Ahad, 16 Mac 2008

Masa untuk umat bersatu

Sumber Utusan Malaysia

KETIKA ini rakyat di pelbagai peringkat masih hangat membicarakan mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12. Bukanlah hajat penulis untuk turut serta berpolemik dengan pelbagai andaian dan analisis pilihan raya yang kadangkala tidak membawa apa-apa makna.

Apa yang jelas atas dasar apa sekalipun sentimen pemilihan kepemimpinan dalam pilihan raya kali ini, rakyat telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh kesedaran. Namun apa yang lebih mustahak, dalam mendepani realiti yang wujud selepas keputusan diumumkan, umat harus kekal rasional dengan meletakkan kepentingan agama dan bangsa sebagai keutamaan.

Bagi umat Islam, inilah masanya kita kembali memperapat dan memperteguhkan saf selepas saling berselisihan dan berlawanan terutamanya dalam upaya menonjolkan pemimpin pilihan melalui kepelbagaian parti-parti politik yang bertanding. Keghairahan berkempen tidak wajar melarat-larat selepas selesainya pilihan raya sehingga umat berterusan terheret dalam sentimen dendam dan benci.

Berbeza parti bukannya berbeza dari segi akidah. Berbeza parti bukannya berbeza tahap keimanan dan keislaman seseorang. Sebaliknya berbeza parti hanyalah bersifat ijtihadi dan khilafiah yang dibenarkan syarak dalam menentukan parti mana yang berkemampuan mentadbir urusan umat dengan lebih berkesan.

Memang Islam tidak pernah menghalang perselisihan dan perbezaan dalam menentukan kepemimpinan. Malah ulama tersohor Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Min Fiqhi Daulah Fil Islam, jelas menyebutkan bahawa berbilangnya parti atau jamaah yang memperjuangkan Islam adalah tidak dilarang selagi kesatuan tidak mampu dicapai rentetan daripada berlainan matlamat, pendekatan, fahaman dan juga berlainan perwatakan antara satu sama lain.

Namun, penegasan turut dibuat beliau bahawa apabila menghadapi situasi yang mencabar kepentingan Islam, aqidah Islam, syariat Islam dan juga umat Islam, semua ahli daripada pelbagai parti wajib bersatu dan berdiri dalam satu barisan.

Sebab itulah dalam keghairahan berpolitik dan berparti, umat harus tahu sempadan dan batasannya. Keseronokan berpolitik dan berparti jangan sampai menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Malah perbezaan parti dalam sistem demokrasi tidak wajar melarat-larat sehingga mencetuskan permusuhan emosi yang mencairkan kekentalan ukhuwah, memecah kesepaduan umah dan menghancurkan prinsip keadilan dan kebenaran.

Harus

Umat harus sentiasa saling berbaik sangka dan bermaafan di antara satu sama lain, bukannya saling menuduh orang lain sesat, berdosa mahupun kafir. Perselisihan seperti inilah yang dibenarkan kerana ia tidak akan membawa kepada perpecahan dan permusuhan emosi yang membinasakan. Perbezaan parti atas dasar Islam sejati ini juga tidak akan menjadikan umat berpuak-puak yang sentiasa menghidu peluang dan ruang untuk menghentam satu sama lain.

Setiap kumpulan berhak mengutarakan pendapatnya selagi mana dia mempunyai hujah yang kuat juga penyokong yang berada di belakangnya. Apa yang wajar disanggah adalah budaya politik asabiah yang meletakkan ketaatan melulu dan taksub buta kepada parti hingga terhalangnya pertimbangan adil dalam membuat keputusan. Memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi jugalah yang selalunya menjadi punca pergolakan dan perpecahan sesama sendiri.

Dalam konteks ini Allah jelas menegaskan: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. (Al-Maidah:8)

Justeru sudah tiba masanya dilakukan usaha bersepadu ke arah melakar dimensi baru budaya berpolitik dalam masyarakat Malaysia hari ini. Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.

Pendekatan politik baru ini haruslah melangkaui kepentingan politik kepartian yang berlandaskan asabiah jahiliah dan retorik semangat membuta tuli. Pendekatan politik juga tidak harus terus terjerat dengan serakah dendam dan benci. Pendekatan politik baru wajib mengetepikan unsur-unsur fitnah dan adu domba demi kepentingan agama yang lebih murni.

Sebaliknya budaya politik baru adalah budaya politik yang berteraskan prinsip dan akhlak Islam yang menjunjung tinggi nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan saling berlapang dada antara satu sama lain. Apabila melibatkan kepentingan bangsa dan agama, umat wajib bersepakat dan bersatu tanpa mengira parti mahupun ideologi politik.

Inilah budaya politik yang wajar dimartabatkan dalam kerangka kepartian kini. Apa yang penting, umat harus dipasakkan di dalam minda agar meletakkan agama lebih tinggi di atas segala kepentingan dan matlamat mana-mana parti. Hakikatnya, kekuatan tamadun tidak selamanya mampu berdiri kukuh sekiranya sesuatu bangsa itu sudah hilang jati diri dan idealisme perjuangan lantaran pergeseran dan percaturan politik sempit yang tidak berkesudahan.

0 ulasan: