Sabtu, 22 Mac 2008

Berakhirkah sentimen kaum?

BANYAK yang disebut tentang trend pengundian dalam pilihan raya umum lalu. Antaranya yang kerap menjadi bahan analisis ialah rakyat Malaysia tidak lagi mengundi mengikut kepentingan kaum. Benarkah begitu? Hal ini banyak disentuh dalam media Internet dan ruangan blog.

Pada saya, arah aliran mengundi masyarakat kita sebenarnya tidak banyak berubah. Ia masih berkait rapat dengan aspek kaum.

Lihat sahajalah semasa kempen. Gerakan parti pembangkang tertentu yang mencanangkan undi Cina untuk Cina dan ‘undi MCA bererti undi UMNO’ ternyata berpaksi kepada perkauman.

Rasanya DAP tidak boleh menafikan hakikat ini dan mereka masih bermain sentimen perkauman.

Saya mempunyai beberapa rakan Cina mualaf yang selalu menceritakan tentang sentimen kempen DAP.

Begitu juga dengan banyak laporan akhbar bahasa Cina yang menyajikan isu-isu perkauman yang dibawa oleh parti-parti tertentu untuk tujuan meraih undi.

Apakah itu semua bukan perkauman?

Begitu juga dengan masyarakat India yang mengundi mengikut sentimen perkauman ekoran isu-isu tertentu termasuk Hindraf dan kononnya minoriti India terpinggir.

Malah ramai orang India dari awal lagi memberi kata dua tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN).

Akhirnya PKR yang bijak menghidu isu-isu perkauman ini turut mengapi-apikannya dengan menarik simpati masyarakat Cina dan India. Apakah taktik ini bukan sentimen perkauman?

Jika dilihat secara mikro pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-12, ternyata hampir kesemua bukan Melayu mengundi untuk kepentingan kaum masing-masing.

Ini termasuk melalui undi kepada PKR dan Pas atas nama pakatan dengan keyakinan ia akan menguntungkan DAP dan atas kepercayaan DAP akan lebih dominan.

Itulah strategi DAP yang disokong secara kuat oleh masyarakat Cina, yang akhirnya berjaya. DAP bukan sahaja berkuasa di Pulau Pinang malah dominan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Jadi pada saya, ini semua bukanlah tanda-tanda bahawa masyarakat Malaysia tidak lagi memikirkan soal kaum dalam penentuan undi mereka.

Cuma yang agak berbeza ialah undi Melayu yang banyak dicurahkan kepada DAP sama ada secara langsung atau melalui calon PKR dan Pas, atas nama menyokong pakatan pembangkang.

Maknanya, orang Melayu buat pertama kalinya melakukan eksperimen besar dengan mengundi DAP. Itu juga bukan kerana mereka taksub kepada DAP tetapi lebih mahu memperkasakan Pas dan PKR.

Malangnya dalam percaturan tersebut DAP yang paling melonjak pencapaiannya. Ini diikuti impak yang diperoleh PKR yang banyak menampilkan calon bukan Melayu. Strategi PKR mahu menarik pengundi Cina dan India semata-mata untuk menang pilihan raya.

Tetapi dalam kempen-kempennya sebahagian pemimpin PKR ketika berceramah di kawasan pengundi majoriti Melayu berjanji untuk memberi lebih keutamaan kepada kepentingan Melayu. Nada mereka berlainan sama sekali apabila berada di hadapan pengundi Cina dan India.

Sebab itulah pada pandangan saya, DAP berjaya menawan Pulau Pinang kerana masyarakat Cina bersatu hati dari segi corak pengundian mereka. Ia turut diperkuatkan dengan polisi DAP yang masih tegar memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia selain menolak usaha menjadikan Malaysia negara Islam.

Secara umumnya boleh dirumuskan bahawa rakyat Malaysia masih mengundi untuk kaum mereka. Saya percaya trend ini akan berlaku untuk sekurang-kurangnya tiga pilihan raya umum lagi.

Saya juga melihat perubahan polisi PKR memberi peluang kepada ramai calon bukan Melayu dan turut memainkan isu-isu kepentingan kaum Cina dan India, tidak akan mampu bertahan lama. Ini kerana majoriti ahli dalam PKR adalah orang Melayu dan mereka mulai resah dengan kepentingan Melayu yang semakin diketepikan oleh para pemimpin PKR, yang bercanggah dengan semangat perlembagaan dan kontrak sosial. Salah satu isu ialah penghapusan DEB.

Di sinilah dilema para penyokong Melayu PKR. Ini termasuk isu-isu yang lebih menguji seperti murtad, dialog dan pelbagai tuntutan agama kaum bukan Melayu, yang nampaknya PKR tidak mempunyai pendirian.

Selama ini pemimpin utama PKR mengambil jalan tengah dan kabur sedangkan dalam isu agama Islam, tiada kompromi. Itulah kelemahan konsep pelbagai kaum dalam satu parti.

Lebih baik gabungan parti pelbagai kaum yang mampu menangani isu-isu sensitif tanpa banyak menjejaskan kaum masing-masing.

– AHMAD SADIKIN,

Skudai, Johor.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: