NEGARA kita sudah memacu arah yang betul dalam usaha mencapai wawasan cemerlang dengan pembangunan serba moden dari aspek modal insan dan fizikal. Bandar besar sentiasa bersaing untuk menjadi kawasan serba moden hasil kerancakan ekonomi dan pemerintahan kerajaan yang dinamik.
Bagaimanapun, impak pembangunan pantas ini menyebabkan wujud segelintir masyarakat tidak mampu mengikuti arus kemodenan yang serba pantas ini. Akibatnya mereka tercicir dan dibelenggu kemiskinan.
Isu kemiskinan bandar bukannya baru, tetapi sering dikaburi isu kemiskinan luar bandar. Walaupun peratusan kemiskinannya lebih rendah berbanding peratus kemiskinan di kawasan luar bandar, yang pasti kesan kemiskinan lebih terasa oleh penduduk miskin bandar kerana perbezaan kos sara hidup yang ketara.
Di kawasan luar bandar, sewa rumah teres setingkat tiga bilik adalah sekitar RM300 dan harga segelas teh tarik 80 sen hingga RM1. Adakah harga sebegini boleh didapati di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Ipoh.
Hari ini kehidupan penduduk bandar lebih bergantung kepada peluang mendapat pekerjaan sedangkan keupayaan sektor tidak formal bandar untuk menyerap pekerjaan terhad.
Penduduk miskin bandar juga lebih terdedah kepada perubahan dalam keadaan pasaran dan wanita miskin yang menjadi ketua isi rumah di bandar adalah golongan paling cepat menerima kesan perubahan itu.
Masalah kemiskinan bandar biasanya membabitkan persoalan produktiviti ekonomi yang rendah dan kesukaran untuk mendapat peluang mendapatkan kerja dan wang.
Kemiskinan dari sudut material akan mengakibatkan individu terhalang daripada menguasai persekitaran dan mengakibatkan mereka terus terperangkap dalam kemiskinan. Bagi mengatasi kemiskinan bandar ini pendekatan pelbagai dimensi perlu kerana ada banyak faktor menyumbang kemiskinan bandar.
Kajian menunjukkan pertumbuhan penduduk bandar yang berkembang pantas, kekurangan peluang pekerja, persaingan dengan warga asing, latar belakang pendidikan yang rendah serta tiada kemahiran penyebab utama kemiskinan.
Masalah ini, jika tidak diatasi akan memberi impak tidak baik kepada pembangunan negara. Masalah jenayah pasti meningkat kerana ada golongan miskin ini terpaksa melakukan jenayah bagi 'survival' hidup mereka di bandar. Peningkatan kadar jenayah ini akan mengakibatkan kualiti hidup masyarakat akan berkurangan dan memberikan imej yang tidak baik kepada pelaburan asing.
Justeru, usaha membasmi kemiskinan bandar ini perlu diberikan perhatian sewajarnya. Semua pihak perlu mencari kaedah berkesan untuk mengatasi masalah yang berlaku ini. Pihak berkuasa tempatan, ahli akademik, badan bukan kerajaan, syarikat multinasional dan komuniti politik perlu terus mengatur strategi untuk mengatasi masalah itu.
SAMIR MUHAZZAB AMIN,
Jabatan Sains Kemasyarakatan,
Fakulti Ekologi Manusia, UPM.Sumber Utusan Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan