Sabtu, 15 Mac 2008

Iktibar daripada kesukaran pakatan

Sumber Berita Harian

KEKUSUTAN yang berlaku di Perak mencetuskan polemik baru dalam dunia politik serta kaitannya dengan perlembagaan dan undang-undang. Ini berlaku selepas tiada satu parti boleh memerintah berikutan kegagalan memperoleh majoriti mudah. Perlembagaan Persekutuan dan negeri, masing-masing mencatatkan penubuhan Kerajaan Pusat atau negeri memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya majoriti mudah.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini, semua lima negeri yang dikuasai pembangkang kecuali Kelantan tidak melepasi peruntukan undang-undang majoriti mudah itu. Hanya selepas mengadakan pakatan campuran sesama sendiri di kalangan parti pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP, barulah mereka berupaya mencapai majoriti mudah itu. Jika berdasarkan keupayaan sesebuah parti, maka Barisan Nasional (BN) memiliki kerusi terbanyak di Kedah, Perak dan Selangor, tetapi BN tidak boleh membentuk kerajaan kerana Perlembagaan cuma membenarkan majoriti mudah untuk berbuat demikian.

Di Kedah, BN kekurangan cuma lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila menang 14, untuk memperoleh majoriti mudah 19 kerusi, manakala di Perak kurang hanya dua kerusi iaitu 28, bagi majoriti mudah 30 kerusi dan di Selangor pula, BN memerlukan sembilan kerusi lagi untuk membentuk kerajaan, yang memerlukan 29 kerusi berbanding 20 yang dimenangi BN.

Namun, perlembagaan negeri, malah Perlembagaan Persekutuan sekali pun tidak memberi sebarang peruntukan bagi membolehkan parti tunggal yang mendapat paling banyak kerusi, untuk memerintah dengan kaedah ‘kerajaan minoriti’. Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menitahkan pilihan raya baru diadakan tanpa kewujudan kerajaan minoriti kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Malah, Perlembagaan juga senyap dalam isu soal ‘pakatan’ atau ‘gabungan’ parti. Sekiranya Perlembagaan menyatakan bahawa hanya pakatan berdaftar secara rasmi boleh membentuk kerajaan campuran bagi memperoleh majoriti mudah, maka BN saja yang berdaftar berupaya berbuat demikian. Pakatan pembangkang setakat ini tidak berdaftar secara rasmi, tetapi Perlembagaan ‘senyap’ mengenai perkara ini. Kita bukan bermaksud menafikan sokongan rakyat kepada parti tertentu yang menang besar dan boleh memerintah melalui kerajaan campuran, tetapi cuba merungkai permasalahan kesan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang mengejutkan banyak pihak itu.

Pakar undang-undang termasuk Pejabat Peguam Negara perlu melihat aspek ini bagi kemungkinan mengkaji semula peruntukan dalam Perlembagaan. Meskipun BN kekurangan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membuat sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan dan kemudian diikuti pada peringkat kerajaan negeri, kita percaya barisan pembangkang akan turut menyokong cadangan ini selepas mereka sendiri mengalami masalah membentuk kerajaan negeri.

Kita tidak mahu rakyat mengandaikan, apabila soal itu berbangkit dan dibangkitkan, BN mahu merampas kembali jawatan Menteri Besar dan kerajaan negeri daripada tangan pembangkang. Memang rakyat sudah membuat pilihan dan semua pihak perlu menghormatinya dalam sebuah negara seperti Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi ala- Westminster ini.

Pada peringkat Pusat, sistem itu memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri menentukan siapa yang menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri, asalkan seseorang itu mendapat sokongan majoriti. Artikel 43 (2) Perlembagaan Persekutuan menyebut mana-mana ahli Dewan Rakyat yang disokong oleh majoriti mudah layak menyandang jawatan Perdana Menteri, tetapi tiada keperluan bahawa orang ini mesti mewakili parti terbesar.

Pada peringkat negeri, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri boleh melantik mana-mana seorang wakil parti yang dianggap mencapai persetujuan majoriti dalam DUN.

0 ulasan: