SAYA menyokong tulisan Ab. Jalil Backer dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia berhubung isu pemansuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Apa yang beliau nyatakan benar bahawa undi orang Melayu kepada pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah mandat untuk menghapuskan dasar tersebut.
Pandangan beliau nampaknya dipersetujui oleh Rasa Berdosa, Shah Alam yang memberikan perspektif menarik tentang isu tersebut.
Saya adalah orang Melayu yang tidak condong kepada mana-mana parti politik. Baru-baru ini, saya mengundi pembangkang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Barisan Nasional (UMNO) bagi kerusi Parlimen.
Ketika saya melangkah untuk mengundi, saya telah mendengar enam ceramah pembangkang termasuk dua ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.
Dalam ceramah-ceramahnya, beliau tidak menyatakan soal pemansuhan DEB dan mahu menggantikannya dengan dasar lain.
Maka saya mengundi dengan harapan beliau akan berpegang realiti politik Melayu, yang sebenarnya lebih menuntut pembelaan.
Lihatlah di mana-mana negara sekalipun. Amerika Syarikat dan negara kulit putih masih menjaga kepentingan kelompok terbesar mereka atas dasar white supremacy.
Begitu juga di Thailand, Indonesia, India dan Singapura serta banyak negara lagi.
Maka saya berpendapat, undi orang Melayu kepada pakatan pembangkang bukanlah mandat atau lesen kepada PKR misalnya untuk mengkhianati bangsa Melayu.
Apabila DAP bertindak untuk memansuhkan DEB dan para pemimpin PKR bukan sahaja tidak mempertahankan dasar itu malah mahu memansuhkannya, menyebabkan saya menangis dalam diam.
DEB sebenarnya tidak berdosa kepada kita semua. Dasar itu telah banyak memakmurkan masyarakat khususnya membaiki prestasi hidup dan ekonomi Melayu.
Lihat sahajalah tanah rancangan Felda, peluang anak Melayu miskin ke asrama, peluang pekerjaan dan membeli rumah.
Bayangkan jika DEB dihapuskan. Saya sendiri sedih melihat betapa masih ramai orang Melayu termasuk golongan pertengahan yang tidak mampu membeli kondominium yang sederhana mewah di bandar-bandar besar termasuk di Sunway, Subang, Damansara, Petaling Jaya (Selangor) serta Wangsa Maju (Kuala Lumpur).
Biarpun dengan diskaun tujuh peratus, kawasan perumahan itu masih dimonopoli oleh bukan Melayu khususnya orang Cina.
Bayangkan jika tanpa diskaun, orang Melayu akan lebih tersisih di bandar-bandar besar yang pembangunannya dikuasai oleh sektor perniagaan yang dikuasai oleh orang Cina.
Itu belum menyentuh rumah kedai di seluruh negara, yang pemilikannya terus dikuasai oleh orang Cina.
Bayangkan sebuah unit rumah kedai di Subang, menelan belanja hampir RM800,000. Bagaimana orang Melayu mahu mencari wang membayar pendahuluan dan mendapatkan pinjaman. Setidak-tidaknya diskaun yang diberi membantu mengurangkan tekanan.
Saya juga ingin sebutkan tentang tender terbuka. Ia memang langkah yang baik tetapi jika tidak memberi sedikit keistimewaan kepada kontraktor Melayu, jangan mimpi mereka akan dapat peluang tersebut kerana pelbagai faktor.
Salah satu ialah syarikat-syarikat Cina yang banyak modal, mempunyai rangkaian pembekalan barang serta peralatan sendiri seperti jentera berat akan lebih mampu menawarkan harga termurah.
Bagaimanapun saya agak lega kerana beberapa pemimpin Pas seperti Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz, meskipun mengakui kelemahan pelaksanaannya namun boleh diperbaiki.
Saya fikir mereka masih faham realiti yang mendepani orang Melayu. Ramai lagi orang Melayu yang memerlukan pembelaan. Ini juga selaras dengan laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), golongan termiskin di negara ini adalah orang Melayu.
Saya percaya PKR telah melakukan kesilapan percaturan apabila mereka bersekongkol dengan DAP dalam menghapuskan DEB. Jangan lupa akan ada hari penentuan lain selepas ini.
– DR. SOSIAL,
Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan