SAYA percaya rakyat, khasnya orang Melayu, ‘panik’ apabila BN kalah teruk. Saya percaya jika keputusan pilihan raya kali ini sama atau tidak banyak beza seperti keputusan pilihan raya terdahulu, penjualan akhbar tidak akan sebegitu laris sehingga tidak berbaki pada 9 Mac 2008 yang lalu.
Saya dapat rasakan suasana sekeliling lesu dan muram sejak keputusan diketahui. Kalaupun pembangkang menang, saya percaya orang Melayu bukan benar-benar inginkan kemenangan besar mereka kerana kejujuran mereka belum dapat dipastikan.
Saya percaya banyak orang Melayu menangis dalam diam. ‘‘Kita tahu DAP tidak akan menang kerana BN sangat kuat,’’ itu adalah antara beberapa kenyataan yang dibuat oleh pembangkang. Sedarlah orang Melayu bahawa pembangkang amat bijak menggunakan pendekatan psikologi dan mereka akan terus melakukannya. Orang Melayu tidak mempunyai apa-apa untuk menjaga maruah bangsa selain berada di tampuk pemerintahan.
Jelas dapat diperhatikan, pembangkang semakin teguh dari tahun ke tahun. Mereka sentiasa bersifat diam, tunggu dan lihat, bertindak lembut sehingga tidak disedari oleh sesiapa dan mereka akan sentiasa mengambil pendekatan ini kerana mampu membuahkan hasil ‘berkekalan’.
Kesilapan dan perasaan tidak puas hati tetap ada. Negara kita mengamalkan kebebasan bersuara. Ada cara lain yang lebih selamat untuk menyuarakannya, bukan dengan cara mengambil risiko sebegini (tidak bersatu).
Orang Melayu tidak boleh leka untuk bersatu. Kelekaan kita, walau sekejap, boleh membawa natijah yang tidak diduga. Kejatuhan berlaku bukan kerana sesuatu perkara semasa tetapi rentetan beberapa perkara yang berlaku sebelumnya. Pihak pembangkang sentiasa memerhati.
Demi keamanan, semua bangsa di negara ini banyak berkompromi, begitu juga orang Melayu. Itu bukan bermakna kita lemah. Kita akan lemah jika kita tidak bersatu. Sesungguhnya tidak ada yang mampu menyelamatkan bangsa kita melainkan kita sendiri.
– SAYANG BANGSA
Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan