PILIHAN Raya Umum Ke-12 telah berlalu. Di sana-sini banyak pihak masih memperkatakan mengenai keputusannya, seolah-olah satu trauma kepada Barisan Nasional (BN), manakala pemimpin pembangkang pula masih ada yang tergaru-garu kepala, memikirkan manifesto dijanjikan kepada rakyat yang perlu dikotakan.
Di kawasan tempat tinggal saya sendiri di Shah Alam, BN tewas kerusi Parlimen kepada Pas dan kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga dan Kota Anggerik, dirampas Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kerajaan campuran diterajui PKR, DAP dan Pas akhirnya dibentuk dengan diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, diikuti pelantikan 10 Exco mewakili ketiga-tiga parti.
Dari senarai itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, dipertanggungjawabkan mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Nampaknya Dr. Hassan yang sebelum ini dikenali sebagai seorang pakar motivasi, kini diletakkan harapan yang tinggi oleh rakyat Selangor yang saya percaya mahu melihat sejauh mana kemampuan mereka memperbaiki segala ‘kerosakan’ yang mereka dakwa dibiarkan oleh BN selama ini.
Namun sehingga hari ini, Pas masih membisu berhubung usaha mereka membaik pulih kerosakan itu.
Kami pengundi pembangkang, mahu kerajaan negeri, bertindak segera membasmi pertumbuhan pusat-pusat hiburan yang menyajikan segala kegiatan maksiat seperti pelacuran, rumah urut, kelab malam mahupun karaoke.
Ramai gadis Melayu terlibat dalam bidang pekerjaan tersebut. Mereka perlu diselamatkan.
Apakah Pas sedia mengambil langkah memindahkan kilang arak ke kawasan lebih jauh dan tersembunyi?
Atau Pas kini terikat dengan rakan sekutu mereka, DAP, sehingga sukar membetulkan keadaan yang dianggap tidak betul di era pemerintahan BN.
Sekarang masa untuk pengundi menilai, mampukah Pas yang selama ini menghamburkan pelbagai kecaman atas alasan membiarkan kemungkaran berlaku, dapat mengatasinya, atau mungkin mereka terpaksa menelannya semula, mengakui tidak dapat ‘memperbaiki’ kerosakan berkenaan.
– TERPANGKAH PAS,
Sumber Utusan Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan