MANGSA pertama Pilihan Raya Umum 2008 ialah kuasa politik Melayu. Tanda penghakisannya amat jelas. Orang Melayu selama ini punya kuasa politik saja, itupun nampaknya akan terjejas. Orang Melayu yang juga kaum majoriti di negara ini harus berdepan dengan kenyataan baru politik negara - kaum bukan Melayu akan memainkan peranan lebih besar dalam menentukan nasib mereka masa kini dan masa depan.
Jangan salah faham. Saya menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru lalu. Saya akur dengan kuasa rakyat yang menghilangkan 2/3 majoriti kerajaan Barisan Nasional (BN). Saya menghormati kuasa rakyat mengalahkan banyak calon BN dan memenangkan parti seperti PKR, Pas dan DAP. Kuasa mengundi di tangan rakyat tidak boleh diperkecilkan. Rakyat sudah bersuara dan suara rakyat adalah suara muktamad.
Tidak ada kerajaan yang boleh bertahan sekiranya rakyat menolak mereka. BN, dan sebelumnya Perikatan, memerintah negara ini sejak kita merdeka. Parti kerajaan sebenarnya pernah dinafikan 2/3 majoriti pada 1969 apabila Perikatan memperoleh hanya 68 dari 118 kerusi Parlimen. Inilah kali kedua kerajaan memerintah gagal memperoleh 2/3 majoriti.
Untuk tujuan rekod, ini pencapaian paling buruk bagi BN di dalam sebarang pilihan raya. BN hanya menang 140 kerusi Parlimen dan 307 kerusi Dewan Undangan Negeri (tidak termasuk Sarawak). Umno memperoleh 78 kerusi Parlimen sementara MCA hanya 15, MIC 3 dan Gerakan 2. Dalam pilihan raya kali ini juga Gerakan hilang 80 peratus kerusi Parlimen, MIC 67 peratus, MCA 51.6 peratus dan Umno 27.5 peratus. BN hanya memperoleh 51.2 peratus undi majoriti, yang paling rendah dalam 12 pilihan raya. Malah, pada 1990, BN masih memperoleh 53.3 peratus undi majoriti. Pada 1999, apabila Umno berdepan dengan krisis penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, BN masih memperoleh 56.5 peratus undi majoriti.
Banyak penganalisis politik menggunakan istilah ‘tsunami politik’ untuk menggambarkan gelombang penolakan terhadap BN kali ini. BN bukan saja gagal merampas Kelantan daripada Pas tetapi kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Tiada siapa yang membayangkan bukan saja BN kalah di kawasan yang selama ini dianggap selamat, tetapi banyak pemimpin parti komponennya tewas.
Lebih memeranjatkan ialah protes itu tidak sekadar memenangkan calon parti lawan tetapi bilangan undi rosak kali ini adalah yang terbesar dalam sejarah negara. Sebanyak 322,461 undi rosak dicatatkan kali ini, 175,680 untuk Parlimen dan 146,781 untuk dewan undangan negeri. Lebih memeranjatkan ialah bilangan undi rosak tertinggi dicatatkan di Johor (28,709 untuk Parlimen dan 25,455 untuk negeri), yang dianggap kubu kuat Umno dan BN.
Dalam pilihan raya kali ini juga, nampaknya sesiapa saja boleh menang asalkan bertanding atas kerusi pembangkang. Samalah halnya satu ketika dulu, siapa saja boleh menang asalkan bertanding atas tiket BN. Keadaan berubah. Senario politik berbeza. Generasi baru menyatakan kehadiran mereka. Kali ini 1.4 juta rakyat membuang undi kali pertama. Kali ini juga pengaruh blog dan bloggers selain SMS mempengaruhi pola pemilihan. Pendeknya, era baru politik tanah air sudah bermula.
Kemenangan banyak calon bukan Melayu daripada parti pembangkang juga memberikan wajah baru pada politik negara ini. Mereka tidak mungkin menang dengan undi bukan Melayu saja. Seperti juga sebahagian calon Melayu tidak boleh menang tanpa undi bukan Melayu pada 1999, kali ini gelombang penolakan terhadap BN tidak mungkin berlaku tanpa bantuan orang Melayu. Memang tidak dapat dinafikan, di kawasan Melayu, penolakan terhadap BN memberi kemenangan pada calon Pas dan PKR. PKR mencatatkan kemenangan di 31 kerusi Parlimen dan Pas 23 kerusi Parlimen. Pada 1999, Parti Keadilan masa itu hanya mampu memperoleh 10 kerusi Parlimen dan Pas 27.
Dalam pilihan raya kali ini BN hanya memperoleh 14 kerusi negeri di Kedah, 20 di Selangor dan 27 di Perak. Di Perak, DAP memperoleh 18, PKR 7 dan Pas 6. Di Selangor ketiga-tiga parti ini memperoleh 36 kerusi berbanding 20 bagi BN. Di Kedah, ketiga-tiganya memenangi 21 kerusi berbanding 14 bagi BN.
Bagaimanapun, fenomena yang harus dilihat ialah kemenangan DAP. Prestasi mereka yang terbaik di Parlimen sebelum ini ialah pada 1986 apabila mereka memperoleh 24 kerusi, diikuti oleh 20 kerusi pada 1990. Kali ini mereka memperoleh 28 kerusi, tetapi DAP memperkukuh kekuatan di Pulau Pinang (19), Perak (18), Selangor (13), Negeri Sembilan (10), malah di Johor (4).
Soalnya beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP baik di Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan menandakan sama ada pemimpin mereka tidak sensitif atau menunjukkan keangkuhan tidak bertempat. Isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diungkit sebenarnya menimbulkan banyak kegelisahan terutama di kalangan orang Melayu. Soal yang membabitkan kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu tidak seharusnya dibangkitkan, apa lagi hanya beberapa hari selepas kemenangan mereka.
Mungkin pimpinan DAP melatah atau dek terlalu lama sebagai pembangkang terus memiliki mentaliti pembangkang sekalipun mereka sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri. Mungkin ini peluang terbaik untuk melepaskan geram terhadap dasar yang mereka tidak senangi sejak sekian lama. Atau ini petanda belang sebenar mereka.
DEB bukan dasar merompak dari satu kaum untuk memberikan pada kaum yang lain. DEB ialah dasar serampang dua mata - membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Kita tahu apa yang dimungkinkan akibat DEB - berkurangnya insiden kemiskinan di kalangan orang Melayu, kelahiran masyarakat perniagaan dan pedagang Bumiputera, selain tumbuhnya kelas menengah Melayu. Isu pembahagian kek ekonomi dapat kita selesaikan. Akibatnya rakyat tidak bersengketa antara kaum apabila kegawatan ekonomi melanda Asia pada 1998. Kita membetulkannya selepas Peristiwa 13 Mei 1969.
Bagaimanapun, sehingga hari ini pun dispariti pendapatan antara orang Melayu dan bukan Melayu masih ketara, demikian juga antara penduduk bandar dan luar bandar. Itu belum lagi jurang digital, pendedahan teknologi dan penguasaan ilmu dan maklumat. Malaysia bukan negara sekangkang kera, kita dibezakan oleh kedudukan ilmu alam yang luar biasa serta pendedahan pada kemajuan yang berbeza juga.
Memang sesiapa saja mudah bercakap untuk menghapuskan dasar seperti DEB atau menyanjung meritokrasi. Banyak daripada penentang DEB dan penganut fahaman meritokrasi melulu ini tinggal di bandar yang terungkai daripada kenyataan di luar bandar dan kemiskinan yang masih ketara. Memang ada penyangak di kalangan pemimpin Melayu yang tamak, haloba dan korup yang menggagalkan rancangan memajukan bangsa mereka. Bagaimanapun, usahlah dibakar kelambu kerana marahkan nyamuk.
Lebih penting lagi, ingatlah mengenai perlunya perpaduan Melayu. Orang Melayu masih belum menguasai ekonomi. Jika kuasa politik pun hilang, kita akan menjadi bangsa majoriti yang merintih dan terpinggir. Memang semua orang patut belajar daripada peristiwa 2008 - terutama pemimpin Umno dan BN - tetapi kita juga harus ingat bahawa orang Melayu yang berpecah belah akan menguntungkan orang lain.
Buat masa ini, yang mula kedengaran ialah suara lantang. Selepas ini, mungkin dasar yang merugikan Melayu akan menjadi kenyataan. Suara kita akan hilang. Jangan sampai nasi menjadi bubur.
Pada masa itu jadilah kita bangsa yang menang sorak tetapi membiarkan kampung tergadai.
1 ulasan:
kasihan ...
apakan selama ini melayu yang mengusai politik negara ?
kasihan ..
jika jawatan ketua hakin negara yang faham mengenai undang undang itu juga mampu di jual beli ...
inikan pula dengan ahli politik terutama UMNO yang sudah tidak lagi mendapat kepercayaan melayu mejoritinya.
sedarlah ..
Generasi baru ini tidak lagi seprti generasi dahulu yang hanya mengiakan kata kata pemimpin .
generasi melayu baru ini lebih berpendidikan dan kebimbangan rusuhan tidak lagi menghantui kami .
bibit hasutan rusuhan hanya dimainkan oleh pemimpin umno dan tidak lagi menjadi kerisauan kami kerana niat dan hasrat umno itu sendiri sudah kami kenali kejijikannya.
kami generasi melayu baru bukan sahaja bersatu padu diantara golongan melayu kami .. malahan kami sudah boleh menerima kehadiran cina india yang turut sama menjadi mangsa kekejaman politik kolot umno
hentikanlah dengan senandika songsang yang dipermainkan oleh umno ini .. kami sudah jelak ..
Catat Ulasan