Selasa, 18 Mac 2008

Lagi saran UMNO-Pas bersatu

SAYA bersetuju dengan semua pendapat semalam berkaitan perlunya orang Melayu dan bumiputera bersatu. Telah banyak pendangan yang dilontarkan dalam ruangan ini menyatakan kekesalan mereka terhadap orang Melayu terutamanya yang mengundi DAP, PKR dan Pas sehingga menyebabkan DAP berkuasa di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kini semuanya telah berlalu dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi melainkan perlu mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikannya.

Umum telah mengetahui bahawa barisan kerajaan baru di beberapa negeri tersebut disertai oleh tiga parti iaitu DAP, PKR dan Pas. Amat tidak dapat difahami sebenarnya bagaimana pakatan ini boleh terhasil kerana Pas merupakan parti yang sentiasa mencanang sebagai pembela dan penyelamat Islam.

DAP sejak dahulu lagi secara terbuka tidak mengiktiraf Islam serta enggan bekerjasama dengan Pas. PKR pula sentiasa bertindak demi kepentingan parti dan perjuangan mereka sentiasa berubah mengikut kaum mana yang ditemui ketika berceramah.

Walaupun Pas sering menafikan mereka tidak bekerjasama dengan DAP, tetapi rakyat tetap melihat terdapat kerjasama antara kedua-dua parti tersebut terutamanya di Perak dan Selangor serta di Parlimen.

Penasihat seumur hidup DAP pula semalam menggesa parti itu meningkatkan kerjasama dengan Pas demi kepentingan jangka panjang DAP.

Sekiranya ura-ura pakatan DAP-PKR-Pas akan bergabung membentuk sebuah parti ala Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, maka ia akan menunjukkan dengan jelas kerjasama antara Pas dan DAP.

Demi menumbangkan BN, prinsip dan perjuangan parti sanggup diketepikan seketika dan akhirnya pakatan ini berjaya menakluki Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan hampir berjaya di Negeri Sembilan.

Di Kelantan pula pakatan ini tidak dapat dilaksanakan kerana salah satu parti tersebut langsung tidak diterima walaupun calon mereka juga bertanding di sana. Setelah berjaya membentuk kerajaan negeri, maka bermulalah realiti sebenar pakatan ini.

Cuba orang Melayu/Islam terutamanya pengikut Pas lihat apakah layanan DAP terhadap wakil parti itu di Pulau Pinang? Wakil rakyat Pas sangat berharap untuk menyertai kerajaan negeri sebagai Exco agama tetapi langsung tidak dilayan. Sebaliknya, rakan karib DAP iaitu wakil PKR yang dilantik memegang jawatan tersebut.

Bagi ahli PKR kaum Melayu pula, hasil yang diperoleh daripada kerjasama itu ialah keistimewaan orang Melayu akan hilang melalui penghapusan DEB.

Di Perak pula lebih menyedihkan. DAP ingin membolot lapan daripada 10 jawatan Exco dan akhirnya mendapat enam kerusi Exco di negeri majoriti Melayu ini.

Di Selangor pula, DAP sebenarnya berkeras untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Besar dan ingin memegang jawatan Exco penting. Sudah pasti PKR terpaksa cuba mencari jalan untuk menuruti kehendak DAP memandangkan mereka merupakan parti kedua terbesar dalam pakatan tersebut dengan perbezaan dua kerusi.

Sangat jelas pembahagian kerusi Exco di Pulau Pinang, Perak dan mungkin di Selangor tidak menunjukkan komposisi sebenar rakyat negeri tersebut dan banyak memihak kepada DAP.

Begitu juga pemilihan Ketua Pembangkang di Parlimen nanti, DAP dengan jelas menyatakan perlu mendapat persetujuan dua daripada tiga parti dalam pakatan tersebut. Rasanya sudah pasti DAP mempunyai impian untuk terus memegang jawatan tersebut.

Terpaksa

Namun jika terpaksa menyerahkan jawatan tersebut kepada parti lain, pasti mereka akan menyokong parti yang boleh menuruti kehendak mereka.

Pada pandangan saya, apa yang paling menyedihkan ialah bagaimana Pas sanggup bekerjasama dengan DAP di Perak dan Selangor. Sebelum ini Pas selalu menyatakan bahawa orang Melayu/Islam tidak boleh menyokong BN kerana parti tersebut tidak melaksanakan hukum Islam sepenuhnya dan membiarkan hiburan serta maksiat bermaharajalela.

Tetapi sekurang-kurangnya BN juga telah banyak membantu perkembangan Islam di Malaysia serta menaikkan imej Islam di mata dunia. Rakan-rakan bukan Islam di dalam komponen BN pula amat menghormati orang Melayu dan Islam tidak seperti DAP dalam pakatan DAP, PKR dan Pas. Ini kerana BN amat menekankan prinsip bekerjasama dan hormat-menghormati sejak sekian lama.

Oleh itu, saya berpendapat adalah sangat bijak jika Pas bekerjasama dengan BN berbanding dengan DAP-PKR. Masih belum terlambat untuk bertindak memandangkan kerajaan negeri baru dibentuk.

Jika tidak dapat bekerjasama untuk selama-lamanya dan untuk semua negeri, setidak-tidaknya pada penggal pilihan raya ini pun sudah mencukupi bagi menyelamatkan rakyat Perak dan Selangor.

Saya amat yakin sekiranya BN Perak dan Selangor merupakan parti yang dikuasai bangsa lain, DAP pasti akan meninggalkan pakatan DAP-PKR-Pas dan menyertai BN demi memastikan orang Cina berkuasa di negeri tersebut. Tetapi apa yang saya lihat bagi pemimpin Melayu pula terutamanya PKR dan Pas ialah biar Melayu hilang kuasa asalkan BN dapat dipinggirkan.

Saya merayu agar Pas dapat mengetepikan perbezaan politik dengan BN buat seketika. Mungkin juga BN yang perlu membuka langkah untuk bekerjasama dengan Pas.

Jelas dalam khutbah Jumaat baru-baru ini menyatakan bahawa Islam lebih menekankan kepentingan ummah daripada kepentingan individu. Disebabkan itu, ramai sahabat Rasulullah sanggup menggadaikan nyawa dan harta apatah lagi pangkat demi umat Islam keseluruhannya. Sepatutnya Pas yang selalu memberitahu rakyat mereka pembela Islam perlu lebih memahami perkara ini.

– BUMIPUTERA@MALAYSIA.
Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: