Akhirnya ada pemimpin UMNO yang mampu memberikan teguran dan cadangan yang matang. Sebagai anak Terengganu, saya berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mencadangkan supaya Perdana Menteri membawa Datuk Idris Jusoh menghadap ‘istana’ untuk menyelesaikan masalah pelantikan Menteri Besar (MB) Terengganu.
Kedua-dua pihak sama ada UMNO dan ‘istana’ harus merujuk sejarah bagaimana kejatuhan kerajaan atau empayar terdahulu akibat kekecewaan rakyat yang tidak dapat dibendung lagi. Jadi para pemimpin baik dari UMNO dan ‘istana’ sepatutnya sedar yang menjadi keutamaan di sini adalah hati majoriti rakyat Terengganu.
Kenyataan Muhyiddin selari dengan suara-suara kebanyakan rakyat Terengganu. Apa pun masalah antara ‘istana’ dan Idris, selesaikanlah segera kerana rakyat tidak ingin melihat kemajuan-kemajuan yang baru dikecapi kini terbantut setengah jalan.
Terengganu tidak boleh disamakan dengan negeri lain, Selangor umpamanya, walaupun kerajaannya kini bukan dari komponen BN tetapi Selangor mempunyai prasarana yang cukup untuk memacu pertumbuhan ekonominya tetapi keadaan sebaliknya di Terengganu yang baru mula ‘merangkak-rangkak’.
Apa yang lebih penting, rakyat Terengganu mula menghayati perubahan minda yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Mereka mula membina keyakinan dan jati diri sebagai anak Terengganu. Ini bukan kerja mudah berbanding membina sebuah lebuh raya. Bayangkanlah oleh kerana ketinggalan terlalu jauh ke belakang, ada anak jati Terengganu yang malu hendak mengaku sebagai rakyat negeri ini, apatah lagi hendak pulang ke sana.
Suka atau tidak ini adalah hakikat yang perlu diakui semua, senario sekarang sudah mula berubah. Anak-anak Terengganu di perantauan pun sudah mula membuka mata terhadap tanah tumpah darahnya sendiri.
Barangkali statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menunjukkan peratusan keluar mengundi yang tinggi di Terengganu boleh dijadikan petunjuk. Begitu juga dengan rungutan sesetengah pihak terdapatnya banyak kenderaan dari luar Terengganu masuk ketika pilihan raya baru-baru ini.
Mereka inilah anak-anak Terengganu di perantauan yang pulang untuk memberikan komitmen mereka tapi malangnya dirujuk oleh sesetengah pemimpin sebagai pengundi hantu.
Mentaliti rakyat Terengganu dalam memilih pemimpin telah dizahirkan dalam beberapa pilihan raya yang lepas. Mereka bukan sekadar memilih parti tetapi juga pemimpin dari parti itu sendiri.
Percaturan lemah yang dibuat baru-baru ini menyaksikan beberapa muka baru ditolak rakyat.
Jika didengar betul-betul suara hati orang Terengganu, mereka inginkan pemimpin yang bukan sekadar berpendidikan tinggi tetapi benar-benar mendekati dan memahami kehendak semua lapisan rakyat sebelum diangkat sebagai pemimpin.
Kesimpulan di sini rakyat Terengganu sedar apa yang mereka mahu untuk diri dan anak cucu mereka. Lantaran itu, mereka telah memilih nakhoda untuk membawa mereka ke destinasi yang diharapkan.
Pelayaran baru bermula dan seburuk-buruk mana pun nakhoda ini, orang Terengganu mahu melihat dulu sejauh mana beliau mampu menyusuri arus kemajuan tanpa membocorkan bahtera keimanan dan ketakwaan.
Untuk orang Terengganu, Allah telah mengingatkan kita yang nasib sesuatu kaum tidak akan berubah sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya. Dunia ini tanggungjawab kita dan akhirat itu adalah matlamat kita. Gagal salah satu maka bererti rosaklah kedua-duanya.
Untuk pemimpin-pemimpin Terengganu pula sama ada dari mana-mana parti politik mahupun pihak istana sendiri, rakyat sudah muak dengan ‘peladang-peladang tebu di tepi bibir’.
Apa yang lebih penting, bukan rakyat sahaja yang memerhati kelakuan kamu tapi ingatlah kita semua akan diperhitungkan oleh Allah satu persatu.
– LUHUR DARI HATI,
Anak Terengganu.
Sumber Utusan Malaysia
Rabu, 26 Mac 2008
Dengar suara hati rakyat -- Surat 1
Dicatat oleh MalayMan di 9:37 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan