Isnin, 17 Mac 2008

Surat 2 - Bukan sahaja nyamuk tertawa keriangan, bahkan juga sang jengking dan segala binatang berbisa melata

KERANA marahkan nyamuk, ramai pengundi Melayu khususnya di Pulau Pinang bingkas membakar bukan sahaja kelambu, tetapi rumah mereka.

Kini, mereka tiada berumah. Hanya tinggal sehelai sepinggang. Bukan sahaja nyamuk tertawa keriangan, bahkan juga sang jengking dan segala binatang berbisa melata. Menunggu masa bersedia meluah bisa tak terkata.

Kerana terburu terhasut supaya dibuang kaki kanan yang dangkal, terkhilaf kaki kirinya dicantas. Kini, orang Melayu berjalannya tiada lurus. Jika diganti sekalipun kaki yang telah kudung itu dengan kaki palsu ataupun tongkat, orang Melayu jalannya sudah tempang.

Justeru mari kita seru diri sendiri dan semua pejuang UMNO supaya merendah diri dan ucapkan tahniah kepada orang Melayu PKR dan Pas. Kita mesti terima kekalahan ini dengan jiwa terbuka. Lihat jauh ke dalam diri. Buka dan luaskan akal dan minda. Jangan kita bertindak dan berkata mengikut nafsu. Ingatlah ‘‘ikut hati mati, ikut rasa, binasa’’. Ini bukan masa untuk memulangkan paku buah keras. Ini masa untuk bermuhasabah.

Tanyakan; apa benar perjuangan kita sudah terpesong? Benarkah kita sudah lama tidak berpijak di alam nyata? Benarkah onar kita sudah tertimbun tinggi bak gunung? Benarkah kita ini sudah alpa diri?

Seketika sesudah kita bermuhasabah, mari kita rapatkan barisan dan teguhkan saf. Jika sekalipun kita ingin merubah tampuk, biarlah mereka itu turun dengan tangga kerana mereka itu dulu asalnya bersusah payah menaiki tangga. Sekalipun amarah kita dalamnya bak lautan, jangan lupa bahawasanya kerana adab dan susilanya itulah orang Melayu dipandang mulia.

Mari kita perbetulkan niat dan tekadkan azam. Sungguh kita orang yang kalah namun kita belum mati. Hidup dan perjuangan mesti kita teruskan demi anak-anak dan cucu cicit. Semoga gelap malam gelita empat tahun mendatang tidak akan mampu membuta mata hati kita.

Mudah-mudahan sesudah ini, akan bangkitlah pejuang dan pemimpin Melayu yang langkahnya kejap, lidahnya lurus dan jarinya amanah.

Berjuang dan memimpin kerana hati dan nurani mereka sentiasa membenarkan bahawa Tuhan Maha Esa itu wujud dan sesungguhnya hidup sesudah mati itu benar.

Di kala itu, bukan sahaja orang Melayu PKR datang bersimpuh minta dipimpin, orang Melayu Pas pun turut akan datang merafak sembah minta dibawa ke jalan yang lurus. Maha Suci Tuhan yang Maha Agung, jika sentiasa perjuangan kita ini dilandaskan atas kepercayaan bahawa nyawa kita adalah milik-Nya, agama dan bangsa kita mustahil dipijak dan dicerca lagi. Tiada lagi kita orang Melayu mengemis meminta kuasa di bumi bertuah ini. Sesekali orang Melayu tidak akan dihambakan di tanah airnya sendiri.

Cukuplah sekali ini orang Melayu ‘terkorban’. Hapuslah air matamu wahai orang Melayu.

Bangunlah. Sesungguhnya nilai sebenar seseorang pejuang itu bukan diukur daripada cara ia mencapai kuasa, tetapi cara bagaimana ia bangkit semula dari debu binasa.

– ASRI SALLEH

Bukit Ampang, Selangor.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: