Rabu, 26 Mac 2008

Dengar suara hati rakyat -- Surat 2

INI bukan masanya untuk berkrisis. Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu mesti diselesaikan segera. Kepercayaan rakyat terhadap institusi raja dan institusi politik khususnya UMNO perlu diberi keutamaan.

Kita sangat bersetuju dengan saranan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya isu ini segera diselesaikan bagi mengelakkan kesannya melimpah kepada rakyat kerana bimbang ia boleh mencetuskan krisis perlembagaan.

Sebagai seorang pemimpin berpengalaman dan pernah berdepan dengan krisis perlembagaan dan pertikaian antara UMNO dan institusi raja (ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor), isunya lebih besar dan hebat daripada isu di Terengganu sekarang, maka beliau sangat sedar ada bahaya menanti di hadapan.

Dalam menangani isu seperti ini beliau sentiasa mengingatkan bahawa kuasa politik yang dipegang oleh UMNO bagi mempertahankan kedudukan orang Melayu hendaklah diberi keutamaan dan pada masa yang sama institusi raja yang menjadi benteng terakhir orang Melayu wajib dipertahankan.

Tan Sri Muhyiddin telah membuktikan bahawa isu ini boleh diselesaikan secara berhemah - ibarat menarik rambut di dalam tepung. Akhirnya, isu yang pada mulanya dianggap sebagai tanda berakhirnya kerjaya politik beliau suatu ketika dahulu, menjadi sebaliknya.

Kita bersetuju dengan rencana pengarang Utusan Malaysia semalam yang menyarankan agar semua pihak yang terlibat dalam konflik ini mengendurkan pendirian masing-masing dan duduk semeja mencari jalan penyelesaian terbaik.

Kita perlu sama-sama berkepala dingin dan mengetepikan ego masing-masing jika kita percaya dan yakin bahawa tanggungjawab paling besar bagi kita semua ialah membela nasib rakyat, bangsa, agama dan negara.

Institusi raja dan UMNO tidak boleh dipisahkan. Seperti kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid, “itulah peradaban kita, istana dan kerajaan kena selari.”

Kita setuju. Belajarlah daripada sejarah bagaimana kejatuhan sesebuah pemerintahan oleh kuasa rakyat yang mempertahankan rajanya. Bagi rakyat, kerajaan boleh bertukar ganti, tetapi kedudukan raja kekal abadi.

Oleh itu, hentikanlah krisis yang tidak menguntungkan dan memalukan bangsa Melayu ini. Mengalah tidak bererti kalah. Di situlah ada hikmah dan hemah. Jika kita percaya pada qadak dan qadar, inilah qadak dan qadar-Nya.

– M. HANAFIAH A. SAMAD,

Kuala Lumpur.
Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: