Isnin, 24 Mac 2008

Lagi seruan pertahan DEB

PILIHAN Raya Umum Ke-12 telah pun hampir dua minggu melabuhkan tirainya namun gelora politik di Malaysia masih lagi hangat dan menarik untuk diikuti. Dimulai dengan tewasnya parti kerajaan di tangan pembangkang di lima negeri sehinggalah kontroversi isu-isu baru termasuk pelantikan Kabinet dan Menteri Besar, menjadikan fenomena politik di negara ini semakin menjadi perhatian rakyat.

Mungkin ada yang bingung, terkejut, marah dan juga kesal dengan keputusan pilihan raya yang baru sahaja berlalu.

Hakikatnya ramai yang mulai sedar bahawa undi mereka sebenarnya mempunyai kuasa yang ‘luar biasa’ bagi menentukan hala tuju dan juga masa hadapan mereka.

Sebagai seorang anak muda yang baru sahaja menjejaki usia dewasa, pengalaman membuang undi buat pertama kali merupakan sesuatu pengalaman yang berharga.

Namun, setelah keputusan pilihan raya diumumkan, saya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam ‘suara rakyat’ pada kali ini. Dapat dilihat setiap undi yang dibuat oleh mereka disertai dengan emosi, rasa tidak puas hati dan juga kecewa dengan kepimpinan negara.

Mungkin mereka merasakan bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak mampu untuk membela mereka dalam isu-isu nasional seperti kenaikan harga minyak, barangan dan juga isu berkaitan dengan perpaduan.

Namun, apa yang paling mengecewakan saya selaku orang Melayu-Islam pada pilihan raya kali ini adalah tentang aspek kerapuhan bangsa Melayu sendiri. Saya amat terkejut kerana ada di kalangan elit Melayu dan juga pemimpin pembangkang yang membuat pernyataan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan dasar yang tidak adil dan juga menolak untuk meneruskan semangat dasar tersebut (yang pada hari ini diteruskan melalui DPN).

Melalui pemahaman saya, DEB merupakan satu dasar yang sangat unik kerana di samping membantu orang Melayu (yang merupakan kaum yang agak ketinggalan dari segi ekonomi) ia juga membantu merancakkan lagi ekonomi negara.

Sudah jelas tertulis bahawa dua objektif utama DEB adalah membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Malahan mungkin ramai yang terlupa atau ‘buat- buat lupa’ bahawa DEB diasaskan rentetan tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Oleh itu, matlamat utama DEB adalah untuk mewujudkan pembahagian kekayaan secara adil di samping menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan kerjasama dan perpaduan kaum.

Walaupun DEB tidaklah boleh dikatakan terlalu berjaya (dengan orang Melayu hanya mencapai kurang 20 peratus pegangan ekuiti daripada sasaran 30peratus) namun sekurang-kurangnya ia telah berjaya membentuk komuniti elit Melayu dalam bidang profesional (walaupun sesetengahnya sudah mula lupa diri).

Saya juga merasa sedikit terkilan dengan sikap sebahagian orang Melayu yang menyokong pihak yang ternyata memusuhi kaumnya sendiri. Saya tidak pernah merasa marah mereka mengundi pembangkang jika niat mereka untuk kebaikan bangsa Melayu, namun saya merasa sedih kerana masih ada orang Melayu yang membela mereka setelah terang-terangan pihak tersebut menidakkan hak keistimewaan orang Melayu dan juga mula mempersoalkannya.

Mungkin ramai di antara kita pada hari ini tersilap memilih kawan. Justeru, harapan saya semoga lima tahun yang akan datang tiada lagi kesilapan yang kita lakukan.

“Ingatlah wahai bangsaku Melayu, suatu masa dahulu siapa yang mempunyai kesedaran dalam memperjuangkan nasib bangsa menentang gagasan Malayan Union? Pada masa dahulu siapa yang bangkit berjuang demi memastikan bangsamu kekal berdaulat?

Selama ini selama 50 tahun negara merdeka siapa yang membela kamu? Siapa yang memberi peluang pendidikan yang le- bih baik kepada anak-anak kamu dan se- hingga ke hari ini siapa yang tetap mempertahankan hak kamu, keistimewaan bangsa kamu, ketuanan dan kedaulatan institusi beraja kamu walaupun undi kamu bukan lagi untuk mereka? Siapa? Dan beginikah caranya kita mengucapkan terima kasih?”

– PENCERAMAH PERTAMA,

Sarawak.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: