Sabtu, 15 Mac 2008

Sentimen perkauman hanya undang padah

Sumber Berita Harian

SEBAGAI seorang daripada lebih 10 juta pengundi pada pilihan raya umum (PRU12) baru-baru ini, saya mengharap semua pihak agar menghormati pilihan rakyat Malaysia.

Jangan mana-mana pihak, sama ada yang kalah atau menang cuba memainkan sentimen perkauman kerana ia akan mengundang padah yang tidak membawa kebaikan kepada semua kaum.

Keputusan PRU12 adalah manifestasi kehendak dan luahan rakyat selama ini.


Apa saja keputusan dan corak pemerintahan harus dihormati kerana itulah kehendak rakyat. Inilah demokrasi yang kita warisi dan terus dipertahankan.

Biarlah pihak yang menang melakukan tugas mereka mengikut cara dan pendekatan mereka. Bagi yang kalah, sekiranya tidak bersetuju ubahlah mengikut saluran demokrasi.

Pilihan raya kita diadakan lima tahun sekali bukan 50 tahun sekali.

Pejam celik genaplah lima tahun dan kadangkala tidak sampai lima tahun kita boleh mengadakan pilihan raya.

Buatlah keputusan semula. Setiap pihak mempunyai alasan dan hujah masing-masing di sebalik tindakan mereka.

Bagi rakyat jelata yang memberi mandat kepada pemimpin yang dipilih, apa yang mereka boleh buat ialah menunggu segala janji yang ditaburkan itu dikota.

Rakyat Malaysia sekarang sudah bijak menilai. Mereka memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber.

Mereka bijak menghukum pihak yang menipu melalui kertas undi. Ini sudah dibuktikan melalui keputusan pilihan raya baru-baru ini.

Sekiranya mereka ditipu lagi, mereka tidak akan teragak-agak menghukum melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang.

Bagi orang Melayu, janganlah cuba menjadi jaguh pejuang bangsa Melayu.

Mereka harus melihat kelemahan diri sendiri. Mereka harus ikhlas dalam perjuangan, bukan agenda dan kepentingan peribadi yang dicari.

Bagi Melayu, hanya masa akan menentukan nasib mereka selama lima tahun akan datang.



MENUNGGU JANJI,

Shah Alam, Selangor.

0 ulasan: