Sumber Utusan Malaysia
Oleh: WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY (WARTAWAN UTUSAN)
SEJENIS permainan tradisional, enjit- enjit semut memang diakui digemari golongan kanak-kanak.
Pantang berkumpul, memang enjit- enjit semut menjadi salah satu cara menghabiskan masa sambil bergelak ketawa walaupun akhirnya tangan sakit dan lebam akibat dicubit. Adakalanya ia juga diakhiri dengan tangisan.
Senario politik pembangkang selepas seminggu pilihan raya berlalu nampaknya sama dengan permainan enjit-enjit semut. Memang realitinya DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh hendak bersama. Saling 'cubit-mencubit', berusaha sedaya upaya untuk berada di atas dan menunjukkan kuasa masing-masing.
Memang sebelum memulakan permainan, semua sudah sepakat untuk tidak mencubit dengan terlalu kuat. Alasannya takut sakit. Itu sepakat yang dicapai kanak-kanak. Ia juga sama juga seperti pembangkang seperti kempen pilihan raya bermula.
Akhirnya bila sudah berkuasa, janji dikota sebelum bermain hilang entah ke mana. Peluang mencubit digunakan sepenuhnya untuk menyakiti kawan yang sebelum ini berjanji mahu hidup dan mati bersama.
Kerajaan Pulau Pinang, DAP seakan mahu bermain api. Selepas mahu penghapusan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mereka dilihat cuba mencurah minyak dengan arahan semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri DAP memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak.
Alasannya mudah, kerana tidak setuju dengan pemilihan wakil Pas sebagai Menteri Besar.
Entah di mana silapnya, kubu mereka terlampau rapuh. Sumpah semasa susah mudah dilupa malah janji untuk menerima sesiapa sahaja yang dipersetujui oleh sultan sebagai Menteri Besar juga sukar ditunaikan.
Perangkap
Kini, DAP, Pas dan PKR dilihat tidak sehaluan. Pekung DAP yang terlalu penting diri seperti perangkap samar yang selama ini tidak disedari Pas dan PKR jelas kelihatan.
Klimaks cerita, DAP boleh dinobatkan terlalu derhaka kepada institusi diraja Melayu. Mereka menarik Pas dan PKR untuk terjun ke dalam telaga yang dicipta dan kemudian mengambus sehingga hasrat menjadi satu kuasa yang maha besar tercapai.
Hari demi hari kini, kerja parti Malaysian Malaysia hanya memecah belahkan Melayu. Mereka mencubit dan berselindung. Cubit lagi dan biarkan parti yang dicubit melolong kesakitan.
Itu cerita DAP, Pas juga tidak mahu ketinggalan dalam permainan ini. Kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang dalam satu laporan akhbar online menyatakan PKR salah faham dan beranggapan persetujuan yang dicapai di Perak adalah DAP akan mendapat enam kerusi, tiga kerusi untuk PKR dan satu untuk Pas di samping Menteri Besar sendiri.
Di mana silapnya apabila Timbalan Presiden PKR membuat kenyataan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri Perak tetapi Ketua Penerangannya, Tian Chua pula menjadi salah seorang daripada tujuh orang yang menghadap Raja Muda Perak dan menyatakan bantahan mereka. Apa sebenarnya yang terjadi.
Ketika ini tangan setiap pemimpin DAP, Pas dan PKR sudah terlalu lebam. Jangan dicampur mata yang lebam akibat tidak cukup tidur kerana berfikir meluaskan kawasan jajahan untuk parti sendiri.
Sesuai sekali pepatah Melayu ''Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya'' jika dipakai hari ini kepada rakyat yang 'gatal' tangan mengundi pembangkang minggu lepas.
Sabtu, 15 Mac 2008
Pakatan pembangkang sukar sepakat
Dicatat oleh MalayMan di 6:33 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan