Pejuang kemajuan Bahasa Melayu diusir ke England
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
Sumber Berita Harian
DATUK Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak. |
Inggeris singkirkan Abdul Rahman Andak yang berjaya lahirkan ramai bijak pandai Melayu kerana bimbang pengaruhnya berkembang
JOHOR memang terkenal sebagai negeri yang melahirkan ramai golongan bijak pandai dan pejuang bangsa. Bahkan hasil titik peluh mereka diguna pakai masyarakat seluruh negara hingga ke hari ini.
Seorang daripada tokoh besar kelahiran Johor ialah Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak, seorang berpendidikan Inggeris dan dianggap sebagai antara pembesar negeri yang sangat pintar hinggakan wujud usaha menyingkirkannya dari bumi sendiri.
Abdul Rahman Andak adalah anak kepada Haji Andak Jamak manakala adiknya pula Tan Sri Taib Andak.
Beliau adalah anak Johor yang pertama melanjutkan pelajaran di England pada 1870 sebelum memulakan kerjayanya dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Johor (JCS) dan berakhir dengan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Disebabkan mempunyai pendidikan Inggeris, beliau mempunyai hubungan yang rapat denganpegawai Inggeris dan pedagang asing di Johor.
PAPAN tanda Jalan Abdul Rahman Andak di Johor Bahru. |
Tugas utama yang dilakukan oleh Abdul Rahman ialah mengawal hubungan yang dijalankan di antara kerajaan Johor dengan pihak Inggeris. Tugas yang dilakukan sememangnya berat dan beliau harus menentukan agar hubungan berjalan dengan seimbang.
Disebabkan keadaan itu, Inggeris tidak dapat mengambil kesempatan untuk menguasai dan menjajah negeri Johor. Beliau menjalankan tugasnya dengan baik sehingga ada di kalangan pegawai Inggeris yang tidak menyukainya kerana sikapnya yang tegas terhadap mereka.
Dalam menyelamatkan Johor dari terperangkap dengan muslihat penjajah, Abdul Rahman selaku Penasihat Sultan bertanggungjawab menasihat Sultan Abu Bakar menandatangani teriti persahabatan dengan Inggeris pada 1885, Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan menyekat percubaan Inggeris melantik Penasihat Am Inggeris.
Pada 1888, Abdul Rahman Andak bersama putera Abdullah Munsyi, Datuk Muhammad Ibrahim Munsyi membuka lembaran baru memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu dengan mengasaskan Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) di Johor Bahru.
Walaupun berpendidikan Inggeris, beliau mewujudkan kesedaran untuk memperjuangkan kemajuan bahasa Melayu secara berkumpulan melalui PBMPB.
Tujuannya untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu agar pengetahuan bahasa Melayu itu lebih mudah disebarkan kepada orang Melayu.
Usaha yang utama organisasi ini (PBMPB) ialah menterjemahkan istilah atau perkataan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Beberapa perkataan yang dicipta ketika itu dan kekal hingga sekarang adalah seperti setiausaha, pejabat dan kerja raya.
Pendekatan yang diamalkan Abdul Rahman termasuk usaha melahirkan ramai bijak pandai Melayu melalui pendidikan menyebabkan wujud 'taktik kotor' untuk menyingkirkannya bagi mengelakkan pengaruhnya berkembang.
Inggeris mendapati selagi ada Abdul Rahman Andak mereka sukar menguasai Johor. Oleh itu, Sultan Ibrahim dipengaruhi untuk menamatkan perkhidmatan beliau dan 'disemadikan' di England pada 1909.
Gabenor Anderson bertindak menyingkir Abdul Rahman dengan persetujuan Sultan Ibrahim dan mencadangkan Abdul Rahman dibayar pencen 1000 pounds sterling setahun. Keadaan ini membolehkan Inggeris bertapak di Johor pada 1909 dan menguasai Johor mulai 1914.
Situasi itu menyebabkan Abdul Rahman membawa diri ke London dan meninggal dunia di sana, namun jasanya tetap dikenang sebagai seorang daripada tokoh yang membawa pembaharuan dalam pendidikan khususnya perjuangan bahasa Melayu.
Walaupun tidak membabitkan sebarang penentangan atau tumpah darah dalam memperjuangkan bangsa, Abdul Rahman tetap dikenang dalam usahanya mengasaskan PBMPB.
Antara 1935 hingga 1947, PBMPB menghasilkan 34 buku, 16 daripadanya mengenai bahasa yang meliputi perkamusan, tatabahasa, ejaan dan daftar kata, manakala 18 lagi mengenai sejarah, kebudayaan dan laporan.
Dalam bidang peristilahan pula, PBMPB memainkan fungsi besar mencipta beberapa istilah baru seperti pesuruhjaya, warta, jurucakap, jadual waktu dan timbalan.
Abdul Rahman dianggap sebagai pemimpin pertubuhan terkenal dalam memberi nafas kepada organisasi itu. Namun begitu pertubuhan itu tidak kekal dan pada 1904 usaha dibuat untuk menghidupkannya kembali.
Organisasi itu semakin tidak bermaya sehinggalah pada 1934, baginda Sultan Johor bersetuju memberi bantuan RM2,000. Nama Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa ditukar kepada Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Buku-buku Diraja (PBMPB). Gelaran 'Diraja' dianugerah oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar pada 14 April 1935.
Sumbangan awal Abdul Rahman itu diakui banyak memberi kesan dalam perkembangan bahasa Melayu sehingga membawa kepada penubuhan Balai Pustaka pada Jun 1956 sebelum ditukar nama kepada Dewan Bahawa Pustaka (DBP) pada September 1956.
BIODATA: Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak
FAKTA: Matlamat PBMPB
0 ulasan:
Catat Ulasan