Sumber berita Harian
Oleh Abdul Halim Yusoff
JIKA DAP yang jelas turut menerima sokongan orang Melayu di kawasan tertentu melalui kemenangan beberapa calonnya pada pilihan raya umum baru-baru ini, pemimpin tertingginya perlu bersikap lebih profesional, berhemah dan peka terhadap sensitiviti orang Melayu serta institusi Raja.
Rakyat sendiri menyaksikan tindak-tanduk Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesak wakil rakyat parti itu di Perak memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru di Perak, Khamis lalu.
Selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah mengumumkan pelantikan Setiausaha Pas Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, Kit Siang mengeluarkan kenyataan meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Perak memulaukan majlis angkat sumpah di Istana Bukit Chandan pada petang keesokannya.
Seorang pemerhati politik berkata, walaupun beliau kemudian meminta maaf, malah turut menghadap Raja Dr Nazrin kelmarin untuk meminta maaf secara peribadi, keterlanjuran Lim sukar dilupakan selepas bersikap biadap terhadap Raja.
Mungkin Kit Siang terpaksa membuat wayang itu bagi mengelakkan kemarahan meluap daripada penyokong dan pengundi yang memberi mereka 18 kerusi DUN di Perak yang mahukan wakil parti itu menjadi Menteri Besar.
Kemarahan itu sebenarnya wujud hasil daripada tindakan parti itu sendiri yang selama ini sering menanamkan ketakutan atau fobia di kalangan penyokong kepada Pas yang kononnya akan melaksanakan dasar Islam dalam pentadbirannya.
Sebenarnya, kegopohan dan kegelojohan pimpinan DAP bertindak bukanlah isu baru. Pada awal 1990-an, Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah menyaman Sultan Selangor dan kemudian mempertikaikan pula kelayakan Sultan Johor sebagai Raja di negeri itu.
Tidak cukup dengan itu, Kit Siang dan Karpal juga pernah ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 kerana kegiatan dan tindakan mereka yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.
“Kit Siang dan Karpal Singh tidak pernah berjaya menawan Pulau Pinang dalam tempoh hampir 30 tahun menerusi Projek Tanjung 1, 2 dan 3 kerana pengundi tidak termakan dengan pendekatan egoistik dan radikal mereka. Ini bukan cara berpolitik di sini (Malaysia),” katanya.
Begitupun apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga anak Kit Siang tampil dengan misi menawan Pulau Pinang menerusi pendekatan yang sederhana, tidak terlalu optimistik dan lebih realistik, DAP akhirnya berjaya menawan negeri itu.
Golongan muda yang mendominasi senarai pengundi berdaftar sekarang lebih terbuka dan bersedia keluar daripada keterbiasaan, yang diterjemahkan menerusi undi kepada pembangkang dalam pilihan raya lalu.
Selain Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), golongan muda terutama Melayu sedia melupakan sejarah silam dan sedia mengundi DAP yang sebelum ini dikenali sebagai ultra sekular dan berteraskan kepentingan Cina kerana mereka melihat perubahan pendekatan dalam pimpinan muda DAP.
Daripada perspektif biasa, Kit Siang memang sukar untuk keluar daripada pendekatan radikal kerana beliau menyertai DAP seawal 1966, ketika parti itu adalah sebahagian daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), Singapura.
Apabila Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia, Devan Nair (yang kemudian menjadi Presiden Singapura) terus tinggal di Malaysia dan membentuk DAP.
Pada Kongres Kebangsaan DAP yang pertama pada 29 Julai 1967, DAP menzahirkan dengan jelas matlamat perjuangannya iaitu: “sesungguhnya komited kepada ideal perjuangan untuk mewujudkan Malaysia yang bebas, demokrasi dan sosialis.”
Namun, 40 tahun kemudian, dasar sosialis dan sekular parti itulah yang kini meletakkan DAP dalam keadaan sukar, termasuk pakatannya dengan parti pembangkang lain - Pas dan PKR. Lebih menyukarkan keadaan apabila ia terpaksa bersepakat dengan Pas.
Kerjasama DAP, Pas dan PKR di Perak belum berakhir walaupun Menteri Besar daripada Pas sudah mengangkat sumpah jawatan kelmarin. Selepas ini, Mohammad Nizar akan melantik barisan Exconya, yang pasti akan menerima tekanan daripada DAP.
Masalah serupa juga dikatakan berlaku di Selangor apabila Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan menerima desakan DAP supaya melantik Timbalan Menteri Besar daripada parti itu, pada hal hak pelantikan itu terletak pada Istana.
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 membolehkan Sultan melantik dengan surat cara di bawah tandatangan baginda dan mohor Kerajaan, seorang timbalan menteri besar.
Baru-baru ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda belum dinasihati Menteri Besar mengenai pelantikan itu dan tidak timbul persoalan sama ada seorang timbalan menteri besar berbangsa Melayu atau bangsa lain.
Pergeseran antara parti dalam pakatan pembangkang hingga diketahui umum menyerlahkan pegangan longgar pimpinan DAP pada konsep meritokrasi yang diperjuangkannya. DAP sudah menghantar empat nama untuk calon Timbalan Menteri Besar Selangor, tiga muka baru iaitu Teresa Kok, Ronnie Liew, Ian Yong dan orang paling lama berkhidmat sebagai Adun di Selangor, Teng Chang Khim.
Keadaan itu mencetuskan persoalan ketamakan dan kelayakan calon tertentu menyandang jawatan yang berat itu. Sebagai contoh, bagaimana Teresa yang menjadi Ahli Parlimen Seputeh (Kuala Lumpur) dapat menjaga kawasan Kinrara dan juga menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor.
Aspek meritokrasi dan orang lama yang terus bertahan membentangkan persoalan lain dalam DAP. Adakah DAP ketandusan pelapis? Jika diteliti memang parti itu kekurangan pelapis, seperti yang pernah diakui Ahli Parlimen tujuh penggal Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang dia sukar mencari pengganti yang ideal bagi meneruskan agendanya di kawasan itu.
Begitu juga Fong Kui Lun di Bukit Bintang yang kini sibuk ‘mengasuh’ anak didik bagi menggantikannya untuk penggal akan datang.
Perjuangan dalam DAP memerlukan pengorbanan kewangan dan tenaga, bukan seperti ahli parti Barisan Nasional (BN) yang tiada masalah kewangan untuk bertanding kerana semuanya ditanggung beres parti.
0 ulasan:
Catat Ulasan