SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah kerana telah mengotakan janji manifestonya untuk menjadi sebuah kerajaan kebajikan.
Bukti kebajikannya ialah apabila kerajaan mengumumkan tiket-tiket perlawanan bola sepak antara Kedah menentang Perak pada 24 Mac akan diberi secara percuma.
Cuma satu persoalan yang saya ingin timbulkan. Bukankah stadium Darul Aman sentiasa penuh saban kali berlangsungnya perlawanan melibatkan pasukan Kedah walaupun tiada tiket percuma?
Adakah pemberian tiket percuma ini adalah sebagai tanda terima kasih kerajaan baru Kedah kepada rakyat Kedah? Sekiranya ia satu penghargaan, bukankah ada cara yang lebih baik untuk menunjukkan penghargaan.
Saya ingin membantu kerajaan baru negeri Kedah agar menjadi “Kerajaan Berkebajikan” yang lebih baik.
Pertama, gunakan duit kutipan tiket yang bernilai beratus-ratus ribu ringgit itu dengan membantu golongan miskin, ibu-ibu tunggal dan sekolah-sekolah agama rakyat di seluruh negeri Kedah.
Kedua, sekiranya ingin juga ‘meraikan’ peminat bola sepak Kedah, berikan diskaun 50 peratus dan gunakan duit kutipan tiket itu untuk tujuan-tujuan yang telah saya sebutkan tadi.
Saya berpendapat, peminat bola sepak Kedah mempunyai wang kerana jika mereka tidak mempunyai wang, mereka tidak akan sanggup berkonvoi dari Baling, Kulim dan sebagainya ke Stadium Darul Aman.
Saya pasti mereka juga reda sekiranya pada malam tersebut pihak kerajaan negeri Kedah mengumumkan bahawa duit tiket mereka akan didermakan untuk tujuan kebajikan.
– NORHISYAM MOHAMAD,
Kuala Kedah.
0 ulasan:
Catat Ulasan