SAYA masih ingat kata-kata pejuang bangsa Melayu dahulu iaitu apalah daya mata kapak untuk menebang pohon yang besar jika tanpa bersama alunya yang diperbuat daripada kayu.
Dengan sebatang kayu kecil dijadikan sebagai pemegang mata kapak tadi maka rebahlah pohon kayu yang besar.
Inilah yang telah berlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
Kayu makan kayu dan Melayu makan Melayu. Melayu telah menghulurkan tangan dan tenaga bagi merebahkan kepimpinan bangsanya sendiri kononnya atas alasan mahukan perubahan dan demokrasi.
Perbuatan seperti ini adalah satu perbuatan khianat yang tidak boleh dimaafkan oleh anak cucu mereka sehingga di akhir zaman.
Seronokkah sekarang? Puas hatikah sekarang membiar saudara mereka di Pulau Pinang, di Perak dan Selangor di bawah kepimpinan DAP yang selalu mempersoalkan hak-hak orang Melayu dan negara ini sebagai negara Islam?
Di manakah perjuangan pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong parti Pas selama ini kononnya mahu menegak panji-panji dan syiar Islam? Mereka kini duduk semeja, berpelukan, bergelak bersama-sama dengan pemimpin DAP yang nyata musuh Islam sedangkan saudara mereka di Pulau Pinang, Perak dan Selangor menangis di dalam hati demi masa depan bangsa dan agama.
Saya secara peribadi reda Pas memerintah di Kelantan dan Kedah kerana sekurang-kurangnya maruah bangsa dan agama terpelihara.
Tidakkah saudara-saudaraku yang telah jadi alat untuk DAP menerajui ketiga-ketiga negeri ini rasa malu kepada anak bangsa sendiri.
DAP tidak kuat jika tidak dengan sokongan orang Melayu pengkhianat bangsa. Menggunakan penyokong-penyokong Melayu yang daif tentang politik bagi mengangkat mereka untuk memegang kuasa dan mahu berkuasa atas alasan perjuangan untuk bangsa dan agama.
Tolong jawab soalan saya ini di dalam hati sanubari masing-masing, adakah kerajaan DAP lebih baik untuk orang Islam di Pulau Pinang, Perak dan Selangor daripada pimpinan kerajaan BN?
Walaupun dilantik Timbalan Menteri dan Menteri Besar daripada kalangan orang Melayu, saya percaya mereka ini tidak lebih sebagai patung dan boneka sahaja. Menteri Besar dan Timbalan Ketua Menteri Melayu di ketiga-tiga negeri ini tidak ubah seperti harimau kertas sahaja.
Bangunlah wahai orang Melayu dan janganlah kerana pangkat, kuasa dan wang sanggup mengkhianati bangsa dan agama sendiri. Takutlah kepada Tuhan dan disumpah oleh anak cucu kita apabila kita sudah mati kelak.
– JASA
Pulau Pinang.
0 ulasan:
Catat Ulasan