TANPA disedari, air mata saya membasahi pipi tatkala pembaca berita mengumumkan Barisan Nasional (BN) `tumbang' di Pulau Pinang. Sedih dan pilu menusuk kalbu dan seperti tak percaya, seterusnya satu demi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dimenangi pembangkang.
Selepas itu, saya berfikir siapakah saya untuk bersedih? Saya bukan ahli politik, bukan Yang Berhormat dan tidak pun aktif sebagai ahli politik.
Saya hanya orang biasa, bekerja sebagai kerani dengan firma guaman di selatan tanah air. Jadi mengapa saya jadi begitu terharu, sukar untuk saya menjawabnya.
Apa yang saya dapati, kerajaan membuat banyak perkara bagi membantu rakyat dalam menangani kehidupan seharian dan masalah dihadapi rakyat. Saya melihat contoh berlaku pada diri saya sendiri.
Saya pernah mengalami masalah kewangan yang teruk menyebabkan saya menanggung banyak hutang kad kredit (mempunyai enam kad kredit) yang tidak mampu saya bayar.
Dengan bantuan kerajaan yang menubuhkan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK) diselia Bank Negara, saya kini mampu tidur lena apabila AKPK membantu saya menyelesaikan masalah itu.
Apabila saya menghadapi masalah membayar balik pinjaman perumahan yang menyebabkan rumah saya hampir dilelong, kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun kedua mengurangkan baki pinjaman perumahan. Kini saya rasa hidup lebih bermakna tanpa dibebani pelbagai masalah kehidupan.
Itu adalah sebahagian daripada apa yang saya alami. Manfaat bagi rakyat pula, saya sebagai kerani firma guaman sering menguruskan jual beli hartanah.
Sejak April 2007, kerajaan memansuhkan Cukai Keuntungan Hartanah bagi individu yang menjual hartanah kurang dari lima tahun. Terbaru, bermula September 2007 hingga Disember 2010, kerajaan memberikan peremitan bayaran duti setem sebanyak 50 peratus kepada pembeli rumah yang membeli rumah tidak melebihi RM250,000.
Apabila saya menerangkan kepada pembeli rumah, mereka tersenyum lebar kerana tidak pernah mengetahuinya jika tidak membeli rumah. Bukan semua orang ambil peduli apa yang kerajaan berikan, melainkan apabila mereka menghadapi keadaan itu.
Bagi orang biasa yang tidak berkerja di firma guaman, mereka tidak nampak dan mengetahui apa yang kerajaan berikan. Bagi saya, boleh dikatakan setiap tahun diumumkan belanjawan negara, ada saja hadiah kepada rakyat.
Saya juga seperti orang lain yang mengeluh kenaikan minyak dan harga barang lain, tetapi memandang dari sudut lain, saya dapati kerajaan lebih banyak memberi, di mana sedikit `pengorbanan' daripada kita sebagai warga negara menyokong kerajaan.
ROZIE
Johor Bahru, Johor.
0 ulasan:
Catat Ulasan