Selasa, 11 Mac 2008

Survival Melayu tergugat - Surat 4

Survival Melayu tergugat

PILIHAN Raya Umum Ke-12 merupakan satu-satunya pilihan raya yang betul-betul memberi kejutan kepada semua pihak, antaranya UMNO walau tidak sehebat Gerakan, MCA dan MIC.

UMNO kini diselamatkan oleh pengundi-pengundi Melayu di luar bandar terutama di Johor, Melaka, Perlis dan Pahang; selain bumiputera Sabah.

UMNO yang sering dilabel sebagai parti orang Melayu sudah tidak berjaya menggunakan umpan yang sama. Melayu kini nampaknya mula beralih arah. Umumnya orang Melayu lebih suka isu Melayu dibicarakan daripada isu agama. Kita dapat lihat pada pilihan raya kali ini Pas mula diterima oleh orang Melayu apabila ia menggugurkan slogan ‘Negara Islam’ kepada ‘Negara Berkebajikan’.

UMNO harus mengkaji di manakah silapnya UMNO sehingga Melayu menghukumnya pada pilihan raya kali ini.

Keputusan pilihan raya umum kali ini bukanlah hasil undi protes terhadap isu kenaikan harga, kezaliman atau ketelusan, tetapi merupakan undi-undi perkauman.

Cina melarikan diri dari Gerakan dan MCA kerana mereka beranggapan bahawa parti-parti itu gagal memperjuangkan agenda-agenda kaum mereka. Sementara Melayu juga ‘melarikan diri’ dari UMNO kerana mereka beranggapan UMNO terlalu memberi banyak muka kepada kaum-kaum lain.

Kebanyakan orang Melayu bandar yang kehidupan mereka bercampur secara majmuk dengan kaum lain merasakan bahawa aspek kemelayuan sudah hilang dalam kehidupan mereka. Mereka merasai bahawa budaya dan bahasa kebangsaan sudah luntur oleh segenap penduduk, tidak kira kaum di sekeliling mereka.

Papan tanda jalan sudah ditulis tiga bahasa, sepanduk- sepanduk sudah tidak ditulis dengan bahasa kebangsaan malahan beberapa institusi-institusi nasional lain sudah membolehkan kebudayaan dan bahasa bukan tempatan bergerak bebas di dalam negara.

Lebih-lebih lagi ketika kempen pilihan raya yang baru berlalu, pemimpin-pemimpin UMNO tidak segan-silu menyokong kebudayaan asing mengatasi kebudayaan tempatan.

Disebabkan tidak tahan dengan keadaan ini, Melayu terutamanya di kawasan bandar telah membuat hukuman.

UMNO dan parti-parti komponen kini harus kembali menilai aspek sistem sosiopolitik Malaysia, sama ada membetulkan dengan terus memperjuangkan agenda perkauman masing- masing atau membetulkan dengan melaksanakan aspek-aspek perpaduan nasional melalui asimilasi kebudayaan.

Jika parti-parti yang berasaskan perkauman ini mengambil kaedah memperjuangkan agenda perkauman masing-masing, dalam jangka masa pendek mereka memang dapat kembali meraih undi kaum masing-masing. Tetapi dari segi jangka panjang parti-parti itu sendiri akan bertelingkah sesama sendiri untuk menjadi hero kaum masing-masing.

Perpaduan nasional melalui asimilasi kebudayaan merupakan satu-satunya kunci untuk menyelamatkan Malaysia daripada ambang kehancuran. Kemajuan bukan sahaja dikecapi dari aspek material malahan dari aspek kehidupan diri, rohani dan mental. Ketika itu bangsa Malaysia sudah tidak perlu lagi bercakap tentang isu-isu bahasa, pendidikan dan kebudayaan, mereka sudah boleh membicarakan isu-isu ketelusan, kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

BN memang perlu muhasabah kembali. Semoga mereka mengkaji agar bangsa Malaysia dapat hidup sebagai satu bangsa yang bersatu padu, aman damai pada masa hadapan.

– Mohamad Radzwill Abdullah,

Cheras.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: