SAYA menyokong kenyataan Ridzuan Zulkifli Hulu Klang, Selangor dalam ruangan ini semalam.
Apa yang diperkatakannya berasas kerana kita sebenarnya terlalu dimanja dan dibelai kerajaan sehinggakan sentiasa meminta walaupun sudah diberikan apa yang sewajarnya.
Apabila keinginan tidak dipenuhi mulalah tunjuk perasaan memberontak dan lupa segala jasa dan budi yang pernah ditabur kerajaan.
Sebagai rakyat negeri yang pernah ditawan parti pembangkang satu masa dulu, pengalaman dalam pemerintahan pembangkang memang memeritkan.
Rakyat hidup tanpa pekerjaan yang betul-betul menjamin masa depan dan hidup dalam kemunduran ekonomi berbanding negeri lain. Alhamdulillah, hari ini, negeri kami sekarang begitu utuh di bawah panji kerajaan Barisan Nasional (Sabah).
Apa yang saya cuba gambarkan di sini sama seperti yang berlaku dalam kehidupan rumah tangga, perwatakan kita sebenarnya tidak ubah seperti anak kita yang sentiasa merengek, meminta, merayu meminta sesuatu berlebih-lebihan walaupun ibu bapa sudah menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya iaitu memberi mereka makan, tempat tinggal dan pelajaran.
Bukan ibu bapa enggan memberikan lebih daripada sepatutnya, namun bimbang bajet keluarga tidak mencukupi untuk membuatkan anak menerima lebih daripada sebelumnya.
Sebagai ibu bapa, saya percaya kita sentiasa merungut bajet keluarga tidak mencukupi setiap bulan, malahan terpaksa memotong bajet lain. Itu dalam keluarga dan bagaimana pula dengan kerajaan yang mempunyai penduduk berjuta-juta orang?
Namun, sebagai anak, kita memang tidak memahami kerana tidak semua perkara ibu bapa perlu dikongsi dengan anak. Biarlah segala penat jerih bekerja mencari wang itu sajalah yang perlu anak ketahui.
Tetapi janganlah sampai anak yang tidak tahu apa sebenarnya pekerjaan ibu bapa mereka.
Dalam konteks kerajaan, rakyat sudah menyaksikan setiap hari banyak agenda pembangunan dirancang dan dilaksanakan kerajaan untuk faedah rakyat keseluruhannya.
Tiada apa yang perlu disembunyikan, malah dalam konteks keluarga sekiranya ada pendapatan lebih, kita akan menabung sebagai persediaan untuk masa depan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bukan menghabiskan apa yang ada semata-mata mahu memuaskan hati semua pihak.
Sumber minyak negara akan susut kerana ia tidak berkekalan. Oleh itu, perlunya simpanan supaya kita bersedia menghadapi keadaan itu dengan melakukan banyak penyelidikan.
Membela anak bukan untuk dimanjakan supaya mereka tahu berusaha sendiri dan hidup berdikari kelak.
Apa yang menjadi permasalahan ialah kita sendiri yang enggan dan malas membabitkan diri secara bersama.
Disebabkan itu, kerajaan terpaksa mengambil pekerja asing dan mereka berlumba-lumba datang ke negara kita mengecapi kemakmuran negara kita.
Dalam keluarga pula, umpama ayah menyuruh anak mencuci kereta tapi upah diberi kepada orang lain.
Lebih baik kita berikan wang itu kepada anak sendiri. Namun, pemikiran anak sekarang agak high class,
Mereka menganggap kerja mencuci kereta sebagai kelas bawahan. Mereka lupa sebenarnya menolong keluarga mencuci kereta adalah amalan mulia dan mendapat pahala.
Kesimpulannya, apa yang saya ingin katakan apa yang berlaku dan kita lalui dalam konteks mini (keadaan keluarga) adalah lebih kurang juga apa yang berlaku dalam konteks yang lebih besar dalam pentadbiran negara kita.
Bagaimana payahnya kita menguruskan sebuah keluarga, begitu jugalah yang dirasai kerajaan.
Menyerahkan pentadbiran negara kepada kerajaan lain (baru) umpama menyerahkan nasib kita kepada pasangan yang baru berkahwin yang baru mengenali alam rumah rumah tangga. Kerajaan sedia ada sudah melalui jatuh bangun dalam mentadbir negara.
Adakah kita ingin mengundurkan masa kembali ke peringkat permulaan, sedangkan kita sedang menuju ke kemuncak?
Perlukah kita melalui saat menyukarkan dalam kehidupan kita?
Kita mengeluh harga barang semakin naik, bagaimana pula nasib negara lain yang jauh lebih teruk berbanding negara kita yang masih dilindungi subsidi kerajaan.
FIRMAN DM,
Tawau, Sabah.
0 ulasan:
Catat Ulasan