Jumaat, 28 Mac 2008

Media arus perdana perlu elak rakyat meluat


SAYA tertarik dan terpanggil untuk mengulas kenyataan yang dipersetujui dalam forum Pilihan Raya Umum 2008 - Era Baru Politik Malaysia anjuran Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Forum berkenaan mengeluarkan kenyataan bahawa media arus perdana telah berjaya membantu kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kerana orang ramai sudah muak dan beralih kepada media alternatif.

Secara tidak langsung kenyataan, komen atau pendapat yang tersiar dalam media-media arus perdana sama ada media cetak atau elektronik banyak menjadikan rakyat bosan dan meluat dengan pemerintah.

Sebagai media yang dibayangi pemerintah tentu tidak mahu menyiarkan kenyataan-kenyataan yang menentang arus, tetapi janganlah membuat penyiaran yang terlalu bersifat propaganda.

Kalau ada pun perkara atau dasar yang perlu disampaikan kepada rakyat jelata, janganlah ia dilambung terlalu tinggi atau semuanya lunak belaka. Siarkan secara berpada-pada sahaja. Rakyat sudah pandai menilai.

Lagipun terlalu kerap perkara yang sama diulang-ulang hebahannya akan menjadikan ia ‘kurang bernilai’. Janganlah perkara yang sama disiar, diberi ulasan atau dipanjang-panjangkan sehingga berhari-hari oleh media.

Pernah saya perhatikan sesuatu isu itu yang boleh ditatap melalui akhbar, pada hari yang sama juga masih dapat ditonton melalui televisyen dan dapat didengar melalui corong radio.

Apa yang menariknya, teks berita atau komen yang disiarkan melalui televisyen dan radio itu seolah-olah dicedok terus dari akhbar. Susunan ayat dan bahasanya sangat bersamaan.

Sepatutnya berita atau bahan yang tersiar dalam media elektronik lebih terkini kerana akhbar hanya menyiarkan berita-berita yang berlaku sehari sebelumnya selepas menjalani proses suntingan dan cetakan.

Saya sebagai salah seorang yang turut mendukung dasar-dasar pemerintah dan sangat setia kepada kerajaan kadang-kala turut ‘mencebik bibir’ bila berhadapan dengan kenyataan-kenyataan klise dan stereotaip terutama daripada pemimpin-pemimpin kita yang terpapar di media.

Mungkin pihak-pihak media ini tidak menyedari bahawa strategi mereka untuk ‘mengipas’ kerajaan sebaliknya telah mengubah tanggapan rakyat. Bila berhadapan perkara ini di kala menatap akhbar, menonton televisyen atau mendengar radio, saya terus mengalih pandangan kepada topik lain.

Rakyat sudah muak dengan kenyataan-kenyataan seperti ‘harga barangan kita jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain’, kerajaan terpaksa berbelanja sekian juta ringgit untuk subsidi; kita mempunyai sistem yang terbaik di rantau ini (kalau tidak di dunia); atau lain-lain kenyataan yang berulang kali diketengahkan apabila berhadapan krisis.

Kenyataan pemimpin ada benarnya tetapi kaedah menzahirkannya oleh media yang membawa musibah. Cukuplah sesuatu perkara itu dipromo sepintas lalu sahaja kecuali perkara yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Perkara-perkara yang disebutkan itu merupakan satu elemen daripada sekian banyak sebab yang menjadi penyumbang kepada kemerosotan sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Keputusan pilihan raya lalu menuntut pihak kerajaan khususnya kementerian yang terbabit dengan media supaya mengkaji semula kaedah penyiaran berita agar tidak lagi dimomokkan dengan bahan-bahan yang boleh memakan diri dan seterusnya menghapus kepercayaan rakyat. Ingat! Peranan media amat berpengaruh dalam menentukan agenda.

– MAYAPADA,

Dungun.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: