Sabtu, 22 Mac 2008

Pembangunan Keseimbangan dengan Dasar Ekonomi Baru di Malaysia

Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan untuk menangani masalah ketidak seimbangan ekonomi di antara pelbagai kaum di Malaysia yang menjejaskan perpaduan antara kaum dan keamanan negara. Sejak Malaysia mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957 hingga ke akhir tahun 1960an, pembangunan ekonomi di dorong oleh kuasa pasaran. Hasilnya, Malaysia mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi masih wujud ketidak seimbangan yang serius.

Ini bermakna, walaupun pertumbuhan ekonomi tinggi, kekayaan tidak diagihkan dengan baik. Golongan yang miskin, kebanyakannya kaum Bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar dan berkerja sebagai petani, masih ramai dan masih mundur. Manakala kaum Cina dan orang asing pula menguasai bidang perindustrian, perniagaan dan sektor korporat. Ini yang dinamakan “market failure”.
Ekoran dari peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969, DEB diperkenalkan pada tahun 1970.

Ia bertujuan untuk menghapus kemiskinan tanpa mengira kaum dan mengstruktur semula masyarakat supaya negara dapat membangun dengan stabil, aman di samping hasil pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Pengstrukturan semula masyarakat adalah supaya jenis kaum tidak sinonim dengan kegiatan ekonomi.

Strategi serampang dua mata ini tertumpu kepada usaha menambah pendapatan golongan miskin dan penduduk di luar bandar, memodenkan sektor pertanian, meningkatkan tahap pelajaran, mewujudkan golongan komersial Bumiputera dan menambah pegangan ekuti korporat Bumiputera.

Sasaran juga ditetapkan iaitu 30% pegangan ekuti korporat oleh Bumiputera, penetapan kuota kemasukan pelajar Bumiputera di universiti dan 30% daripada bilangan pekerja mestilah Bumiputera. Prinsip pokok pengstrukturan ini adalah supaya sasaran ini dapat dicapai dari ekonomi yang sedia berkembang dan tidak mengambil dari kaum Bukan Bumiputera untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

Kejayaan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi berserta dengan agihan seimbang telah diakui oleh berbagai pihak termasuk Bank Dunia dan DEB merupakan satu elemen penting dalam kejayaan ini.

Kejayaan DEB yang paling nyata dan membanggakan ialah penurunan kadar kemiskinan dan peningkatan taraf pendidikan kaum Bumiputera. Yang paling menonjol ialah penurunan kadar kemiskinan dari 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.7% pada tahun 2005.

Di kawasan luar bandar, pendapatan penduduk telah meningkat dan penagguran tidak ketara (under employment) hampir hilang. Kemudahan moden seperti jalan raya, sekolah, klinik kesihatan, kuasa eletrik dan bekalan air telah menjadi kemestian.
Pelajar Bumiputera bukan sahaja mendapat pendidikan di peringkat rendah dan menengah tetapi ramai yang berjaya keperingkat universiti. Ramai juga yang dihantar belajar ke institusi pengajian tinggi di luar negeri.

Bilangan profesional Bumiputera juga telah bertambah. Kini, terdapat ramai pakar perubatan Bumiputera di hospital-hospital. Keadaan ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kira-kira 45 tahun lalu di mana hanya ada segelintir sahaja doktor pakar Bumiputera. Banyak syarikat besar di Malaysia sekarang diketuai oleh golongan profesional Bumiputera.Ramai profesional Bumiputera mampu berdaya saing untuk bekerja di luar negara.

Dalam erti kata lain, DEB telah melahirkan golongan profesional dan golongan kelas menengah Bumiputera yang mempunyai kuasa beli yang kuat. Ini dapat dilihat, misalnya dari pemilikan rumah oleh kaum Bumiputera di kawasan perumahan kota. Sekarang ini, terdapat ibu bapa Bumiputera yang mampu membiayai anak mereka belajar di universiti di dalam mahupun di luar negara.

Pegangan ekuiti korperat Bumiputera telah meningkat dari 2.4% pada tahun 1970 kepada 19% pada tahun 2000. Jika dahulu tiada institusi perbankan yang mempunyai pemilik majoriti Bumiputera, tetapi sekarang bank-bank utama di Malaysia dimiliki serta diuruskan oleh Bumiputera. Golongan peniaga Bumiputera juga telah wujud walaupun kebanyakannya berstatus industri kecil dan sederhana.

Justeru, terbukti telah ada pengstrukturan ekonomi di mana bidang pekerjaan tidak lagi dikenal secara automotik dengan kaum. Ertinya, sebelum DEB, kaum Bumiputera adalah petani atau nelayan yang tinggal di luar bandar sementara kaum Cina merupakan peniaga di kota. Kini penglabelan automatik itu tidak lagi berlaku. DEB juga telah merapatkan jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Misalnya, nisbah pendapatan Bumiputera kepada Cina meningkat daripada 1:1.74 pada tahun 1990 kepada 1:1.64 pada tahun 2004.

Walaupun DEB telah membawa buah kejayaan, namun ianya juga mempunyai beberapa kelemahan dan telah menghasilkan kesudahan yang tidak dijangkakan. Intervensi kerajaan diperlukan untuk mencapai sasaran DEB. Akibatnya, wujud di kalangan kaum Bumiputera sindrom pergantungan kepada kerajaan. Ada pengusaha atau peniaga Bumiputera yang berniaga secara “Ali-Baba” atau berniaga di atas angin. Mereka mendapat kontrak untuk menjalankan sesuatu projek dan kemudiannya menjualkan atau memberi sub-kontrak kepada peniaga Bukan Bumiputera. Mereka sebenarnya tidak menjalankan projek itu sendiri tetapi mendapat bayaran sebagai imbuhan sebagai pengantara.

Amalan seperti ini telah membawa kepada ketirisan perbelanjaan kerajaan dan pengunaan dana yang tidak efisyen.
Sebagai suatu konsep penstrukturan sosial, DEB mempunyai nilai dan sasaran murni. Namun implementasinya telah menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak kerana ianya menjurus kepada amalan siapa yang dikenal dan bukannya berdasarkan keupayaan atau dalam pepatahan Inggeris “who you know and not what you know”.

Selain dari itu, ada juga rungutan yang tiada “padang yang sama rata” di kalangan kaum Bumiputera sendiri. Oleh itu, implementasi DEB mungkin tidak mengwujudkan keadaan dimana yang terbaik akan berjaya. Merit tidak menjadi kayu pengukur prestasi.

Akibatnya, di peringkat awal implementasi DEB, sasarannya boleh berjaya, tetapi untuk jangka panjang pencapaian itu sukar dikekal dan dipertingkatkan kerana ianya tidak berasaskan daya saing. Contohnya, pegangan ekuiti korporat masih belum lagi mencecah sasaran 30% kerana pegangan yang ada dijual untuk keuntungan jangka pendek dan bukan dikekalkan serta ditambah untuk pegangan jangka panjang.

Implementasi DEB yang dianggap tidak adil, telus dan cekap telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kuam bukan Bumiputera. Antaranya, sistem kuota kemasukan universiti telah dianggap oleh kaum Bukan Bumiputera sebagai menyempitkan peluang anak-anak mereka yang berkelayakan mendapat pendidikan universiti.
Sebagai kesimpulan, walaupun terdapat beberapa kelemahan, DEB telah berjaya membawa pembangunan ekonomi yang lebih seimbang yang memastikan kestabilan Negara jangka panjang.


Dr. Mahani Zainal Abidin
Ketua Pengarah
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia
Kuala Lumpur

Pandangan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mengambarkan pendirian institusi
Sumber Artikel

0 ulasan: