk dakyah isu pengundi hantu diharap sedar dan jangan ada lagi apa-apa alasan untuk mempertikaikan ketelusan pilihan raya di negara ini.

Kemenangan 82 kerusi di Parlimen oleh parti-parti lawan, yang saya rasa mereka sendiri tidak menjangka sebenarnya bukti ketelusan SPR dan proses pilihan raya.

SPR mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan selamat berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Bagi SPR, Pilihan Raya Umum Ke-12 telah berjaya dan proses demokrasi telah berjalan lancar. Hak rakyat telah dijamin dan rakyat bebas memilih perwakilan mereka dan kerajaan. Dengan kuasa rakyat melalui peti undi, yang menunaikan hak di bawah Perlembagaan, rakyat akan menilai semula perwakilan mereka dalam pilihan raya yang akan datang.

Keputusan Pilihan Raya Umum-12 telah membuktikan kredibiliti SPR sebagai badan berkecuali dan proses pilihan raya di negara ini telus dan adil.

– DATUK WAN AHMAD WAN OMAR,

Timbalan Pengerusi SPR.
Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: