SAYA adalah penyokong Pas yang mula menyokong perjuangan parti itu sejak awal remaja kerana tertarik dengan gagasan Islam.
Tetapi alangkah kecewanya saya apabila melihat Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang berjabat tangan dan kelihatan gembira bersama para pemimpin DAP atas kejayaan menjatuhkan sebuah pemerintah yang seagama dengan mereka.
DAP kini sudah pun mengorak langkah di Pulau Pinang dengan menolak pelaksanaan DEB, yang sekali gus memperlihatkan matlamat mereka untuk menutup terus peluang orang Melayu dan Islam di negeri itu untuk maju dari segi ekonomi.
Malah prinsip Pas yang selama ini tidak bekerjasama dengan DAP juga seolah-olah dilupakan semata-mata ghairah untuk berkuasa sekalipun terpaksa menggadai nasib orang Melayu di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Di Perak dan Selangor, Menteri Besar kerajaan baru itu nanti ialah orang Melayu sebagaimana Undang-Undang Tubuh negeri.
Tetapi jelas sekali beliau hanya akan menjadi boneka DAP kerana DAP mempunyai jumlah kerusi terbanyak berbanding parti pembangkang lain.
Lantaran kuasa kerajaan pembangkang di Perak kini dipegang oleh mereka. Justeru tidak mustahil apa yang berlaku di Pulau Pinang bakal berlaku di Perak.
Saya sebagai seorang penyokong Pas amat kecewa dan terkejut dengan kesediaan parti itu bekerjasama dengan golongan DAP yang menentang gagasan negara Islam, sehingga akhirnya membentuk kerajaan negeri Perak.
Mengapa tidak mereka rasional, mengetepikan ideologi parti dan memikirkan nasib bangsa Melayu dan Islam di Perak, seandainya kerajaan yang diterajui oleh DAP berkuasa.
Tidak sedarkah mereka bahawa golongan ini hanya memperalatkan mereka untuk meraih kuasa?
Tidak sedarkah bahawa golongan ini sekadar mengambil kesempatan di atas perpecahan bangsa Melayu dan kini ketawa melihat kebodohan bangsa Melayu?
Saya masih ingat fatwa Haji Abdul Hadi Awang, yang menghukum orang UMNO sebagai kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir tetapi fikirlah apakah status pemimpin-pemimpin Pas yang bekerjasama dengan golongan kafir sekarang?
Saya dengan ini bertekad tidak lagi akan menyokong perjuangan Pas kerana jelas mereka sekadar memperalatkan Islam untuk kepentingan mereka sendiri.
Kepada wakil rakyat Pas di Perak, ingatlah balasan Allah kepada mereka yang bekerjasama dengan musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan ingatlah betapa besarnya dosa anda kepada kami umat Islam di Perak seandainya anda masih tegar dengan niat anda.
– AM PIAN,
Tapah.
0 ulasan:
Catat Ulasan