Selasa, 11 Mac 2008

Survival Melayu tergugat - Surat 3

SEPERTI yang kita maklum keputusan pilihan raya umum yang Sabtu lalu amatlah mengecewakan. Apa yang sebenarnya telah terjadi sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) kalah begitu teruk sekali dalam sejarah pilihan raya negara kita.

Faktor pertama yang mendorong kepada kekalahan BN adalah sifat yakin diri pemimpin BN itu sendiri. Disebabkan BN telah mencapai kemenangan yang besar pada pilihan raya 2004, kebanyakan pemimpin BN leka dan menganggap 2008 ini mereka akan lebih berjaya sehingga dapat menawan Kelantan.

Faktor kedua ialah orang Melayu itu sendiri sudah berpecah-belah. Mereka sendiri tidak mahu menyokong kerajaan. Mengapa kita orang Melayu sudah jadi begini? Kita, orang Melayu, adalah majoriti rakyat negara ini. Kini sudah terbahagi dua. Satu pihak prokerajaan, satu lagi propembangkang. Sanggup ‘bergaduh’ sesama sendiri untuk menunjuk kehebatan parti sendiri. Tidakkah anda semua terfikir yang kaum lain sedang tergelak menyaksikan kebodohan orang Melayu sekarang?

Tidak bolehkah kita bersatu seperti rakyat Iran dan jangan berpecah-belah seperti rakyat Palestin. Kenyataan ini memang memalukan tetapi kita harus menerima hakikat ini. Mahukah kita menjadi seperti zaman sebelum kita mencapai kemerdekaan. Tiada perpaduan dan ditindas oleh orang asing.

Pembangkang pula menggunakan isu perkauman. Lihatlah, hasilnya kekalahan teruk parti gabungan komponen BN yang bukan Melayu seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Sebaliknya, DAP menang besar. Begitu juga PKR dan Pas.

BN wajib menyatukan kembali kaum-kaum di negara ini yang semakin besar jurang pemisahnya. Buktikan kepada mereka yang mereka telah membuat pilihan yang salah dengan memilih pembangkang.

– JAMILAH,

Bangi.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: