Isnin, 17 Mac 2008

Institusi beraja selamatkan kedaulatan Melayu?

ORANG Melayu sangat wajar bersyukur kerana institusi beraja sekali lagi menyelamatkan maruah mereka daripada terus tergadai di bumi sendiri.

Ternyata institusi beraja menjadi penyelamat dalam mempertahankan gagasan kedaulatan Melayu.

Kesal rasanya, sebahagian orang Melayu singkat fikiran dan penuh emosi dalam ‘membuat keputusan’ menerusi peti undi sehingga menggugat survival Melayu.

Bayangkan, kita baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50, tahun lalu, tetapi gara-gara politik emosional – hari ini Pulau Pinang terlepas kepada DAP.

Malah kerana percaturan yang silap akibat termakan pujukan pemimpin pembangkang Melayu yang bermuslihat tertentu, kini DAP menawan Pulau Pinang dan dominan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Kita juga hampir menyaksikan wakil DAP menjadi Menteri Besar di Perak dan Timbalan Menteri Besar I dan II di Selangor terdiri daripada mereka bukan Melayu.

Raja-raja Melayu, walaupun menjadi payung kepada rakyat jelata tanpa mengira kaum, cukup bijaksana dalam menunaikan tanggungjawab mereka menterjemahkan semangat Perlembagaan negara bagi membantu masyarakat Melayu dalam situasi genting.

Buktinya institusi kesultanan Melayu menyelamatkan maruah bangsa apabila Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Selangor menetapkan Menteri Besar terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. Dalam hal ini, kita memuji ketegasan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri itu. Baginda tidak goyah biarpun DAP secara biadab bertindak mahu memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar baru negeri itu, baru-baru ini.

Tidak terhinakah orang Melayu melihat gelagat Lim Kit Siang sekadar memohon maaf kepada Sultan Perak melalui kenyataan akhbar sahaja?

Kepada orang Melayu, insaflah – kerana dengan izin Allah – nasib kita hari ini diselamatkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang dipertahankan oleh sultan. Tanpa disangka, Pilihan Raya Umum Ke- 12 mengingatkan orang Melayu betapa mereka – tidak dapat tidak – mesti menjunjung institusi yang memayungi survival Melayu selama ini.

Malah kaum-kaum lain di negara ini seharusnya sedar bahawa disebabkan institusi kesultanan sedia ada, mereka juga mampu menjalani kehidupan dalam aman, damai dan makmur. Institusi beraja tidak pernah mengapi-api dan mempengaruhi orang Melayu untuk bertindak di luar batas undang- undang.

Tetapi orang Melayu perlu ingat, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri turut menyebut, sultan atau raja juga mempunyai kuasa melantik Menteri Besar bukan daripada orang Melayu dan tidak beragama Islam jika keadaan terdesak dan memerlukan.

Ini bermakna bukan mustahil jika ada orang Melayu sendiri yang sudah hilang ‘jati diri’ – tergamak untuk mempengaruhi sultan supaya berbuat demikian jika keputusan itu menguntungkan diri sendiri.

Siapa ‘orang Melayu itu’ sebenarnya pada mata kaum lain? Percayalah mereka sebenarnya diperalatkan menerusi kerjasama dalam pakatan pembangkang untuk melemahkan kuasa politik Melayu.

Kita bimbang sekiranya kuasa politik Melayu hilang, kedudukan institusi beraja juga terancam dari muka bumi ini.

Jika bukan Melayu memerintah, mereka pastinya mahu menjadikan Malaysia sebuah republik.

Kepada orang Melayu yang masih lagi rasional – inilah masa untuk kita memperkukuhkan jati diri seiring usaha kita untuk terus mempertahankan kedaulatan institusi beraja.

– MELAYU PATRIOTIK

Pontian, Johor.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: